Assalamualaikum .....
Rasa sunyi & sepi pula dapur Amie sejak akhir-akhir ini. Maklum sajalah.... kerja-kerja yang berkaitan dengan Urusan Seri Paduka Baginda perlu dijunjung. Biarpun cuti sekolah tapi bukan bermakna kami dapat menikmati sepenuhnya tapi syukurlah walaupun hanya sempat bercuti bersama anak-anak selama 9 hari di semenanjung, sekurang-kurangnya Amie dapat menilai erti kualiti masa itu sendiri!
Telur Ikan Masak Asam Serai ini sebenarnya agak lama tersimpan dalam folder, sebelum Amie berangkat ke Tawau lagi. Disebabkan jarang masak telur ikan, jadi Amie paparkan hasil masakan ini untuk dikongsi bersama. Lain orang lain citarasa dan lain cara masakannya... namun inilah cara masakan Amie untuk resepi telur ikan kali ini. Telur ikan ini kakak ipar yang bagi, dan katanya telur ikan putih. Pada mulanya Amie ingin buat pais ikan, tapi terlupa pula Encik Suami ambil daun pisang di kampung! Akhirnya, masak sajalah seperti resepi di bawah ini.
Resepi : Telur Ikan Masak Asam Serai
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1/2 kg telur ikan putih - bersihkan
2 batang serai - dihiris nipis
1 batang seri - dititik
2 keping asam gelugur
1/2 batang lobak merah - potong bulat
3 tangkai daun kesum
300ml air
3 sudu makan minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 inci kunyit hidup
20 biji cili padi
sedikit belacan
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan serai hiris dan serai titik. Gaul seketika.
3. Masukkan air, lobak merah dan daun kesum.
4. Apabila air mendidih, masukkan telur ikan dan biarkan sehingga masak.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Tutup api dapur.