Assalamualaikum.
Petang tadi Amie hendak masak sesuatu yang agak special tapi tiba-tiba ada urusan yang perlu diselesaikan di kampung Encik Suami. Jadi hasrat untuk masak itu pun turut terbantut. Di kampung, Amie lihat Encik Suami makan pisang berangan dengan keropok. Fairuz pula sempat makan nasi goreng. Fuad... sebelum pergi tuisyen memang sudah mengisi perut dengan nasi dan lebihan lauk tengahari. Kami sampai ke rumah pada pukul 8.50 malam. Sebaik meletakkan Firdaus di atas tilamnya, Amie tanya Encik Suami.
Amie : Baba lapar tak?
Encik Suami : Takkanlah tak lapar. Tak nampak Baba makan pisang dengan keropok di kampung tadi tu?
Jadi? Kena masaklah jawabnya... Tapi nak masak apa? Apa yang nak dimasak?
Ha... inilah hasilnya masakan mee yang Amie sendiri tak tahu nak bagi nama apa. Pada mulanya Amie ingin masak mee goreng tapi teringin pula makan mee yang berkuah. Mee kuning memang tak ada, dan yang ada cuma sebungkus mee kering. Sambil mencongak-congak apa bahan yang ada, pada masa yang sama memikirkan mee apa yang hendak dimasak. Mee udang? Alahai, udangnya pula tidak ada. Mee rebus? Daging pula tidak ada. Habis apa yang ada? Keledek ada, kentang pun ada. Nak buat mee jawa pun tak boleh, sebab bahan yang diperlukan tidak ada. Yang ada cuma sotong, bebola sotong dan jejari ketam dan seekor ayam bulat!
Akhirnya siaplah Mee Encik Suami... kuahnya pekat likat dengan campuran udang kering bersama keledek dan kentang! Macam kuah mee rebus pulak. Bahan aksesori yang lain, bolehlah tengok sendiri ye...
Mee Encik Suami siap pada pukul 9.55 malam. Bila Amie panggil Encik Suami makan, katanya sebentar lagi sebab nak tengok televisyen. Di kesempatan inilah Amie rakam Mee Encik Suami. Perhatikan jam di belakang tu... sudah pukul 10.05 malam.
Encik Suami pun datang ke dapur.
Amie hidangkan mee seperti dalam gambar di atas.
Encik Suami : Oh! Banyak ni. Marilah kita makan berdua.
Amie : ............................ (dalam hati berkata : hari ini hari ulang tahunnya dan tak sempat Amie masak sesuatu yang istimewa untuknya)
Soalan mengada-ngada ni... sila jawab ye, Amie makan sepinggan dengan Encik Suami atau Amie ambil mee dan pinggan yang lain?








