Quantcast
Channel: Amie's Little Kitchen
Viewing all articles
Browse latest Browse all 5035

Ayam Panggang Yogurt & Nasi Mayonis

$
0
0
Assalamualaikum.
Sepatutnya Ayam Panggang Yogurt yang seksi terlentang di bawah ni Amie panggang pada hari Isnin, sempena hari ulang tahun Encik Suami. Kebetulan pula selepas Amie perap ayam nan seekor itu, Encik Suami ajak ke kampung kerana ada urusan yang hendak diselesaikannya. Jadi memikirkan kami akan balik agak lewat malam, Amie pun simpan ayam perapan tadi di bahagian sejuk beku dalam peti ais memandangkan kesuntukan masa untuk memanggangnya.


Menjelang subuh, Amie keluarkan ayam tadi dan letakkan di bahagian bawah peti sejuk supaya ayam menjadi lembut. Jadi, memang meresaplah segala rempah-rempahan pemerap setelah semalaman dibekukan. Pada sebelah petangnya, Amie pun pangganglah ayam seberat 1.7 kg dan hasilnya seperti di bawah ini.


Resepi Ayam Panggang Yogurt ini Amie pinjam dari dapur ZILA. Terima kasih banyak ye Zila kerana sudi kongsi resepi ayam panggang yang mudah tetapi sangat sedap ini. Habis licin seekor... hanya tinggal tulang dan aluminium foil sahaja!



Resepi : Ayam Panggang Yogurt
Sumber : Zila 4ever


Bahan-bahan:

1 ekor ayam - dipotong 4 dicuci bersih

1 cawan yogurt
3 sudu makan minyak zaitun - kalau tak ada minyak biasa pun boleh
2 sudu makan jus lemon
garam - Amie gantikan dengan 1 sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
2 sudu gula - Amie gantikan dengan 2 sudu makan madu
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu makan jintan kasar - ditumbuk
1/2 susu jintan halus - ditumbuk
1 sudu makan  rosemarry - ditumbuk
1 sudu makan ketumbar biji - ditumbuk
1 sudu makan lada hitam kasar
1 inci halia - ditumbuk halus
1/2 sudu serbuk kunyit
2 batang serai di ketuk

Cara:
1. Satukan kesemua bahan dan lumurkan pada ayam.
2. Perap selama 1 hingga 3 jam.
3 .Alaskan dulang pembakar dengan aluminium foil.

4. Bakar sehingga masak dan garing, lebih kurang 50 minit, ikut oven masing-masing. Amie gunakan suhu 180'C.



Amie sediakan Nasi Mayonis untuk digandingkan dengan Ayam Panggang Yogurt. Resepi ini  Amie perolehi daripada buku masakan Aneka Hidangan nasi, tetapi Amie telah ubahsuai mengikut citarasa sendiri.

Resepi : Nasi Mayonis 
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
3 cawan beras basmathi - cuci bersih dan rendam selama 20 minit
1 sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
1 helai daun pandan
4 sudu makan mayonis
1/2 cawan kacang gajus goreng

Bahan tumis:
3 ulas bawang putih - cincang
1 labu bawang besar - cincang
2 cm halia - hiris halus
1 sudu makan serbuk kari daging - bancuh dengan sedikit air
2 biji tomato - cincang
1 pelepah daun kari 
4 sudu makan minyak zaitun

Cara:
1. Masak nasi seperti biasa dengan mencampurkan perencang MAGGI Cukup Rasa dan daun pandan hingga tanak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak zaitun dalam kuali. Tumis bawang putih, bawang besar dan halia hingga layu dan kekuning-kuningan.
3. Masukkan bancuhan serbuk kari serta daun kari. Tumis sehingga pecah minyak.
4. Tutup api dapur. 
5. Masukkan mayonis, tomato dan nasi. Kemudian gaul sebati bersama bahan tumisan tadi.
6. Sedia untuk dihidangkan.



Ayam Panggang Yogurt ini sebenarnya enak diratah begitu saja. Amie sediakan sos lada hitam sebab Fuad suka sangat dengan sos ini. Kalau boleh dia mahu banyak-banyak bubuh sos ini dalam pinggannya seperti di bawah ini.



Amie memang suka sangat resepi Ayam Panggang Yogurt ini. Isi ayam panggang ini sangat sedap dan nampak berjus hasil perapan yang lama! In shaa Allah pada masa yang lain Amie akan cuba lagi hidangan sebegini, dan ingin gandingkannya dengan kentang bakar pula!


Selamat ulang tahun buat Encik Suami.... moga hidup kita bersama cahaya mata yang disayangi sentiasa mendapat keberkatan Ilahi. Amin.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 5035

Latest Images

Trending Articles