Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu buat semua.
Jom tengok hasil melapis Amie malam tadi. Kononnya nak cuba buat kek lapis bercorak tapi nampaknya hasilnya tidak seperti yang dijangkakan! Banyak kecacatan, salah dan silap serta banyak ketidaksempurnaan, namun bagi Amie ia hanyalah satu permulaan dan percubaan yang patut Amie alami. In shaa Allah, lain kali Amie akan cuba dan terus mencuba untuk hasil yang lebih sempurna.
Orang kata kalau malu bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar! Kalau enggan mencuba bagaimana kita tahu akan hasilnya? Biarpun sudah berkali-kali Amie mengulangbaca cara-cara untuk membuat kek lapis bercorak, namun bila dipratikkan di dapur memang ada yang silap memandangkan tidak ada pengalaman mencorak sebelum ini. Pada mulanya rasa kecewa sangat, tapi bila Encik Suami berikan kata semangat, rasa sejuk sedikit hati ini. Kalau diikutkan hati memang tak mahu pandang lagi kek ini tetapi malam tadi ketika kami mencubanya sedikit, rasanya sangatlah sedap! Amie gunakan asas resepi yang Amie belajar di kelas masakan, tetapi Amie ubah penggunaan bahannya. Amie tidak gunakan krim keju dan keju parmesan seperti kebiasaannya sebaliknya Amie gunakan mentega kacang halus serta serbuk coklat untuk lapisan bahagian inti serta serbuk horlicks untuk adunan asas.
Biarlah.... walaupun hasilnya tak seberapa, tapi Amie dokumentasikan juga hasil usaha Amie buat kenang-kenangan! Dan yang paling istimewanya kek lapis bercorak ini walaupun sebenarnya tidak istimewa, ialah rasa yang enak bahagian intinya terutamanya lapisan yang bercampur dengan mentega kacang halus! Ketika membakarnya pun sudah cukup harum baunya!
Silap Amie.... tidak mahir melekatkan inti di antara satu sama lain, dan kebetulan malam tadi Amie paparkan sepotong kek lapis bercorak ini di FB, salah seorang pengomen mencadangkan supaya Amie campurkan susu dengan jem epal untuk melekatkan inti kek ini! Terima kasih Liena Cydan..... in shaa Allah akan dipraktikkan selepas ini! Bukan apa... dalam sebuah resepi mengatakan lekatkan inti kek dengan susu, manakala resepi yang lain pula mengatakan lekatkan dengan jem! Mana satu nak ikut? Amie gunakan susu dan selepas ini nampaknya kena gabungkan susu dengan jem pula sepert cadangan Leina.
Ada sesiapa yang ingin membuat kek lapis bercorak? Jom.... sama-sama cuba! Resepinya? Huh.... Amie sendiri pening kepala nak macamana nak tulis cara membuat corak kek ini! Nantilah ... lain kali kalau kepala Amie boleh berfikir dengan betul!








