Bismillahirrahmanirrahim.
Kali ini cerita selama dua hari iaitu hari Sabtu dan Ahad. 03 Disember 2022, hari Sabtu malam Ahad selepas bertemu Bonda di kampung, kami terus bergerak ke KLIA2. Agak lama juga menunggu Fairuz keluar dari kapal terbang AirAsia X. Setelah berlaku pertukaran waktu dan hari Sabtu ke Ahad, muncullah Fairuz lenggang kangkung bersama beg sandang di belakangnya. Mujurlah Fairuz tidak membawa beg besar, jadi tidaklah perlu menunggu lebih lama di tempat serahan bagasi.
Seperti biasa, perkataan yang Fairuz ucapkan:
Mommy! Lapar!
Jangankan Fairuz sahaja yang lapar, kami yang menunggu pun turut sama berasa lapar. Oleh kerana sudah tengah malam, dan banyak tempat makan sudah ditutup, jadi kami singgah sahaja di Hometown Hainan Coffee yang beroperasi 24 jam.
Sebelum Fairuz sampai, kami terlebih dahulu meronda di sekitar Hometown Hainan Coffee. Sempat bertanya kepada pekerja di situ tentang menu yang ada. Semua menu yang dipaparkan dalam katalog ada!
Bolehlah masing-masing memesan pilihan. Eloklah pilih makanan yang ringan sahaja sebab sudah lewat malam. Tetapi tidak tahulah selera masing-masing!
Adik-beradik sudah berkumpul!
Macam-macamlah cerita dan keriuhannya pada malam itu. Biarlah. Biarkan sahaja mereka melepas rindu.
Ketika ini jam sudah menunjukkan angka 12:11 tengah malam.
Fried Koay Teow Original : RM23.90 |
Hidangan pertama tiba: Fried Kuay Teow Original. Encik Suami yang memesan menu ini. Nampak biasa sahaja, tetapi rasanya sangat sedap. Mungkinkah sebab lapar? Sewaktu pinggan Fried Kuay Reow Original sampai ke meja, anak-anak terus menyerbu! Kita pun sempat menyepit (chopstick) sedikit.
Terhibur rasanya melihat gelagat anak-beranak ini.
Setelah habis licin Fried Kuay Teow Original dikejakan anak-anak, datang pua Crispy Hainan Kaya Butter Bread Double yang dipesan Aseeyah.
Crispy Hainan Kaya Butter Head Doube : RM9.50 |
French Fries (Basket): RM13.90 |
Lemon Rose Lychee : RM11:50 |
Hainan Chicken Rice +Fried Chicken Leg Quarter : RM29.90. |
Nasi Lemak Fried Chicken Leg Quarter: RM29.90 |
Nasi Lemak Rendang Fried Chicken Drumstick: RM29.90 |
Sekarang giliran Fuad dan Fairiz pula berkongsi nasi lemak masing-masing dengan Encik Suami. Rendang ayam pilihan Fairuz memang sedap sungguh! Kita makan kuah rendangnya dengan Cheese Baked Spaghetti.
Cheese Baked Spaghetti Red Sauce with Minced Chicken |
Setelah isi perut dengan pilihan makanan masing-masing, kami meninggalkan tempat makan ini pada pukul 1:50 pagi. Anak-anak berpuas hati makan di sini kerana semua menu pilihan sedap belaka. Walaupun perlu membayar lebih sedikit, rasa berbaloi kerana dapat berkumpul dan santai makan bersama-sama. Memang begitulah adatnya makan di tempat begini, dapat duduk di tempat yang selesa ketika larut malam.
Firdaus sudah keletihan, belum dapat berehat sejak menempuh perjalanan dari Lahad Datu. Fairuz mendukung Firdaus di belakangnya menuju ke tempat letak kereta. Kami tiba di Yuslina Homestay, Bandar Puncak Alam pada pukul 2:00 pagi.