Quantcast
Channel: Amie's Little Kitchen
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4772

Cara Masak Sambal Sotong Kering (Cumi-Cumi)

$
0
0
Bonda suka makan sotong kering, terutama sotong kembang (sotong kering yang direndam dengan air abu atau air sotong). Tapi Bonda selalu pesan, jangan selalu makan. Kurang elok untuk kesihatan, katanya. Makan sesekali bolehlah, pesan Bonda lagi. 
Dulu, Amie suka bawakan sotong kering sebagai oleh-oleh balik kampung. Bila direndam semalaman, penuh sebesen kembangnya! Dan puaslah meratah bila dimasak kicap, bubuh sedikit kacang tanah tumbuk.
Benarlah kata Bonda.
Bila Amie rujuk Pak Google, info yang Amie perolehi mengatakan sotong kering ini mengandungi bahan pengawet yang berbahaya untuk kesihatan kerana ia mengandungi logam toksik kadmium. Logam toksik kadmium ini digunakan untuk membuat bateri, baja fosfat dan plastik.
Apa pun, jika teringin makan marilah kita masak dengan cara yang betul, buang segala toksik yang terdapat pada sotong kering, dan ambillah dalam jumlah yang berpatutan sahaja.
Kali ini Amie kongsikan Sambal Sotong Keirng jenis cumi-cumi iaitu sotong saiz kecil atau anak sotong, dan sudah tentulah tidak boleh mengembang dan membesar seperti sotong kering saiz besar itu! Amie hanya rendam dengan air panas, dan tidak gunakan air abu atau air sotong.

 Sambal Sotong Kering Cumi-Cumi ini sedap dijadikan lauk nasi lemak!

Sebenarnya agak lama juga Amie simpan sotong kering cumi-cumi ini di dalam peti sejuk. Masih dalam paket, seberat 500 gram dan Amie masukkan dalam bekas bertutup. Entah berapa bulan ia tersimpan sampai terlupa untuk mengolahnya. Kelmarin Amie keluarkan dari peti sejuk dan buka paket tersebut, dan kelihatan sotong kering masih dalam keadaan elok.

Saiz sotong kering cumi-cumi ini tidak sama kerana ada yang ekcil dan ada yang agak besar sedikit. Mari kita bersihkan sotong kering ini sebelum memasaknya.

Mula-mula rendam sotong kering ini menggunakan air panas. Biarkan sekurang-kurangnya selama enam jam, atau lebih baik selama semalaman.

Sotong kering akan mengembang sedikit.
Toskan airnya, dan bilas beberapa kali. Kemudian bersihkan dengan cara memotong atau belah bahagian bawah perut sotong, keluarkan kepala dan buang dakwat sotong serta tulang belakang sotong.

Kemudian rendam sotong sekali lagi selama 1/2 jam atau lebih. Dengan cara ini, pasir halus dan bendasing lain akan terpisah dari sotong. Jangan lupa bilas sekali lagi. Jika suka, boleh potong sotong yang bersaiz agak besar agar menjadi lebih kecil.

Jom kita mula masak. Resepinya sama sahaja seperti masak sambal lain. Untuk menaikkan aroma, Amie masukkan daun pandan dalam masakan ini.

Bahan-bahan:
500 gram sotong kering cumi-cumi - rendam dengan air panas - biarkan semalaman - bersihkan
1/2 cawan minyak
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
2 helai daun pandan - siat-siat
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
40 tangkai cili kering
300 gram bawang merah
7 ulas bawang putih
25 gram belacan

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan daun pandan. Goreng hingga garing.
2. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga terbit minyak.
3. Kemudian tuangkan bancuhan air asam jawa. Biarkan mendidih.
4. Seterusnya masukkan sotong kering cumi-cumi, gula / garam / perasa pilihan secukupnya  dan perlahan api dapur.
5. Masak sehingga sambal pekat dan pecah minyak sekali lagi.
6. Padamkan api dapur.

Ada beza rasa sambal sotong kembang dengan sambal sotong cumi-cumi. Sotong cumi-cumi ada rasa liat-liat sedikit tapi tetap sedap!

Viewing all articles
Browse latest Browse all 4772

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>