Jumpa lagi warga maya yang dihargai.
Moga sihat-sihat saja dan dipermudahkan segala urusan sepanjang hari. Nampaknya sepanjang pagi ini cuaca agak mendung, tapi hujan tidak juga turun. Langit kelihatan gelap dilindungi awan kelabu. Seandainya hujan turun, biarlah titisannya membawa bersama rahmat dari-Nya.
Dalam surah al-Baqarah: 22 Allah berfirman:
“Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya), dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)”.
Air yang turun dari langit dipenuhi keberkatan dan banyaknya kebaikan.
“Dan Kami turunkan air dari langit yang penuh keberkatan lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.” Surah Qaaf: 9.
Terdapat amalan-amalan yang dianjurkan Islam ketika hujan turun. Antaranya memanjatkan doa tanda syukur kepada Allah seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
“Ya Allah, turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat.”
Anjuran untuk berdoa supaya kebaikan dan keberkatan semakin bertambah, begitu juga dengan manfaat yang semakin banyak. Di samping itu, terdapat hujan yang membawa musibah dan bencana. Sebab itu, kita berdoa hanya untuk mendapat hujan yang bermanfaat. Setiap kali turunnya hujan, ia membawa bersamanya rahmat baharu untuk manusia. Kerana itu, Baginda mengambil barakah dari hujan tersebut.
Anas bin Malik r.a berkata,
“Kami pernah kehujanan bersama Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah menyingkap bajunya hingga tersiram hujan. Kemudian kami mengatakan, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?” Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, “Kerana hujan ini baru saja Allah ciptakan.”
Sumber: Benarkah di setiap titisan hujan, tersembunyi rahmat Allah?
Cerita pagi ini, sarapan apa?
Firdaus minta kentang goreng. Kita gorengkan kentang sekali dengan chicken chop, dan sediakan sos lada hitam. Terebih pekat pula sos lada hitam yang Amie buat. Biasanya yang suka tolong sediakan sos lada hitam sudah tentulah bujang yang merantau di Johor tu. Kalau dia yang buat, memang cantiklah hasil kejadiannya, berkilat dengan butter dan kemudian dia kisar supaya nampak halus dan licin!
Chicken Chop with Balck Pepper & The Gang |
Selain sos lada hitam, Amie sediakan juga sos cili Thai tambah mayonis. Firdaus suka cecah dengan kentang goreng.