Jumpa lagi. Amie nak kongsi Sambal Tomato yang biasa Amie masak dan menjadi sambal kegemaran keluarga. Sambal Tomato ini sedap dimakan dengan ikan goreng, telur dadar, ikan bakar, ayam goreng dan sebagainya. Kalau buat Sambal Tomato memang Amie akan buat dalam kuantiti yang agak banyak. Amie suka masak gunakan dapur gas sahaja, renih dengan api perlahan hinggaah bahan hancur dan pecah minyak. Gambar di bawah ini belum berapa hancur sangat terutamanya kulit tomato tapi dah tak sabar nak makan. Kalau dipanaskan lagi, semuanya akan hancur termasuk kulit tomato. Kalau nak hasil yang cantik, boleh buang kulit tomato dengan cara celur seketika di dalam air panas, dan tanggalkan kulitnya.
Sambal Tomato |
Tomato yang Amie gunakan kali ini ialah tomato kampung. Amie gunakan 600 gram tomato kampung, 600 gram bawang besar dan 200 gram cili padi. Untuk lengkapkan rasa, Amie bubuh gula Melaka, belacan, asam gelugor, garam dan sedikit Maggi Cukup Rasa. Tak perlu tambahkan air sebab tomato mengeluarkan air. Masak deangan api perlahan sehingga semua bahan menjadi hancur dan terbit minyak. Kalau nak makan, tianggalkan minyak itu, ambil sambalnya saja.
Bahan-bahan:
- 600 gram tomato - belah 2
- 600 gram bawang besar - mayang kasar
- 3/4 cawan minyak
- 1 cawan gula Melaka parut
- 2 keping asam gelugor
- garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
- 200 gram cili padi
- 10 gram belacan
- 10 ulas bawang putih
Cara memasak:
- Panaskan minyak dan goreng bawang besar hingga layu dan terbit bau.
- Masukkan bahan kisar dan tumis seketika
- Seterusnya masukkan tomato, asam gelugor dan gula Melaka. Biarkan mendidih seketika.
- Perlahankan api dapur, dan kacau sekali-sekala supaya tidak hangus di bahagian bawahnya.
- Setelah bahan tumisan hancur dan terbit minyak, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
- Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Sambal Tomato ini tahan beberapa hari pada suhu bilik. Semakin kerap dipanaskan, bertambah sedap rasanya.
Wokey. Jumpa lagi. Amie nak teruskan bacaan Ustazah Basikal Siri 2. Tidak sampai 300 muka surat untuk dihabiskan. Selepas itu nak sambung baca BKH#legasi_emak yang sedang bersusun menunggu!
Ada rakan blogger tanya, tak pening kepala ke baca dalam kereta? Setakat ini belum ada rasa pening kepala. Mungkin sudah terbiasa baca buku dalam kenderaan yang bergerak, tak kiralah keretapi, kereta atau dalam kapal terbang.