Sebelum bermulanya PKP 1.0 /2020, setiap kali menjelang malam 21 Ramadhan Encik Suami pulang dari solat terawih menjinjing satu bekas berisi kuih pasung! Penduduk kampung akan membawa kuih pasung dan bertukar-tukar sesama mereka selepas selesai solat terawih di masjid. Semakin lama Amie lihat dari tahun ke tahun, nampak semakin comel pula kuih pasung tersebut! Saiznya lebih kecil, dan ada pelbagai warna.
Masih ingat tak lagi tentang TRADISI MALAM KETUPAT DALAM MASYARAKAT MELAYU COCOS yang Amie paparkan minggu lepas. Selain Malam Ketupat, ada satu lagi malam istimewa dalam masyarakat Melayu Cocos iaitu Malam Pasung. Sambutan Malam Pasung sama juga seperti Malam Ketupat, dan yang membezakannya ialah Malam Pasung diadakan pada malam ke 21 Ramadhan manakala Malam Ketupat diadakan pada 15 Ramadhan. Biasanya malam 21 Ramadhan itu kita panggil Malam 7 Likur, Malam Selikur, Malam 2 Likur dan seterusnya.
Kuih Pasung |
Amie sempat belajar buat kuih pasung daripada arwah kakak ipar. Sewaktu Amie baru berkahwin dulu, kuih pasung hanya satu warna sahaja iaitu putih. Dari tahun ke tahun, ada perubahan warnanya dari putih ke warna hijau aroma pandan. Akhir-akhir ini ada warna-warni pula.
Ada simboliknya Kuih Pasung dengan Malam Pasung ini. Kalau dilihat dari segi bentuk kelongsongnya, menurut Encik Suami, ia merupakan bentuk bulan penuh (di bahagian atas) dan terus mengecil di bawah menandakan menghilangnya bulan.
Malam Pasung dikatakan malam menghilangnya bulan, dan pasung yang mereka maksudkan ialah pelita yang digunakan menerangi malam yang gelap. Apa pun, acara bertukar-tukar kuih pasung selepas solat terawih lebih bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dalam masyarakat Melayu Cocos.
![]() |
Kuih pasung pemberian abang ipar. |
Dua tiga hari lepas Encik Suami minta Amie buat kuih pasung. Amie pun ingat-ingat lupa dengan kelam-kabut mengejar masa untuk sampai ke Dewan Sri Perdana mendapatkan suntikan vaksin. Oleh kerana keletihan tak cukup tidur sebelah malam, jadi pulang dari Dewan Sri Perdana Amie terus tidur sehinggalah pukul 1:30 petang. Akibatnya setelah terjaga Amie rasa tak selesa di bahagian lengan yang disuntik. Terlupa pula untuk menggerak-gerakkannya atau tuam dengan air panas, sebaliknya dibawa tidur senyenyak-nyenyaknya!
Jadi, tak dapatlah Amie sediakan kuih pasung.
Dua minit sebelum berbuka puasa, abang ipar telefon. Rupanya abang ipar hantar kuih pasung tapi tak boleh masuk taman perumahan kami. Abang ipar minta Encik Suami keluar di tepi jalan dan dapatlah beberapa biji kuih pasung yang masih panas warna hijau seperti dalam gambar di atas.
Amie sudah makan 3 ketul.
Kejap lagi nak ke dapur, nak makan seketul lagi.
Sedap betul kuih pasung aroma pandan, adunan tepung beras dengan santan ini!
Encik Suami minta kebenaran polis yang menjaga pagar kawat duri untuk solat terawih di kampung. Dan pastinya, pulang nanti memang adalah kuih pasung lagi yang dijinjingnya!