Bertemu lagi.
Sementara menunggu mata mengantuk, Amie kongsikan lagi beberapa jenis ikan yang mungkin sudah biasa dilihat dan didengar namanya, dan mungkin juga baru pertama kali mengenali rupa bentuk dan namanya.
Kalau Amie salah beri nama, tolong betulkannya ye.
Ikan di atas Amie pernah kongsikan paparannya sebelum ini. Kalau di tempat Amie di sini, ia dipanggil ikan Ketambak @ Kutambak. Nama lain bagi ikan ini ialah Ikan Pelanduk atau Ikan Landuk. Juga dikenali sebagai Ikan Mempinang. Menurut kawan-kawan di LD, ikan ini dari keluarga ikan batu. Ada pelbagai jenis dan nama ikan ini mengikut rupa bentuk dan warna, tetapi dari keluarga atau spesies yang sama. Isinya tebal dan padat, sesuai sangat untuk digoreng! Arwah mak mentua selalu beli ikan ini untuk lauk kenduri. MIL panggil ikan ini ikan temparing. MIL mempunyai petua untuk memilih ikan yang elok dengan cara mematahkan ekornya. Lain kali Amie kongsikan petua itu ye.
Gambar di atas ini pula, sekumpulan keluarga bayan atau ketarap. Amie pun belajar makan ikan warna-warni ini dari keluarga sebelah Encik Suami. Biasanya kalau MIL masak ikan-ikan di atas, sambil kami menikmati hidangan makan tengahari atau malam bersama-sama, MIL dan FIL akan mengimbau kenangan sewaktu tinggal di Pulau Cocos (Keeling) serta menyebut nama-nama ikan yang pelbagai ini.
Ini ikan yang biasa kita lihat dan makan. Walaupun giginya nampak runcing tapi isi ikan ini sedap! Amie suka kukus atau goreng saja ikan ini. Apa nama ikan di atas ini? Sudah tentulah Ikan Sebelah. Ada yang panggil ikan Sisa Nabi, dan ada juga yang menggelarnya Ikan Togok. Kalau rajin, bolehlah tanya Pak Google untuk mengikuti pelbagai kisah lagenda berkenaan ikan Sisa Nabi ini.
Ini spesies ikan kekek... barangkali ikan kekek mak iloi-iloi itu....hiks!
Bersama ikan kekek ialah sejenis ikan bersisik dengan tahi lalat hitam setompok..... Adeehhh! Lupa apa namanya, padahal sudah bertanya kepada penjual ikan! Tapi rasanya kalau di Malaya dipanggil ikan selangat.
Yang bergantungan dengan ekor kuning berkilauan ini ialah ikan sulit. MIL panggil ikan buntut kuning. Mil selalu gunakan isi ikan ini untuk membuat serunding ikan untuk dimakan bersama kerak nasi. Isi ikan ini padat, dan memang sedap. Isi ikan ini juga dikatakan sangat sesuai untuk dijadikan fish ball!
Selain panggilan Ikan Sulit, ikan ini juga dikenali sebagai Ikan Bagan atau Ikan Delah.
Yang ini tak perlu diperkenalkan lagi. Si Kerapu... tapi banyak rupanya adik-beradik, sepupu-sepapat kerabu. Yang ini Kerapu Ekor Gelap.
Yang ini pun Amie sudah beberapa kali kongsi dengan namanya sebagai Ikan Belais. Selain belais, nama lain bagi ikan ini ialah ikan dengkis dan ada juga yang memanggilnya sebagai Ikan Capok. Ada pun dengkis @ belais ini juga mempunyai ahli keluarga dan saudara-mara yang pelbagai.
Ikan Gerut-Gerut ini juga tidak mahu ketinggalan menggantungkan dirinya supaya pemandu yang lalu-lalang dapat melihatnya, dan singgah membelinya. Banyak jenis keluarga gerut-gerut. Amie pernah melihat yang berwarna kuning di Pasar Ikan Tawau. Mungkin namanya gerut-gerut emas .... ahaks! Seingat Amie, Bonda pernah memanggilnya sebagai ikan Beliak Mata (Belek Mata). Gerut-Gerut yang tergantung itu beratnya 2 kg. Memang saiz besar!
Amie suka makan ikan gerut-gerut, tapi berfikir 5 kali untuk beli sebab memikirkan sisiknya itu...hiks! Alhamdulillah, bab menyiang ikan memang selalu dapat bantuan daripada Encik Suami.
Oh! Ada lagi yang bergantungan rupanya. Ini keluarga Ikan Putih. Macam-macam nama keluarga Ikan Putih, termasuklah Ikan Cermin, Ikan Nyior-Nyior.... yang biasa kita dengar nama Ikan Nyok-Nyok itu ler.... Ahli keluarga Ikan Putih juga dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Demudok.
Yang bertenggek nan seekor di atas ikan putih di atas tu Ikan Kerapu Batu namanya. Ada juga yang panggil Kerapu Mulut Merah sebab kalau buka mulut, nampak tu...warna merah!
Ini pun kerapu juga.
Barangkali namanya Kerapu Minyak! Lihatlah badannya yang berkilat itu. Maafkan Amie kalau silap bagi nama, sebab tak dapat rujuk sijil lahirnya...hiks!
Amie tak tahu nama ikan ini. Ada janggut di bawah mulutnya.
Dalam bahasa Inggeris dipanggil Red Mullet.
Red Mullet pun ada keluarganya juga, warnanya juga berbeza.
Red Mullet ini isinya tebal. Seperti biasa, memang Amie goreng saja kalau terbeli ikan ini.
Cantik Ikan Putih ini. Nama lain untuk ikan cantik ini ialah Ikan Gerepuh.
Ada yang panggil Ikan Cupak.
Ini juga kerabat Ikan Putih. Nama lainnya ikan Rambai.
Ia juga dipanggil Ikan Demudok. Kiranya Ikan Putih memang berkeluarga dengan Ikan Rambai, Cecupak, Demudok dan juga Ikan Cermin.
Inikah Ikan Nyok-Nyok?
Atau Ikan Nyiur-Nyiur?
Jom berkenalan dengan Ikan Kunyit Tanda. Apa sebab namanya kunyit? Mungkin sebab warnanya kuning! Dan ada tanda setompok tahi lalat pula!
Ini pula Ikan Gerong-Gerong atau Gerong Belang. Ikan ini juga dikenali dengan nama Ikan Kalakitok dan Ikan Gomblang.
Salah satu daripada keluarga Ikan Merah.
Ini pun keluarga Ikan Merah juga, tapi ada pula tahi sebagai tanda pada badan ikan ini.
Unik buka setiap kejadian Allah? Macam-macam tanda pengenalan diberikan untuk membezakannya dengan yang lain.
Ikan Kerong.
Seterusnya kita berkenalan pula dengan spesies bayan atau ketarap.
Spesies ikan-ikan begini biasanya MIL panggil ikan kakak tua.
Bentuknya hampir sama, tetapi warnanya berbeza.
Ikan-ikan ini bersisik lembut. Isinya juga sangat lembut. Kalau Amie menyiangnya, Amie lebih suka buang sisiknya dengan menggunakan tangan sahaja.
Ikan bayan ini kelihatan luka pada bahagian bawah pipinya. Sebenarnya ikan ini diburu dengan menggunakan tombak. Kebanyakan ikan yang kami beli di kampung tepi laut, bukanlah ikan hasil pukat sepenuhnya, tetapi hasil pancingan atau tombakan. Itu sebabnya ada bahagian ikan yang terluka seperti di kepala, badan dan ekor.
Badan ikan bayan atau ketarap ini sangat licin.
Untuk majlis-majlis makan bersama keluarga, biasanya keluarga sebelah Encik Suami akan memasak cara tradisi mereka. Untuk mengelakkan isi ikan dari terurai, terlebih dahulu ikan diperap dengan garam kunyit, dan digoreng setengah masak. Kemudian mereka akan menumis campuran lada kering kisar bersama bawang dan ketumbar biji. Santan diperlukan untuk menghasilkan kuahnya, dan sebagai sentuhan terakhir, jus limau nipis akan diperah ke dalam masakan. Amie pernah kongsikan masakan ini beberapa kali di blog ini.
Lihatlah ekor ikan bayan yang sangat cantik ini. Ia pelbagai warna dan memang sesuai ikan bayan ini dipanggil ikan kakak tua dan ikan nuri sebab warnanya dan mulutnya seperti rupa bentuk burung kakak tua atau juga burung nuri.
Khabarnya spesies ikan ini merupakan spesies yang dilindungi. Bagaimanapun, barangkali jumlahnya yang banyak di perairan Sabah, jadi ia tetap diniagakan di pasar. Lebih 25 tahun Amie bermastautin di Negeri di Bawah Bayu, namun ikan-ikan ini masih tidak berkurangan.
Bagi penyelam-penyelam di terumbu karang sudah tentu dapat melihat kecantikan ikan-ikan ini berkeliaran di celah-celah batu karang yang cantik!
Nampaknya setakat ini dahulu perkongsian Amie tentang ikan-ikan yang terdapat di pantai timur negeri Sabah. Ikan-ikan yang Amie paparkan ini merupakan jenis ikan yang biasa dibawa oleh para nelayan dari Tambisan, Kunak, Semporna dan Tawau.
Jumpa lagi.
Moga perkongsian ini membawa manfaat bersama.
Dan jangan lupa, tegur dan betulkan kalau ada yang tidak tepat.