Sarapan pagi, makan tengahari, petang dan malam di Esplanade Sipitang dengan hidangan pelbagai jenis sate! Itulah keistimewaan Sipitang dengan deretan gerai sate di tepi laut. Sudah 29 tahun bermastautin di Sabah tetapi baru kali ini berkesempatan menjejak kaki di Sipitang. Untuk datang kali kedua, belum dapat dipastikan lagi bilakah masanya. Jadi, di kesempatan keemasan ini sahajalah perlu rebut peluang merasa jenis-jenis sate yang ada.
![]()
Hari terakhir di Sipitang, kami singgah lagi di Esplanade Sipitang. Kami singgah di gerai paling hujung untuk menikmati sarapan pagi sambil merasai tiupan bayu laut. Kami memesan 10 cucuk sate ayam dan 10 cucuk sate kambing.
![]() |
Sate ayam dan sate kambing. |
Ketika pesanan sate kambing dan sate ayam tiba di meja, Encik Suami bertanya : Ada sate kerbaukah? Pekerja gerai makan menjawab : Sate daging itulah sate kerbau.
Oh! Rupanya kami sudah makan sate kerbau sebelum ini. Sate daging bermaksud sate kerbau!
Amie meminta Encik Suami memesan lima cucuk sate kerbau. Bukan apa. Terlupa rasa sate kerbau yang kami makan pada hari sebelumnya. Alang-alang hendak tinggalkan Sipitang, eloklah makan lagi sate kerbau.
Patutlah Amie rasa sate 'daging' agak lain sedikit dari sate daging lembu yang biasa Amie makan. Sate 'daging kerbau' ini agak kasar (keras) sedikit dan bukannya liat. Inilah kali pertama seumur hidup dapat makan sate kerbau.
![]()
Kami sempat jamah kelupis dan ketupat. Nanti sudah sampai LD teringat-ingat pula kelupis di Sipitang. Baiklah makan di sini.
Firdaus dengan wajah ceria di pagi hari, bersarapan sambil menikmati hembusan bayu laut.
Setakat makan sate saja tentulah perut tidak kenyang. Encik Suami perlu tenaga untuk memandu semula ke Beaufort. Kami sarapan:
- Sate ayam, kambing & kerbau.
- Ketupat & kelupis.
- Soto campur (ayam & daging)
- Mi goreng
Bismillahirrahmanirrahim.
Entah bila dapat makan ketupat dan kelupis di sini lagi.
Kuah kacang memang sangat sedap, dicecah dengan sate atau makan dengan kelupis & ketupat.
Kenangan hari terakhir di Sipitang, dapat berkenalan dengan sate kerbau walaupun sudah makan pada hari sebelumnya!
Ketika kereta bergerak meninggalkan daerah Sipitang, terpandang pula beberapa ekor kerbau sedang meragut rumput di tepi jalan!