Hari ini Amie dapatkan kepastian daripada Pak Google tentang nama sejenis buah yang selalu kelihatan bergantungan di ranting seperti belon hijau atau buah limau bali. Pokok ini banyak tumbuh di kampung Encik Suami. Ramai yang menanamnya sekadar untuk hiasan sahaja. Buahnya bulat dan cantik, tetapi keras seperti kayu. Barangkali kalau dibaling kena kepala orang, boleh pecah berdarah kepala orang itu. Begitulah kisahnya, buah yang tidak diketahui nama dan sebab tidak boleh dimakan mungkin kerana kerasnya yang kadang-kadang diumpamakan bukan lagi seperti kayu, tetapi seperti batu!
Pagi tadi ikut jalan-jalan bersama Encik Suami, pergi ke ATM, masuk kedai roti dan beli barang dapur di coldstorage. Kemudian singgah makan tengahari di Hot Plate Sri Perdana. Terpandang buah seperti belon hijau di taman berhampiran premis perniagaan, Amie pun ambil gambar. Ingin tahu lebih jelas tentang buah ini, Amie cuba buat rujukan dengan Pak Google. Akhirnya dapatlah nama sebenar buah belon hijau ini namanya buah labu kayu. Nama lainnya ialah buah maja. Ada yang panggil buah delima batu atau applewood.
![]() |
Buah Labu Kayu @ Buah Maja @ Delima Batu @ Applewood |
Apabila dilihat dari jauh, buahnya yang bergantungan, sudah tentulah menarik pandangan.
Di dalam rimbunan dedaunnya yang menghijau subur, buah labu kayu melekat di dahannya!
Buahnya bukan sebiji dua tetapi berderet-deret dengan susunan yang cantik!
Andaikan ini buah mangga, sudah tentu sudah menjadi mangsa burung atau kelawar. Namun disebabkan kerasnya buah ini, haiwan pun tidak mahu menghampirinya.
Ada yang mengatakan buah labu kayu memiliki 1001 khasiat perubatan dan manfaat untuk kecantikan. Melalui pembacaan Amie, labu kayu dijadikan ubat untuk merawat kanser, fibroid, cyst, darah tinggi dan seumpamanya.
Namun begitu, setakat ini belum ada kajian saintifik yang membuktikan buah labu kayu berpotensi untuk merawat kanser dan juga darah tinggi.
Syukur Alhamdulillah sekiranya ada kajian yang dapat membuktikan manfaat dan kebaikan buah labu kayu dalam bidang perubatan. Mudah-mudahan ada usaha R&D ke arah ini.
Sesungguhnya Allah tidak menjadikan benda dan makhluk dengan sia-sia.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran, Ayat 191 yang bermaksud:
(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.
![]() |
Walaupun lebat berbuah dan hampir matang, tetapi di celah-celah daunnya bermunculan bunga dan putik buahnya yang baharu. |
Titis-titis hujan mula berguguran ke bumi, namun setitik pun tidak menimpa Amie di bawah rimbunan pohon labu kayu disebabkan daunnya yang sangat rimbun!
Memandangkan hujan bertambah lebat, Amie pun segera meinggalkan pokok labu kayu dengan buah-buahnya yang bergantungan di ranting dan bertempelan di dahan.