Malam ketupat datang lagi. Kali ini ketibaannya kami sambut dalam suasana PKPD.
Malam ketupat disambut pada malam 15 Ramadhan setiap tahun ketika umat Islam sedang menjalani ibadat puasa.
Malam ketupat merupakan amalan tradisi masyarakat Melayu Cocos, etnik minoriti di negeri Sabah yang berasal dari Pulau Cocos-Keeling yang dibawa ke Borneo ketika di bawah pentadbiran British. Ketika Sabah mencapai kemerdekaan pada 16 September 1963 dengan penyatuan ke dalam Malaysia, masyarakat Melayu Cocos secara automatik menjadi warganegara Malaysia. Kini Pulau Cocos-Keeling telah menjadi sebahagian daripada wilayah Australia. Sebahagian masyarakat Melayu Cocos juga telah menjadi warganegara Australia dan bermastautin di Kattaning dan Geraldton.
Oh! Baru teringat. SK Tanah Jauhar pernah bertanya bagaimana sebutan Cocos? Adakah Kokos atau Cocos?
Cocos berasal dari perkataan coconut. Asalnya, pulau yang mereka duduki itu dipenuhi dengan pokok kelapa (coconut) dan mereka bekerja sebagai buruh di ladang kelapa. Menurut arwah FIL dan MIL (mereka lahir di sana dan mempunyai kad pengenalan diri sebagai warga British), mereka digelar sebagai orang Melayu Cocos. Sebutan Kokos tapi ejaan Cocos. Dalam sijil lahir anak-anak kami ejaan ditulis Cocos.
Ketupat pulut |
Pada tahun-tahun sebelum ini, menjelang malam ketupat, masyarakat Melayu Cocos akan membawa ketupat ke masjid, dan selepas menunaikan solat terawih mereka akan bertukar-tukar ketupat sesama mereka.
Walaupun terkurung dalam PKPD, namun Amie anyam juga kelongsong ketupat seperti tahun-tahun sebelumnya. Jumlahnya tidaklah banyak, setakat 20 biji sahaja, tetapi semuanya bersaiz besar. Amie makan sebiji pun sudah kekenyangan! Kali ini ketupat tidak dapat merentas ke kampung. Ketupat hanya ada di taman perumahan sahaja.
Seperti biasa, Encik Suami kata agihkan sahaja kepada jiran terdekat. Walaupun jiran-jiran kami bukan keturunan Melayu Cocos, tetapi kami seagama, dan sudah tentu mereka dapat mengenali budaya kami sebagaimana kami menghormati dan memahami budaya mereka.
Kelongsong ketupat |
Kelongsong ketupat diisi dengan beras pulut yang direndam terlebih dahulu. Sewaktu hayat MIL masih ada, MIL suka masukkan udang kering atau kacang hijau ke dalam ketupat. Ketupat berisi beras pulut ini hendaklah dimasak dengan menggunakan santan kelapa segar. Jangan lupa bubuh sedikit garam sebagai perasa.
Di bawah ini Amie kongsikan gambar ketupat di dalam periuk yang hendak direbus. Gambar diambil dari entri lepas di sini: MALAM KETUPAT : AMALAN TRADISI MASYARAKAT MELAYU COCOS
Ketupat pulut direbus dengan santan kelapa segar. |
Ketupat pulut dan rendang daging |
Ketupat pulut ini enak dinikmati bersama rendang daging. Itu selera Amie, bukan selera keluarga sebelah Encik Suami. Masakan rendang kurang mendapat sambutan di sini sebab mereka pun ada masakan tradisi sendiri. Mereka akan makan ketupat dengan lauk lain seperti sambal kacang. Biras Amie orang Bugis, jadi dia akan masak ayam palekko pula untuk dinikmati bersama ketupat!
Sekian.
Selingkas kisah tradisi malam ketupat disambut dalam suasana PKPD di LD.