Daerah lain kita tak tahu harganya. Harga petai di LD yang Amie jumpa paling rendah RM25 sekilogram. Ada yang berharga RM28 sekilogram dan RM30 sekilogram. Oleh sebab jarang jumpa petai, memang tak peduli harga berapa, terus sambar. Kalau tidak nanti sampai rumah teringat-ingat, rasa terkilan, rasa menyesal tak beli.
Kadang-kadang isi petai elok, tapi ada kalanya berpenghuni. Ada petai mata besar, ada petai mata kecil.
Pada suatu hari, kita masak Sambal Ikan Layar dengan Petai. Hahahaaa.... ayat klasik! Inilah akibatnya kalau sudah agak jarang tulis entri.
Kita masak gunakan SAMBAL TOMATO yang memang sentiasa ada dalam simpanan. Hanya tambahkan hirisan bawang besar, beberapa biji cili padi dan isi petai sahaja. Sambal Tomato sudah cukup rasa, tetapi apabila sudah ditambah ikan layar dan sedikit air sudah tentu perasanya agak lari. Jadi, bolehlah tambahkan perasa ikut citarasa. Kalau kurang rasa masam, bolehlah tambahkan asam keping atau pati asam jawa.
Sambal Ikan Layar dengan Petai |
Bahan-bahan:
- 400 gram isi ikan layar - potong ikut saiz yang digemari - lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
- 1 cawan isi petai
- 1 cawan SAMBAL TOMATO
- 1 labu bawang besar - hiris kasar
- 7 biji cili padi
- minyak untuk menggoreng
- 1 cawan air
- 1 sudu kecil pati asam jawa
- garam / gula / perasa pilihan
Cara memasak:
- Goreng ikan layar sehingga masak. Angkat dan toskan.
- Tinggalkan 3 sudu besar minyak bekas gorengan ikan layar di dalam kuali.
- Goreng bawang besar sehingga layu.
- Kemudian masukkan SAMBAL TOMATO.
- Tambahkan air, dan masukkan pati asam jawa.
- Biarkan kuah tumisan mendidih.
- Seterusnya masukkan ikan layar yang sudah digoreng, diikuti dengan petai dan cili padi.
- Gaul rata, dan tambahkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
- Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
Petai dari Pasar Kunak. |
Petai ini kami beli di Kunak. Harga sekilogram RM25.00. Kebetulan hanya ada sekilogram sahaja, dan tidak ada di tempat lain jadi kami beli semua.
Kalau ke Kunak memang Amie akan cari telur masin. Telur masin di Kunak sangat berbeza saiz dan harga dengan telur masin di LD. Di LD, sebiji telur masin mencecah harga RM1.80 sen sebiji tetapi saiz kecil. Amie lihat baik di gerai tepi jalan atau di kedai runcit, telur masin sudah tidak berkualiti. Mungkin harganya kayangan, jadi tidak ramai yang membelinya. Amie pun selalu fikir 3 kali untuk beli telur masin di LD. Pertama sebab saiznya kecil dan tidak sepadan dengan harga. Kedua, apabila direbus, isinya tidak berapa sempurna, mungkin sudah terlalu lama terdedah di luar.
Jadi, kesempatan ke Kunak perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Perjalanan sejauh 75 KM dari LD memang tidak berbaloi kalau tidak bawa pulang oleh-oleh kesukaan.
Telur Masin Kunak. |
Bulan Mac 2021, harga telur masih di pasar Kunak hanya RM1.20 sebiji. Minggu lepas kami datang, harganya sudah naik pula. Beli 5 biji di gerai sayur pertama, harganya RM1.40 sen sebiji. Apabila sampai gerai hujung, harganya RM1.30 sen sebiji. Kami beli lagi 5 biji. Saiznya sama sahaja.
Teringat suatu waktu dahulu, teringin makan telur masin. Minta Encik Suami beli di LD. Kata Encik Suami, macam tak berbaloi dengan saiz kecil dan harga RM1.80 sebiji. Amie kata belilah 3 biji sahaja. Apa jawab Encik Suami?
Teringat suatu waktu dahulu, teringin makan telur masin. Minta Encik Suami beli di LD. Kata Encik Suami, macam tak berbaloi dengan saiz kecil dan harga RM1.80 sebiji. Amie kata belilah 3 biji sahaja. Apa jawab Encik Suami?
Malulah beli 3 biji!
Ahaks! Amie ketawa sampai terkeluar air mata! Kenapa mesti nak rasa malu beli telur masin 3 biji? Sebab telurnya kecil sangat kot!
Telur masin Kunak tidak berasa masin sangat. Rasanya lebih kurang sama dengan telur masin yang Amie pernah beli dan makan di Bukit Tinggi. Di sana, telur masin dimakan begitu saja. Rasanya masin-masin manja.
Telur masin dari Kunak yang sudah direbus. |