Assalamualaikum.
Selamat bertemu kembali setelah merehatkan diri agak lama dari dunia maya.
Terkial-kial jugalah kita untuk memulakan bicara... hiks!
Resepi ini sebenarnya agak lama tersimpan dalam folder. Waktu itu Fuad pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina dari Labuan. Dia teringin makan pecal, jadi Encik Suami suruh Amie buatkan. Bagaimanapun, Encik Suami membeli bahan untuk gado-gado pula! Maka, hasil kejadiannya sudah tentulah gado-gado yang tak berapa lengkap aksesorinya!
Kebiasaannya, di LD memang lebih kurang beginilah rupa gado-gadonya, tetapi untuk gado-gado yang Amie sediakan ini Amie tidak bubuh taugeh. Apa yang penting kuah gado-gado mesti sedap! Jadi, bolehlah makan sepuasnya!
Boleh klik DI SINI untuk melihat resepi gado-gado yang pernah Amie buat. Di bawah ini Amie sertakan sekali lagi resepi gado-gado kegemaran keluarga kecil kami. Sebenarnya setiap kali menjelang Ramadhan, memang gado-gado beginilah yang Encik Suami dan anak-anak nikmati. Biasanya Encik Suami beli di Bazaar Ramadhan.
Bahan-bahan kuah:
2 cawan kacang tanah - goreng dan buang kulit - kemudian kisar sehingga 'hampir' halus
1 sudu besar pati asam jawa
3 helai daun limau purut
1 batang serai - dititik
5 cawan air
1 cawan santan pekat
garam dan gula melaka secukup rasa
1/3 cawan minyak
Bahan kisar:
10 biji cili kering
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan airnya
1 labu bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, daun limau purut dan serai dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
2. Tuangkan air dan kacau sekali-sekala sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan kacang tanah.
4. Tambahkan gula melaka, dan pati asam jawa.
5. Tuangkan santan dan masak sehingga kuah menjadi pekat.
6. Taburkan garam secukupnya.
7. Kacau sekali lagi dan padamkan api dapur.
Sebaiknya kuah Gado-Gado disediakan beberapa jam lebih awal supaya rasanya mesra dan sebati sebagaimana kuah sate atau sambal nasi lemak!