Hari ini 13 Februari 2021 bersamaan 1 Rejab 1442. Selamat berpuasa bagi yang menunaikan ibadah ini, dan perbanyakkan zikir serta doa sepanjang bulan mulia ini.
Kali ini Amie kongsikan paparan kuih sangat mudah disediakan adunannya, tetapi jarang 'menjadi' dengan cantik apabila digoreng! Itu pengalaman Amie. Tak tahu pengalaman orang lain. Banyak kali buat tapi jarang dijadikan entri sebab kejadiannya kurang molek... ahaks!
Di Sabah, kuih ini dikenali dengan nama kuih penyaram. Sedap dinikmati ketika masih panas. Kuih ini sangat terkenal dalam masyarakat Bajau kerana dijadikan sebagai salah satu permintaan wajib pihak perempuan sebagai barang hantaran perkahwinan. Yang biasa Amie dengar, jumlah yang perlu disediakan oleh pihak lelaki ialah sebanyak 300 biji.
![]() |
Kuih penyaram & kopi. |
Dalam entri Amie tentang kuih penyaram beberapa tahun lepas, ramai yang bertanya tentang kuih ini, kenapa begini dan kenapa begitu. Amie tidak dapat menjawab dengan tepat sebab Amie pun bukan pakar dalam pembuatan kuih tradisional masyarakat Bajau ini. Amie sendiri pun, walaupun gunakan adunan yang sama tetapi setiap kali goreng, bentuknya berbeza-beza! Boleh dikatakan jarang sangatlah dapat hasil yang memuaskan.
Bahan yang digunakan pula, Amie lihat ada yang tidak sama. Tanya sana katanya guna tepung gamdum campur tepung beras, tanya sini ada yang kata tambah tepung pulut, dan ada yang kata campur tepung jagung pula! Entah mana satu yang betul. Ada yang kata kena bubuh santan. Ada pula kata tak perlu peram, ada yang kata kena peram semalaman. Bagi Amie, adunan ini berjaya dihasilkan sekiranya ada rupa obor-obor sewaktu menggorengnya. Keruping-keruping di tepi-tepinya itu kira nasiblah, sama ada cantik atau sebaliknya. Yang Amie kongsikan ini pada Amie kurang menjadi.... ahaks!
![]()
Resepi yang biasa Amie gunakan seperti di bawah ini.
Bahan-bahan:
2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
200 gram gula melaka - parut
3/4 cawan gula pasir - jika suka manis, boleh tambah
2 cawan air
secubit garam
minyak untuk menggoreng
Cara:
1. Ayak tepung beras bersama tepung gandum.
2. Kemudian masukkan gula pasir, gula melaka, garam, air dan gaul rata.
3. Tapis adunan.
4. Biarkan lebih kurang 8 jam - biasanya Amie siapkan adunan sebelum tidur dan biarkan semalaman. Keesokan paginya barulah Amie goreng.
5. Panaskan lebih kurang 2/3 cawan minyak di dalam kuali melengkung saiz kecil.
6. Masukkan satu senduk adunan ke dalam kuali. (Jika suka saiz besar boleh gunakan senduk besar tapi tambahkan minyak. Jika suka yang kecil dan comel, gunakan senduk saiz yang agak kecil).
7. Ketika adunan sedang digoreng, kuih mula kelihatan seakan-akan obor-obor, dan keruping-keruping di bahagian tepinya terbentuk.
8. Setelah kelihatan sempurna, terbalikkan kuih, dan ia akan kelihatan seperti topi coklat keemasan..
9. Biarkan sebentar dan kemudian angkat kuih penyaram tadi, dan toskan.
Gambar kuih penyaram dari entri lama.
Nama lain kuih penyaram:
- penyam
- penjaram
- paniyaram (Chef Thyaga B Rajan - rakan blogger masakan)
- cucur jawa
- topi Mexico
- jompo-jompo