Tak habis-habis kongsi Sambal Tomato!
Asyik Sambal Tomato saja.... ahaks! Tapi kali ini Amie bawa paparan Sambal Tomato dengan membawa jawapan kepada beberapa pertanyaan rakan-rakan blogger. Ada sekali Amie kongsikan Sambal Tomato san salah satu bahannya ialah buah keras. Rasanya Amie tak sempat jawab pertanyaan tersebut dalam ruangan komen. Jadi, Amie jawablah dalam entri kali ini.
Dahulu buah keras banyak digunakan dalam masakan orang kampung kami. Namun begitu, lama-kelamaan penggunaannya semakin berkurangan. Entah mengapa, Amie pun tidak tahu. Begitu juga dengan penggunaan pelbagai rempah dalam masakan 'semur' ayam atau semur ikan. Semur ialah masakan berkicap. Orang sekarang panggil masak kicap sahaja. Dahulu bagi kami masakan semur itu sangatlah sedap terutama semur ayam yang dihidangkan sewaktu hari raya. Memang agak bezalah juga cara masakan semur orang dulu-dulu dengan masakan semur orang sekarang.
Berbalik dengan cerita buah keras tadi, salah satu kegunaannya ialah sebagai pemekat kuah. Misalnya kuah soto, atau kuah sup mi atau bihun. Tidaklah kuah itu cair sangat. Begitulah antara ceritanya.
Dulu-dulu, orang yang tak lebat bulu kening akan bakar buah keras sehingga keluar minyak. Minyak buah keras itu kemudiannya disapu pada bahagian bulu kening. Kononnya bulu kening akan tumbuh lebat. Entah betul entah tidak, tak tahulah sejauh mana kebenarannya.
Eh! Cerita bulu kening pulak dah!
Buah keras juga boleh dtambah sebagai salah satu bahan masakan rendang, kari, masak merah, sambal dan sebagainya. Dengar ceritanya, masakan akan menjadi lebih lemak.
Kenapa Amie tambahkan buah keras dalam Sambal Tomato? Selain rasanya yang lebih lemak, buah keras juga berfungsi mempercepatkan masakan sambal dengan cara memekatkan masakan! Memang cepatlah sambal menjadi pekat kalau Amie bubuh buah keras.
Wokey! Adakah Amie sudah menjawab soalan rakan-rakan?
Sebenarnya Amie pun tak tahu sangat segala fungsi dan manfaat buah keras dalam masakan. Tidak ada rasa atau bau tertentu yang dapat diterangkan apabila ada buah keras dalam masakan.
![]() |
Sambal Tomato |
Inilah antara bahan yang Amie gunakan untuk menghasilkan Sambal Tomato. Kalau tak suka belacan, boleh gantikan udang kering atau ikan bilis. Kalau tak mahu ketiga-tiganya, masak sajalah cili denga n tomato dan bawang.
Kali ini Amie gunakan tomato biasa. Selalunya Amie gunakan tomato kampung. Jika buah tomato kurang 'masam' bolehlah tambah asam jawa atau asam keping.
Boleh lebihkan bawang terutamanya bawang merah atau bawang besar untuk timbulkan rasa manis semula jadi.
Kalau takut rasa pedas sangat, boleh gantikan separuh cili padi dengan cili merah atau kurangkan jumlah cili padi.
Inilah buah keras yang Amie gunakan dalam masakan Sambal Tomato. Kena kisar bersama bahan lain, dan bukannya bubuh bulat-bulat begitu sebab ia keras. Kalau sudah dikisar dan diolah bersama masakan sudah tentulah rasa lemaknya bercampur dalam masakan.
Bahan-bahan:- 3/4 cawan minyak
- 3/4 cawan gula Melaka parut
- 2 keping asam gelugur
- garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:- 200 gram cili padi
- 600 gram tomato - potong dadu
- 7 biji buah keras
- 10 gram belacan
- 7 ulas bawang putih
- 10 biji bawang merah
- 2 labu bawang besar
Cara memasak:- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit aroma.
- Masukkan gula Melaka parut dan asam gelugur.
- Biarkan masak sehingga mendidih seketika.
- Perlahankan api dapur, dan kacau sekali-sekala supaya tidak hangus di bahagian bawahnya.
- Setelah bahan tumisan terbit minyak, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
- Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Ini Sambal Tomato yang baharu sahaja masak. Tak sabar nak makan!
Ini pula Sambal Tomato yang telah beberapa kali dipanaskan. Sewaktu entri ini ditulis, Sambal Tomato sudah wassalam... pinjam perkataan orang Tanah Jauhar yerk! Ada masa esok nak buat sambal tomato gunakan cili padi dan tomatokampung yang dibeli di Kunak hari Ahad lepas.
Tiba-tiba teringat Bonda!
Bonda suka makan sambal tomato hasil air tangan kita.
Doakan semoga satu hari nanti kita dapat balik kampung.