Assalamualaikum.
Selamat pagi semua. Hari ini sekolah kembali dibuka. Bagaimanapun Amie masih ada dua minggu lagi untuk kembali bertugas, dan nampaknya masih ada peluang untuk main masak-masak lagi. Cerita tentang main masak-masak, pagi ini Amie kongsikan resepi Kari Kepala Ikan Che Jah, hidangan tengahari kelmarin untuk kami sekeluarga.... he he ehh ingatkan pagi-pagi nak kongsi sarapan pagi, tapi kongsi lauk pulak! Tak apalah... mana tahu ada sesiapa yang tersesat pagi-pagi begini ke dapur Amie untuk mencari resepi masakan kari. Bolehlah cuba resepi istimewa ini pada tengahari nanti.
Kenapa resepi ini ada nama Che Jah dihujungnya? Alkisahnya minggu lepas semasa Amie balik ke Selangor, adik bongsu Amie membawa ibu mentuanya datang ke kampung. Pada sebelah petangnya pula sewaktu dia hantar mak mentuanya pulang ke Shah Alam, Amie ikut sekali. Semasa kami berbual-bual di dalam kereta, entah macamana tercerita pula tentang resepi masakan kari dan kebetulan pula mak mentuanya, Puan Che Jah Bakar memang berasal dari Pulau Pinang yang cukup sinonim dengan masakan berasaskan kari. Hasil dari sembang-sembang tentang masakan kari, akhirnya Puan Che Jah kongsikan beberapa resepi dan petua-petua memasak kari yang cukup berguna misalnya bahan tumisan rempah kari hendaklah ditumis kacau sehingga terbit minyak supaya nanti tidak berbau rempah dalam masakan tersebut semasa dihidangkan. Pesannya lagi, gunakan jemput atau cubit dengan jari tangan untuk sukatan jintan putih, halba dan biji sawi.
Sempat bergambar dengan Puan Che Jah ( tak berapa jelas sebab gunakan hp). Terima kasih daun keladi gajah ye Puan Che Jah kerana sudi kongsi resepi yang ternyata sangat sedap ini! Sedap nasi lemak kerana sambalnya, sedap masakan kari terletak pada resepi dan cara masakannya!
Resepi : Kari Kepala Ikan Che Jah
Sumber : Puan Che Jah Bakar
Bahan-bahan:
kepala ikan bawal / jenahak / tenggiri dll - belah 2 - Amie gunakan kepala ikan cecupak
5 sudu makan rempah kari ikan - Amie gunakan rempah kari ikan dan udang Baba's
sejemput / secubit halba
sejemput / secubit biji sawi
2 biji terung bulat - belah 4
10 biji kancang bendi
1/4 cawan santan pekat
sedikit asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
1 pelepah daun kari - lurutkan
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris :
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah - tumbuk
sejemput / secubit jintan putih
Cara:
1. Goreng kepala ikan setengah masak dan ketepikan.
2. Gaul bahan tumbuk dengan rempah kari ikan hingga sebati - Amie tambah sedikit air.
3. Panaskan minyak dan goreng bahan hiris hingga layu dan berbau harum.
4. Masukkan bahan rempah kari, daun kari, halba serta biji sawi dan tumis kacau hingga terbit minyak.
5. Masukkan air asam jawa, terung dan kacang bendi dan biarkan sehingga mendidih - sekiranya kuah terlalu pekat atau air terlalu sedikit, boleh tambahkan sedikit air lagi.
6. Masukkan kepala ikan,
7. Tambahkan santan pekat. Biarkan seketika sehingga masaka.
8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
" I am submitting this post to Malaysia Food Fest , Penang Month hosted by Alan of Travellingfoodies"










