Bismillahirrahmanirrahim.
Masih ingatkah cerita Si Tanggang @ Si Tenggang, sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang sarat dengan pengajaran terutama sekali balasan yang diterima akibat derhaka kepada ibu kandung sendiri? Si Tanggang akhirnya bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh sang ibu.
Di Minangkabau, dongeng ini dikenali dengan nama lain iaitu Malin @ Malim Kundang dan di Brunei dikenali dengan nama Nakhoda Manis. Bagaimanapun, ketiga-tiga nama ini hanya mempunyai sedikit versi yang berbeza namun isi ceritanya tetap sama.
Kami berkesempatan melawat Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis. Ia sebenarnya replika bentuk batu yang menyerupai manusia yang sedang sujud sebagai terjemahan dari kisah Malin Kundang berubah menjadi batu setelah sumpahan ibunya termakbul.
Gambar yang Amie ambil di tempat 'kejadian' Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis. Ketika ini air laut mula pasang, jadi sebahagian replika Batu Malin Kundang mula ditenggelami air. |
Google : Batu Malin Kundang |
Ketika kami sampai, cuaca panas terik. Di sepanjang laluan menuju ke Batu Malin Kundang, banyak aktiviti tepi laut sedang dijalankan. Ramai pengunjung bermain ATVdi pantai yang berpasir halus. Memang rasa terbakar apabila berada di tepi laut ketika itu! Mujurlah ada beberapa gerai jualan topi di sepanjang laluan pejalan kaki.
Amie beli sebuah topi berharga IDR40,000. Barulah rasa selesa untuk berjalan kerana terlindung sedikit dari pancaran matahari. |
Inilah replika kapal Batu Malin Kundang, dilengkapi dengan binaan kapal yang tenggelam. Setiap kali hendak ambil gambar replika Malin Kundang, Setiap kali itulah juga pengunjung lain duduk di situ mengambil gambar duduk di sisi Batu Malin Kundang. Gambar di atas, Batu Malin Kundang terlindung oleh dua orang pengunjung yang sedang bergambar.
Akhirnya dapatlah juga kami bergambar di sini, di bahagian sebelah badan kapal yang pecah tempat Batu Malin Kundang. Di sebelahnya lagi sudah dimasuki air.
Cuba perhatikan betul-betul, ada bahagian belakang tubuh sedang sujud dan itulah replika Batu Malin Kundang.
Ini bahagian kanan kapal. |
Batu Malin Kundang di tengah-tengah. |
Dan ini bahagian kiri kapal, ada replika tali dan peralatan kapal yang lain. |
Selesai melawat Batu Malin Kundang, sudah tentulah hendak beli oleh-oleh sebagai kenangan. Kami luangkan masa di sini untuk membeli t-shirt dan juga pakaian lain yang diminati. Nanti setelah keluar dari kawasan ini sudah tidak jumpa lagi t-shirt Pantai Air Manis Batu Malin Kundang!
Ini merupakan tempat pertama melontar IDR!
Amie terpikat pula dengan t-shirt ini. Kainnya lembut dan sejuk. Sehelai berharga 40,000 IDR. |
Selain beli oleh-oleh di replika Batu Malin Kundang, boleh juga beli oleh-oleh di gerai tepi pantai. Sayangnya cuaca yang sangat panas, membuatkan kami cepat-cepat lari masuk ke dalam van. |
Sempat basahkan tekak dengan Teh Pucuk Harum yang sejuk! |
Dalam versi Brunei, Si Tanggang atau Malin @ Malim Kundang dikenali dengan nama Nakhoda Manis. Dikatakan bahawa batu yang ditukarkan daripada seluruh kapal Nakhoda Manis berserta isinya adalah Jong Batu di Sungai Brunei.
Mana tahu suatu hari nanti berkesempatan pula melawat Jong batu di Sungai Brunei. Apa pun, cerita dongeng pelbagai versi tetapi memiliki isi cerita yang sama ini mempunyai mesej tersendiri yang hendak disampaikan iaitu:
- Jangan derhaka kepada orang tua (ibu bapa).
- Sentiasa hormati dan santuni orang tua (ibu / bapa).
- Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.