Setelah lebih dua tahun tak dapat balik kampung, akhirnya terbang juga lintas Laut China Selatan. Sebelah malamnya memang tak tidur lena. Asyik termimpi-mimpi tertinggal kapal terbang! Pagi Rabu, 27 Oktober 2021 terbanglah kami berempat bersama Encik Suami, Fairuz dan Firdaus menaiki pesawat MAS Wings dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu.
Pesawat MAS Wings yang kami naiki, jenis Fokker 50.
Benda pertama yang hulurkan oleh pramugara di pintu masuk MAS Wings ialah tisu basah.
Walaupun naik pesawat kecil namun disediakan juga kudapan untuk para penumpang.
Ketika ini mata memang separuh tertutup! Maklumlah tak cukup tidur dan kurang rehat.
Amie hanya minum saja.
Tak tahulah apa rasa kuih ala-ala curry puff ini. Encik Suami kata sedap. Bahagian Amie Encik Suami tolong habiskan. Amie terlelap sampailah pengumuman untuk mendarat di Kota Kinabalu. Penerbangan dari LDU ke Kota Kinabalu tidaklah memakan masa yang lama. Hanya 55 minit sahaja.
Sementara menunggu penerbangan seterusnya ke Kuala Lumpur pada pukul 1. 10 minit petang, kami minum-minum dahulu di Marry Brown.
Inilah benda pertama kami terima di pintu masuk sewaktu menaiki Boeing ke Kuala Lumpur.
Di dalamnya ada dua helai face mask dan sebotol kecil hand sanitizer.
Sebenarnya ingin terus sambung tidur tetapi rasa sayanglah pula kalau tidak ambil makan tengahari. Jadi paksa mata untuk terus jaga sehinggalah hidangan sampai ke meja.
Firdaus yang duduk di sebelah Amie minta nasi beriani dengan kurma ayam.
Amie pula minta nasi putih dengan asam pedas ikan.
Sempat jeling sebelah, Encik Suami minta kopi panas.
Adeeehhhh! Kalau Amie minum seteguk kopi sudah tentulah tak dapat tidur sampai ke malam. Selepas makan, Encik Suami dan Firdaus menonton filem. Amie sambung tidur. Fairuz yang duduk di bangku seberang pun nampaknya tidur juga.
Hendak bertolak balik ke Kuala Lumpur pada 7 November, kami sekeluarga perlu menjalani swab test pada 5 November pula. Huurrrmmm... terasa-rasa 'wasabi' mencucuk hidung! Memang prosedur naik kapal terbang kali ini agak mencabar terutama sewaktu proses daftar masuk. Sabar sajalah hadapi itu semua. Yang penting semua dokumen seperti sijil vaksin dan laporan swab test yang diperlukan telah sedia ada, dan MySejahtera sentiada dikemaskini. Untuk pelepasan ke Sabah dan Sarawak perlu isi maklumat secara online pula. Syukurlah petugas di kaunter sentiasa membantu kami. Memang memakan masa jugalah berurusan ketika itu.
Lega rasanya setelah selesai melepasi proses daftar masuk!
Perjalanan kali ini memang agak meletihkan. Balik ke Selangor dalam keadan letih. Balik ke Sabah berganda letihnya! Apa pun syukurlah segala urusan dipermudahkan dan berjalan lancar seperti yang dirancang.
Singgah lagi di Marry Brown KKIA Airport sebelum terbang ke Lahad Datu pada pukul 3 petang.
Alhamdulillah! Akhirnya sampai ke destinasi.