Quantcast
Channel: Amie's Little Kitchen
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4773

Pajeri Nanas

$
0
0
Minggu lepas Amie buat Pajeri Nanas tapi tak sempat nak makan. Bukan apa, waktu itu Amie masak untuk majlis makan keluarga sebelah Encik Suami, jadi bila dah masak macam-macam menu, tak berseleralah pula nak menjamahnya sebab penat. Lagi pun bila tengok para tetamu nampak macam sedap je makan, berbaloi pulak rasanya penat lelah, dah terasa pula kita yang kenyang! Apa pun, sempat juga Amie mencicipi sedikit walaupun hanya kuahnya saja! Nak tahu apa rasanya? Mestilah sedap.....! Sedap bagi Amie laaa....


Teringat dulu zaman muda remaja semasa tinggal di kampung, Amie ingat bukan zaman remaja saja tapi sejak zaman kanak-kanak Amie selalu nampak hidangan pajeri nanas bersama pelbagai menu lain semasa kenduri kahwin atau kenduri-kendara yang lain. Sampai sekarang Amie sangat mengkagumi semangat kerjasama dan gotong royong orang kampung semasa rewang menyediakan pelbagai masakan.Kalau nak dibandingkan rupa Pajeri Nanas yang Amie hasilkan dengan Pajeri Nanas yang dimasak oleh orang kampung, memanglah hasil Amie agak hodoh sikit he hehehe... sebab Amie gunakan kerisik beli! Sedangkan orang kampung buat sendiri kerisik dan sudah tentulah hasilnya cantik, taklah ada bintik-bintik hitam kerisik hangus macam dalam gambar Pajeri Nanas yang Amie paparkan di atas dan di bawah ni!


Apa pun .... hodoh ka, cantik kaaaa... rasa Pajeri Nanas yang Amie nasak ni memang sedap! Encik Suami kata sedap! Amie pun tahu, memang sedap ha hahaaa... iyolah, kalau dah sedap tu, kongsi sajalah resepinya kan.

Bahan-bahan:
1 biji nanas masak seberat 1 kg - kupas kulit dan potong bulat kemudian dibelah 4 - buang empulur nanas
4 sudu makan rempah kari daging
4 sudu makan kerisik
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang
gula melaka secukupnya
garam secukupnya
1/2 cawan air
1/2 cawan minyak
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan kisar:
7 tangkai cili kering - kalau tak mahu pedas boleh kurangkan - tak bubuh cili pun tak apa
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Rebus nanas dengan sedikit garam. Setelah nanas layu, toskan airnya.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak dan kemudian masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.
3. Masukkan udang kering dan serbuk rempah kari, dan jika terlalu kering tambahkan air. 
4. Masukkan kerisik dan gaul rata diikuti dengan nanas.
5. Perasakan dengan garam dan gula melaka.
6. Masak seketika sehingga kuah pekat.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 4773

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>