Entri ini Amie tujukan khas buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang sangat dihargai.
Barangkali paparan kali ini menyimpang jauh dari dunia masakan.... sebab tidak berkaitan dengan resepi, tapi apa salahnya jika sesekali Amie ingin berkongsi kisah keluarga bersama rakan-rakan blogger kaaannn...
Amie ingin merehatkan diri dan minda buat seketika bersama keluarga sempena cuti sekolah yang baru bermula kelmarin. Ini bermakna tiadalah paparan resepi untuk beberapa hari akan datang. Kebetulan pula hari ini 22 Mac 2014 genaplah putera kesayangan kami Mohamad Firdaus berusia 1 tahun. Rasanya baru kelmarin Amie keluar dari hospital membawa si kecil kami seperti gambar di atas. Syukur Ahamdulillah... Mohamad Firdaus adalah kurniaan Ilahi yang tidak ternilai harganya buat kami sekeluarga.
Buat bloggers yang terdiri daripada kaum ibu, apa kata kita luangkan sedikit masa untuk kongsi pengalaman suka atau duka semasa melahirkan cahayamata. Syarat penyertaannya sangatlah mudah seperti di bawah ini:
1. Terbuka kepada semua follower Amie's Little Kitchen.
2. Buat entri bertajuk : Amie's 1st Giveaway : Debar Menanti Kelahiran
3. Copy paste gambar di atas dan linkkan ke blog Amie.
4. Ceritakan pengalaman anda semasa melahirkan, tidak kiralah anak pertama, kedua atau ketiga atau seterusnya.
5. Kalau ada gambar, bolehlah kongsikan bersama.
6.Tarikh tutup penyertaan akan Amie umumkan kemudian. Anda dinasihatkan menghantar penyertaan dalam minggu ini.
7. Hadiah istimewa sedang menanti anda! Apa hadiahnya dan berapa ramai pemenangnya, juga akan Amie umumkan kemudian. Jangan lupa, ... tuliskan warna kegemaran anda pada ayat paling akhir entri anda ( SAYA SUKA WARNA ...........) supaya hadiah yang bakal diterima mempunyai warna kesukaan anda!
8. Jangan lupa, daftar nama anda serta blog link anda sebagai peserta di kotak komen di bawah ini untuk memudahkan Amie menilai penyertaan anda.
Di bawah ini Amie coretkan pengalaman ketika Debar Menanti Kelahiran putera bongsu kami setahun yang lalu:
Menanti kelahiran Mohamad Firdaus merupakan detik yang sungguh mendebarkan buat Amie. Barangkali di sebabkan jarak di antara Mohamad Firdaus dengan abangnya yang 'bongsu tidak jadi' itu, Mohd. Fairuz Zamri 11 tahun lamanya!
Kelahiran Mohamad Firdaus lebih awal dari jangkaan. Mengikut tarikh yang diberi, kelahirannya pada 4 April 2013, tapi Mohamad Firdaus ingin lahir pada tarikh kelahiran yang sama dengan Tan Sri Dato Amar Dr P. Ramlee pada 22 Mac 2013.
Pada 21 Mac 2013, Amie ke sekolah seperti biasa. Disebabkan sudah ada sedikit lelehan cecair jernih sejak 2 hari lepas, Amie minta izin dari pihak sekolah untuk membuat pemeriksaan di hospital walaupun belum ada tanda-tanda sakit bersalin. Doktor mengesahkan belum ada bukaan di pintu rahim, dan katanya bayi dalam kandungan dalam keadaan normal. Melihat Amie tunjuk muka gelisah, doktor kata mungkin kalau Amie bersetuju untuk 'diinduce', kelahiran akan dijangka berlaku pada keesokan hari. Alamak! Amie tidak pernah melalui pengalaman melahirkan secara 'induce' sebelum ini.... dan dengarnya kesakitan yang dialami berlipat ganda dari kesakitan bersalin cara biasa! Apa pun, Amie pasrah sebab Amie lebih bimbangkan kandungan berbanding diri Amie sendiri.
Dipendekkan cerita Amie pun dimasukkan ke wad pada pukul 11 pagi, dan menjelang pukul 3 petang doktor yang memeriksa Amie pada sebelah pagi tadi datang semula untuk memasukkan ubat, dan katanya kalau tidak ada sebarang masalah, Amie akan bersalin keesokan harinya. Namun.... Amie belum berasa sakit lagi! Sehingga ke malam.... dan ketika tengahmalam, Amie bertanya kepada jururawat yang bertugas, kenapa Amie tidak sakit lagi? Kata jururawat tadi, kalau sampai esok pagi belum rasa sakit, ubat dos kedua akan dimasukkan! Tapi katanya, sebaik-baiknya kalau dapat bersalin selepas ubat yang pertama, itu lebih baik!
Oh! Tuhan.... akhirnya menjelang pagi, datanglah rasa sakit itu! Lebih kurang pukul 9 pagi, Amie dibawa masuk ke bilik bersalin, walaupun pada ketika itu jururawat mengesahkan bukaan pintu rahim baru berukuran 3cm. Amie ditinggalkan bersendirian di bilik bersalin tetapi ketika seorang jururawat datang semula ke bilik, Amie meminta supaya dia memeriksa bukaan pintu rahim disebabkan Amie rasa sudah tidak dapat menahan sakit. Setelah diperiksa, Amie terus bertanya.
Amie : Berapa cm sudah Nurse?
Nurse : Tadi di wad, berapa cm Nurse bilang?
Amie : 3 cm.
Nurse : Samalah... 3 cm. Jangan cuba-cuba mengejan ya (meneran).
Nurse tadi pun terus tinggalkan Amie. Amie terpinga-pinga. Mustahil baru 3cm setelah hampir 1 jam Amie berada di bilik bersalin sedangkan sakit yang dialami sudah begitu kerap!
Ya Allah! Habis segala doa-doa yang terpampang di dinding bilik bersalin Amie baca berulang-ulang tapi tidak juga datang Nurse tadi. Pada ketika ini, Amie berteriak agar suara Amie didengar oleh mana-mana jururawat yang berada di luar... dan tiba-tiba muncul 2 orang jururawat menerpa ke arah Amie.
Nurse I : Kenapa? Ada apa Mama?
Amie : Saya rasa saya dah nak bersalin.
Nurse I : Tidak boleh. Mama baru 3 cm.
Amie : Tapi saya rasa saya nak meneran sekarang.
Nurse II : Tidak boleh Mama. Mesti tunggu sampai 10 cm.
Amie : Oh! Saya tak boleh menahan.... saya nak teran sekarang!
Nurse II : Tak boleh... tak boleh! Kami belajar memang kena tunggu sampai 10 cm (Nurse II membuat ukuran 10cm dengan mencantumkan kedua-dua cari telunjuk dan ibu jarinya.
Amie : Saya tak boleh tunggu lagi....
Nurse I kelam kabut memeriksa bukaan pintu rahim dan katanya:
Nurse I : Ya... Allah! Sudah 8cm... (benarkah atau lebih dari itu?). Bolehlah teran sekarang...
Amie : Allahu Akbar.......!!!!
Syukur Alhamdulillah....nafas panjang & dalam sekali Amie tarik, dan dengan sepenuh tenaga melepaskannya dengan membayangkan insan kecil haruman syurga muncul di depan mata! Oh! Terasa amat merdu tangisannya yang pertama. Setelah dibersihkan dan dilengkapi dengan pakaian, si kecil diserahkan.... kepalanya di atas lengan Amie. Terasa ingin mengalir air mata kegembiraan... tapi Amie tahan dengan mengukir senyum merenung mata si kecil yang bulat memandang, sambil Amie bersuara...
Assalamualaikum sayang.... selamat datang ke dunia!
Dan kemudian, Amie susukan si kecil.
Dua hari kemudian, ketika itu Mohamad Firdaus sedang tidur, dikelilingi oleh semua abang-abangnya... Mohd. Faridzuan, Mohd Fuad & Mohd. Fairuz Zamri... Encik Suami berkata:
Encik Suami: Entah kenapa, lebih kurang pukul 10.30 (ketika itu Amie sedang 'berkelahi' dengan jururawat), perasaan Baba rasa lain sangat bila teringat Mummy di bilik bersalin.
Amie : Macamana perasaan tu?
Encik Suami : Tak tahu nak cakap... cuma Baba tak putus-putus memohon pada Allah ... ya Allah, kenapa lain betul perasaan ini? Kalaulah isteriku ada berbuat salah padaku, Kau ampunilah segala dosanya.... tak tahu kenapa sampai Baba cakap begitu.
Amie : Kuat sungguh gelombang minda Baba ya... Baba seolah-olah tahu waktu tu kita rasa dah nak mati!
Encik Suami : Kenapa?
Amie : Sakit yang paling sakit orang kata sakit nak bersalin... tapi kalau tak dibenarkan bersalin bukankah dah nak mati namanya?
Memang benar... sewaktu menahan sakit sebab tidak dibenarkan meneran itu Amie dah tak ingat yang lain kecuali menyebut nama Allah... nama Bonda dan mohon ampun dari Encik Suami sekiranya Amie ada berbuat salah kepadanya! Dan sesaat kemudian Amie 'berteriak' memanggil jururawat di luar! Subahanallah.... hidup ini penuh keajaiban!
Memang! Proses bersalin itu sangat sakit! Sangat derita... tapi bahagia akhirnya! Tambah bahagia bila Encik Suami sering berkata terutama sebelum tidur: Terima kasih... terima kasih sanggup mengandung dan lahirkan anak-anak Baba!