Hari ini dapat tunaikan permintaan Abang Farid yang nak makan udang goreng salut tepung. Bukan main seronok Abang Farid. Banyak kali jenguk ke dapur dan tak sabar-sabar nak makan! Untuk hidangan tengahari, Amie masak lebih sedikit sebab ada anak buah (sepupu anak-anak sebaya Fuad) datang ke rumah.
Di atas meja makan, ada Udang Goreng Salut Tepung Bestari Campur ENO, ikan cencaru dan ikan tulai goreng, ulam kacang botol dan timun bertemankan sambal geprek, sambal telur pindang, dan ikan tulai masak tempoyak. Ikan tulai ialah ikan lolong atau ikan Uji Rashid sebab matanya bulat dan besar seperti mata penyanyi Uji Rashid.
Udang Goreng Salut Tepung Bestari Campur ENO. |
Ikan cencaru & ikan tulai @ lolong @ Uji Rashid goreng. |
Kacang botol celur, timun & sambal geprek. |
Telur pindang masak sambal. |
Ikan tulai @ lolong @ Uji Rashid masak tempoyak. |
Sewaktu Amie hendak membuat adunan tepung salut udang, Amie dapati hanya 2 sudu besar sahaja tepung jagung yang ada. Amie rasa ada sebungkus lagi dalam kabinet dapur. Apabila Amie ambil, rupanya bungkusan tepung kastard. Jadi Amie gunakan cara lain iaitu dengan mencampurkan tiga jenis tepung termasuk tepung jagung, tepung gandum dan tepung Campuran Tepung Bestari yang pedas. Seperti biasa Amie tambahkan sebiji telur, dan satu sudu kecil serbuk ENO. Tambahkan sedikit air dan adun sebati. Tak perlu bubuh bahan lain lagi. Cukuplah rasa dari tepung BESTARI. ENO digunakan untuk gantikan serbuk penaik.
Ketika bersihkan udang, buang kepala, kulit dan tarik urat hitam di belakangnya, Amie tinggalkan ekor udang lekat di situ. Untuk menjadikan udang tidak melengkung ketika digoreng, Amie kelar-kelar sedikit dibawah perut udang supaya udang menjadi lurus ketika digoreng.
Sebenarnya Amie tidak sukat penggunaan air ketika membuat adunan tepung. Amie agak-agak saja dan adunan kelihatan seperti adunan jemput-jemput, tidak cair macam lempeng dan tidak terlalu pekat. Biarkan selama 5 minit, dan adunan kelihatan naik sedikit sebelum celupkan udang. Untuk hasil gorengan yang cantik, ketika menggoreng barulah celupkan udang seekor dan masukkan ke dalam minyak gorengan di kuali.
Kalau nak puas makan, ratah saja tanpa nasi! Sedap dan rangup.
- 500 gram udang kertas - buang kepala, kulit dan tarik urat hitam - tinggalkan ekor - kelar-kelar sedikit di bawah perut udang
- 2 sudu besar tepung jagung
- 2 sudu besar tepung gandum
- 6 sudu besar Campuran Tepung Bestari Pedas
- 1 biji telur
- 1 sudu kecil serbuk ENO
- air secukupnya - untuk adunan seperti jemput-jemput
- minyak
Cara:
- Dalam sebuah bekas, campurkan tepung jagung, tepung gandum, tepung Campuran Tepung Bestari Pedas, serbuk ENO dan telur.
- Tuangkan air sedikit demi sedikit dan adun sebati seperti membuat adunan jemput-jemput.
- Biarkan selama 5 minit.
- Panaskan minyak untuk goreng terendam.
- Ambil bahagian ekor udang dan celupkan isi udang ke dalam adunan. Kemudian masukkan ke dalam minyak gorengan. Ulangi lagi.
- Setelah udang kelihatan kuning keemasan, angkat dan toskan.