Bismillahirrahmanirrahim.
Balik dari menoreh, kita bersama Encik Suami terus ke kedai kaca mata. Apabila periksa mata, memang kena ganti sebab bacaan bertambah. Paling lama 10 hari dapatlah kaca matanya, dan paling cepat seminggu. Maklumlah, kaca mata orang tua tidak ada di kedai LD. Tak tanya pula di mana tuan kedai tempah.
Kononnya selepas urusan kaca mata selesai hendak mencari cili padi, bawang dan limau kasturi. Kita hendak buat sambal belacan, esok bawa pergi ke ladang sebab bertugas jadi ketua masak untuk program SPM. Perut pula mula beri isyarat untuk diisi. Rupanya sudah pukul dua lebih.
Ajak Encik Suami cari kedai makan. Tak mahu menunggu lama di meja menanti pesanan makanan tiba, dan tak mahu kalau hendak pesan makanan itu tak ada ini tak ada! Mula-mula hendak singgah SR, tapi memikirkan banyak menu tidak ada, dan yang ada biasanya fish and chips, jadi kami singgah di Marrybrown.
Ini pesanan kami:
- Nasi Ayam MB Combo - MB Iced Salted Caramel Latte
- Bubur Pedas Combo - MB Iced Salted Caramel Latte
- Hotouch Burger
Dalam keadaan lapar memang mata tidak boleh berfungsi dengan baik sebab perut sudah meronta minta diisi. Apabila melihat mangkuk bubur, rasanya kita minta Bubur Pedas, tapi sepertinya yang dihadap berupa Bubur Ayam! Kita pun bersangka baik, mungkin memang kita order Bubur Ayam! Bismillah... terus menyudu suap ke mulut. Tapi terbayang-bayang pula rasa bubur yang pedas seperti yang diinginkan.
| Encik Suami : Nasi Ayam MB. |
| Upgrade minuman kepada Iced Salted Caramel Latte. |
| Beli Hotouch Burger juga. |
| Hotouch Burger |
Kita pun makanlah Bubur Ayam sambil kepala tak sudah-sudah memikir kenapa Bubur Pedas berubah jadi Bubur Ayam. Sudahlah. Makan sajalah, pujuk hati.
Sewaktu hendak menulis entri, tiba-tiba teringat resit yang terselit di poket handbag. Kita tarik keluar dan nampak tulisan : Bubur Pedas Combo. Hurrmmm.... memang betullah kita memesan Bubur Pedas. Bermakna terlebih bayarlah tu. Harga Bubur Ayam lebih murah berbanding Bubur Pedas.
Marrybrown oh Marrybrown!








