Ada kajian yang menunjukkan bahawa buah oren mempunyai kaitan dengan kesihatan jantung, penglihatan, pelalian serta dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Buah oren juga dikatakan memiliki kelebihan sebagai antioksidan serta membantu perkembangan otak janin dan juga mampu mengawal tekanan darah. Jadi, apa kaitan oren dengan paparan Amie kali ini?
Kelmarin sudah melantak sepuas-puasnya Beef Lasagna, jadi hari ini elok benarlah cuci perut dengan Orange & Pineapple Smoothies! Nanas pun banyak khasiatnya. Katanya nanas berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan sebab nanas mengandungi asid sitrik! Tak kisahlah kan.... tentang kuruskan badan tu cerita kedua, yang penting lemak-lemak dapat dikurangkan! Paling suka bila dapat tahu jika buah nanas dibuat jus minuman, ia boleh mencuci tubuh, melawaskan buang air kecil dan macam-macam lagi. Allah Maha Besar! Diberinya kita akal untuk memikirkan segala hasil ciptaan-Nya untuk manfaat kita juga.
Amie kongsikan Orange & Pineapple Smoothies untuk hilangkan dahaga di samping dapat mengenyangkan perut dan kemudian mencuci perut! Biasanya Amie gunakan yogurt asli tapa perisa tapi kali ini Amie gunakan yogurt perisa oren.
Resepi : Orange & Pineapple Smoothies
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
2 biji oren - kupas kulit dan potong kecil
1/2 biji nanas - kupas kulit dan potong kecil
200ml susu segar
200ml yogurt perisa oren
3 sudu makan madu
Cara:
1. Sejukbekukan oren dan nanas sekurang-kurangnya selama 2 jam.
2. Campurkan oren, nanas, susu segar, yogurt dan madu di dalam pengisar.
3. Kisar sehingga halus dan lembut.
4. Tuangkan ke dalam gelas.
5. Sedia untuk dinikmati.
Hasil kisaran sebentar tadi, Amie dapat 3 gelas smoothies. Amie simpan segelas untuk Fairuz makan sekembalinya dari sekolah petang nanti. Fuad tak minat smoothies. Jadi tak payahlah buat dan simpan lebih-lebih. Segelas Orange & Pineapple Smoothies di atas tu untuk Amie, segelas lagi simpan untuk Encik Suami. Sempena Hari Bapa kelmarin, kami melantak BEEF LASAGNA sampai tak ingat dunia! Hari ini hari ulang tahun Encik Suami, jadi sebelum makan-makan yang seterusnya (tak tahu nak masak apa hari ini), elok benarkan cuci perut buang lelemak yang diternak kelmarin tu!








