Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, hari ini LD terang benderang setelah beberapa hari dalam kegelapan. Walaupun dikatakan bekalan untuk sementara tapi sekurang-kurangnya sejak malam tadi tidak ada gangguan. Kelmarin tengah hari bekalan air pula terputus tanpa apa-apa notis. Pagi ini Alhamdulillah bekalan air kembali pulih.
Buat rakan-rakan penoreh yang bertugas di ladang pada hari ini, semoga sentiasa tabah. Ladang kami tidak menghadapi masalah bekalan elektrik kerana kedudukannya berdekatan dengan Hospital LD. Jadi, aktiviti perkampungan ilmu tetap dijalankan seperti biasa. Esok giliran Amie pula kemdalikan aktiviti tersebut.
Sarapan apa pagi ini? Kami sarapan di luar saja. Balik sarapan terfikir pula hendak masak untuk sajian tengah hari. Rasanya hendak masak asam pedas kepala ikan layar. Tanya kepada Encik Suami, ada lagi tak bunga kantan di pokok? Minggu lepas Encik Suami bawa masuk dapur dua kuntum. Amie masak dengan ikan sardin dalam tin. Sedaplah pula rasanya!
Alhamdulillah, pokok kantan ada bunganya. Kami tanam jenis bunga kantan saiz kecil. Apabila ada pokok kantan senditi, memang jaranglah hendak beli. Tengok harga pun seram semacam! Kecil saja bunga kantannya, harga sudah mencecah RM3-RM3.50 sen.
Pokok kesum pun subur elok tumbuhnya di belakang rumah. Encik Suami tanam di bawah pokok anggur. Lengkaplah aroma asam pedas, ada daun kesum dan bunga kantan. Biasanya kalau kedua-dua bahan ini tidak ada, Amie hanya gunakan daun limau purut yang tumbuh subur sebelah pokok mangga udang.
| Pokok kesum. |
| Pokok kantan di depan rumah, luar pagar. |
Sedang sibuk meninjau pokok kantan, terpandang pula pokok mulberi yang entah sejak bila sudah berbuah! Kata Encik Suami, lama sudah mulberi keluar buah. Amie saja yang tak pernah nampak, katanya.
Pokok mata kucing Brazil sudah mengeluarkan bunga dan putik tapi nun jauh di atas. Di belakangnya pokok epal bidara dengan buahnya yang masih bergayut-gayut.
| Bunga mata kucing Brazil yang di bahagian bawah pokok. |
Buah lemon pun banyak yang hampir masak.
Seminggu dua lagi bolehlah petik buah lemon. Setakat ini kami gunakan lemon dari pokok sendiri. Apabila lemon cukup matang, jusnya banyak!
| Pokok limau kasturi pun mula berbuah. |
Encik Suami tanam sepuluh pokok nanas di dalam tong. Alhamdulillah, sudah boleh tuai hasil. Nanasnya jenis kecil tapi sangat manis. Rajin pula nanas berbuah. Bukan kami sahaja yang dapat makan, Encik Suami bahagi-bahagikan ke kampung juga.
| Nanas hasil tanaman Encik Suami. |
| Terung Pipit |
| Terung Pipit |
Sempat petik terung pipit di pokok dan juga cili putih yang juga hasil tanaman Encik Suami.
| Cili Putih |
| Mangga Udang |
Pagi ini tiada mangga manila yang dikutip. Nampaknya memang musim mangga manila sudah berakhir. Terpandang satu bungkusan rapat ke tembok pagar di hujung pokok anggur. Apabila dibuka, rupanya ada dua biji mangga udang!
Sekian, cerita pagi ini.
Semoga tiada gangguan bekalan air dan elektrik terputus. In syaa Allah.
Semoga tiada gangguan bekalan air dan elektrik terputus. In syaa Allah.