Quantcast
Channel: Amie's Little Kitchen
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4772

Kerabu Bunga Betik

$
0
0

Masih cerita tentang bunga betik. Kelmarin masak lodeh pucuk dan bunga betik. Hari ini cerita kerabu bunga betik pula.

Kalau makan nasi dengan kerabu bunga betik, jauhkan lauk lain yang berkuah. Jadi, dapatlah menikmati sepenuhnya Kerabu Bunga Betik! Bagi yang suka kekalkan rasa pahit, boleh celur bunga betik begitu sahaja. Yang ingin kurangkan rasa pahit, bolehlah celur bersama asam gelugor atau asam jawa. Seperti biasa, Amie masukkan 3 keping asam gelugor ke dalam periuk berisi air yang sedang mendidih. Kemudian barulah Amie masukkan bunga betik. Bunga betik ini apabila dimasukkan ke dalam air mendidih, kedengaranlah bunyi mengerutup dalam periuk!

Kerabu Bunga Betik

Bunga Betik.

Hidangan Tengahari : Kerabu Bunga Betik, Acar Ikan Masin, Ikan Putih Goreng,  Telur Dadar dan Air Kelapa Mawar.

Acar Ikan Masin

Acar Ikan Masin ini Amie masak sebulan yang lalu. Walaupun Amie simpan pada suhu bilik tetapi masih elok sehingga ke hari ini. Inilah penyelamat keadaan kalau tak sempat masak lauk, tambahkan saja telur dadar! 


Biasanya kalau buat kerabu Amie akan bubuh belacan dan udang kering. Kali ini hanya ada udang kering sahaja. Ada jumpa 3 ekor ikan putih dalam freezer. 2 ekor Amie goreng dan seekor lagi Amie kukus. Kukus gaya koboi-koboi saja. Ikut cara Bonda kukus ikan kering... ahaks! Apabila butang rice cooker naik ke atas, buka penutup dan letakkan ikan putih atas nasi.  Kalau nak lebih sedap gunakan ikan kembung atau ikan selayang. Tapi Amie hanya ada ikan putih saja. Itulah yang Amie gunakan. Setelah nasi tanak, keluarkan ikan tadi dan hancurkan untuk ditambah ke dalam perencah Kerabu Bunga Betik. Jom lihat resepinya.

Bahan-bahan:
  • 2 cawan bunga betik yang sudah dicelur
  • 1 cawan kelapa parut
  • 1 labu bawang besar - hiris 
  • 1/2 biji cili merah - hiris
  • 1 biji limau nipis - ambil jusnya
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
  • 3 bili cili merah - buang biji
  • 7 biji cili padi
  • 1/2 sudu kecil belacan - bakar 
  • 3 biji bawang merah - bakar
  • isi ikan kukus / rebus
Cara:
  1. Tumbuk cili merah, cili padi, belacan dan bawang merah. Kemudian masukkan isi ikan dan tumbuk sedikit.
  2. Dalam sebuah bekas, masukkan bahan tumbuk, kelapa parut, garam / gula / perasa pilihan. Gaul sebati.
  3. Kemudian masukkan bunga betik, bawang besar dan jus limau nipis. Gaul kesemua bahan hingga mesra.
  4. Hidangkan.

Sebelum Amie masuk dapur untuk masak tengahari tadi, Encik Suami letakkan satu jug air kelapa mawar di dalam freezer. Memang cepat sejuklah kalau letak di bahagian sejuk beku. Sambil masak di dapur, Amie minum air kelapa mawar berkali-kali. Sedap sungguh! Sudahlah sejuk, manis pula. Sewaktu kami hendak makan nasi, Encik Suami tanya kenapa air kelapa jadi sedikit? Laaa.... rupanya Amie minum 4 gelas penuh! Bayangkan kalau satu gelas Amie tuang di antara 250-300 ml! Tidaklah sudah 1 liter air kelapa yang Amie minum? Patutlah perut rasa kenyang semacam! Syukurlah masih ada lagi satu kole! Bolehlah Encik Suami kongsi berdua dengan Firdaus.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4772

Trending Articles