Kita selalu sangka, panas sampai ke petang.... tapi tiba-tiba hujan di tengah hari. Kadang-kadang kita rasa cuaca mendung tak akan ada cerahnya sepanjang hari, tapi tiba-tiba muncul sang mentari!
Setelah Fuad mendaftar masuk ke Tingkatan 6, sangatlah senang hati kami. Sekolahnya depan rumah kami. Tak sampai 300 meter! Keluar dari pintu pagar rumah, berjalan sedikit ke jalan besar, lintas jalan... dah sampai pagar sekolah! Memandangkan sekolahnya yang sangat dekat itu, setiap pagi ketika kami sibuk-sibuk nak keluar rumah, dialah juga yang sibuk buka dan kunci pagar. Dialah yang mengangkat Firdaus yang sedang lena masuk ke dalam kereta sebelum Encik Suami hantar ke kampung. Dialah yang tukang angkat sampah buang masuk dalam tong besar di depan pagar. Selalunya Encik Suami yang terlebih dahulu meninggalkan rumah, diikuti oleh kita dengan Fairuz. Ketika itu barulah Fuad bersiap untuk ke sekolah.
Tiba-tiba pada pagi Sabtu 18 Jun, selepas bersahur... Encik Suami tanya kita.
Ada Fuad bagi tahu dia dapat panggilan masuk kolej?
Tidak. Oh...dia dapat masuk kolej ke?
Biarlah dia terus di tingkatan 6, balas Encik Suami.
Kita pun panggil Fuad.
Adik dapat masuk kolej ke? Kenapa tak bagi tahu Mommy?
Baba kata tak payah pergi, jadi taklah saya bagi tahu Mommy.
Adik memang nak masuk kolej ke?
Memanglah.... itulah doa saya.
Oh... mari sini sayang Mommy! Tahniah!
Dia cium tangan kita. Kita peluk dia, cium pipinya kiri dan kanan.
Kalau dah niat nak sambung ke sana, pergi sajalah....
Kita pun pelan-pelan cakap dengan Encik Suami:
Budak tu berminat nak masuk kolej. Panggilan pertama tak dapat, tapi dia terus mengharap. Dah dapat panggilan kedua... kenapa tak benarkan budak tu pergi. Bla bla blaa..... Kita ni, sebagai orang tua, selagi budak tu berminat nak sambung belajar ke sana, kita bagi sokonganlah.
Sebenarnya kita rasa nak menitik air mata bila Fuad kata: Memanglah.... itulah doa saya. Kita sedar...kita tahu...dia sudah cukup berusaha, berikhtiar...dan akhirnya bertawakkal.
Kalau dulu, semasa Farid menerima tawaran masuk ke kolej itu...ada tempoh yang agak panjang untuk kami buat persiapan. Tiba giliran Fuad, hanya beberapa hari sahaja...18/6 dapat tawaran... 23/6 daftar! Oh! Rupanya panggilan kedua begini keadaannya....
Memang kelam kabut dibuatnya! Mana nak buat itu mana nak buat ini! Apa yang penting sekali, kebetulan hari Sabtu 18/6 kita sekolah ganti, jadi kita terus isi borang CRK, cuti selama 2 hari untuk hantar Fuad lapor diri. Seharian Fuad meneliti segala borang yang perlu diisi. Esok, in shaa Allah akan bank in yuran, nak buatkan akaun Bank Rakyat untuknya, dan beberapa perkara lagi.... 22/6 bersamaan hari Rabu kita akan berangkat ke Kota Kinabalu, Keesokannya pula akan menaiki feri ke Labuan, hantar Fuad ke Kolej Matrikulasi Labuan.
Doakan ye...
Doakan semuanya akan berjalan lancar.
Rezeki Ramadhan 2016.
Rezeki Ramadhan 2016.