Kalau balik kampung memang tak lengkap kalau tak singgah Warung Soto Ori Kanang Cawangan Bukit Cherakah. Ketika kami sampai, kira-kira pada pukul 10 pagi, warung baru sahaja bersedia untuk menerima pelanggan.
Kenapa mesti singgah sini untuk menikmati soto? Sudah tentulah ada keistimewaannya yang tersendiri yang menyebabkan Warung Soto Ori Kanang tetap di hati. Pelanggan yang datang memang tak putus-putus, dan warung sentiasa penuh.
Soto Ayam |
Soto Ori Kanang tidak menghidangkan sambal kicap sebagai pelengkap rasa, sebaliknya dihidangkan sambal cili padi warna hijau. Amie tak ambil gambarnya pula. Amie rasa cili padi tersebut direbus atau dikukus terlebih dahulu. Memang inilah sambal yang disajikan sejak dahulu lagi.
Ketika ini hanya Amie dan Encik Suami sahaja jalan-jalan cari makan. Selepas itu kami bergerak menuju ke Kuala Selangor untuk mencari barang-barang yang diperlukan bagi melengkapi keperluan majlis resepsi Abang Farid di Shah Alam.
Encik Suami pula memesan rojak mi sebagai alas perut. Sebelah petangnya pula, sekali lagi kami mengunjungi Warung Soto Ori Kanang. Fuad dan Fairuz turut serta. Kononnya mereka akan bersama Encik Suami ke Puncak Alam untuk mendobi pakaian, tetapi tersinggah ke sini pula!
Kebetulan pula ada rakan-rakan sekolah yang ingin Amie temui. Jadi, seperti biasa kami sepakat lepak di Warung Soto Ori Kanang.
Fuad makan mi rojak. Dia terpengaruh dengan cerita Encik Suami tentang keenakan mi rojak ayam. Fairuz mula meminta soto ayam. Rasanya Fairuz minta dua mangkuk soto ayam!
Nona Manis Durian |
Sementara itu, seorang demi seorang kawan-kawan sampai:
- Didi
- Rosmah
- Zehan
- Jaliah
Rosmah bawa Nona Manis Durian hasil air tangannya. Terima kasih Ros. Sedap sangat Nona Manis Duriannya.
Jom menyoto lagi!
Dan basahkan tekak dengan ais mangga.
Gambar kenangan : Kanang (Zainal), Awe, Amie, Rosmah, Zehan & Didi. Jaliah sudah pulang lebih awal. |
Amie, Kanang & Awe |
Kanang dan Awe sekelas dengan Amie sewaktu bersekolah rendah. Kanang kehilangan isteri akibat penyakit kanser, dan Awe pula kehilangan suami buat selama-lamanya juga disebabkan sakit. Kedua-duanya bertemu jodoh beberapa tahun lepas dan sama-sama mengusahakan perniagaan soto warisan keluarga Kanang. Moga mereka sentiasa sihat dan rezeki mereka terus bertambah.