Quantcast
Channel: Amie's Little Kitchen
Viewing all 4759 articles
Browse latest View live

Satu Ekor Ikan Susu Masak 2 Cara

$
0
0

Encik Suami beli seekor ikan susu. Besar juga saiznya. Mungkin lebih 1 kg. Kita teringin nak makan ikan masak asam pedas. Anak-anak pula suka makan ikan panggang. Encik Suami tak kisah, mana-mana pun dia makan. Sambil membersihkan ikan, sambil memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah.... ahaks! Tiba-tiba terfikir : Ikan bersaiz agak besar ini boleh dipotong dua. Separuh masak asam pedas, separuh lagi boleh dipanggang! Akhirnya, terhasillah dua cara masakan. Sebahagian ikan dimasak asam pedas, sebahagian lagi panggang. Jadi, win-win situation. 


Bahan-bahan:
3 kepingan ikan susu
1 kuntum bunga kantan - belah 4
7 tangkai pokok kesum
1 batang serai - diketuk
2 biji tomato - belah 2
2 keping asam gelugor
4 sudu besar minyak
700 liter air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
7 biji cili padi
1 sudu kecil belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm kunyit
1 cm halia
1/2 sudu kecil lada hitam

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai sehingga pecah minyak.
2. Masukkan asam gelugor, daun kesum, bunga kantan serta air. Biarkan mendidih sekurang-kurangnya 5 minit. Lebih lama mendidih, lebih baik.
3. Masukkan ikan susu.
4. Biarkan ikan susu masak dan kemudian masukkan buah tomato.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Ikan Susu Masak Asam Pedas



Sementara menunggu kuah asam pedas mendidih, siapkan pula ikan susu yang akan dipanggang. Tumbuk halia, kunyit hidup dan bawang putih, 1/2 sudu kecil lada putih dan 1/2 sudu kecil lada hitam. Tambahkan garam / perasa pilihan. Tambahkan 1 sudu besar minyak dan gaul sebati dengan bahan tumbuk. Kemudian lumurkan bahan tadi pada ikan. Panggang hingga masak. Bolehlah hidangkan dengan sambal kegemaran dan juga ulam-ulaman.

Ikan Susu Panggang


Mulakan Hari Anda dengan Harapan & Jangan Lupa Ambil Sarapan

$
0
0

Assalamualaikum dan selamat pagi. Selamat berhujung minggu. Moga ceria-ceria sahaja hari ini. Semua sudah maklum dengan pengumuman yang disampaikan oleh Menteri Kanan Keselamatan kelmarin. PKPB ditamatkan kecuali Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah dilanjutkan selama 14 hari, bermula 7-20 Disember. Rancangan kami untuk balik Malaya terpaksa ditunda, dan tiket penerbangan juga perlu diubah tetapi tidak tahu bila tarikh yang benar-benar sesuai untuk terbang. Setakat ini hanya mampu berdoa dan berharap ada kesempatan untuk menziarahi Bonda dan ahli keluarga di Selangor.

Sarapan apa pagi ini? Jangan lupa alas perut sebelum meneruskan rutin mingguan. Pagi ini Amie tak masak sarapan pagi. Sudah ada bungkusan makanan di atas meja dapur tersedia untuk dinikmati. Encik Suami suruh Fuad beli di warung. Ada nasi kuning, mee hoon dan mee goreng.

Jom sembang-sembang di dapur. Antara menu yang Amie sediakan buat seisi keluarga minggu ini termasuklah lempeng dan nasi goreng. Abang Farid suka makan lempeng. Banyaklah keping yang didadar, nipis dan kecil-kecil. Biasanya Amie hidangkan dengan sambal tumis. Kelmarin, Amie gandingkan lempeng dengan sambal tumis telur hancur.


Lempeng & Sambal Tumis Telur Hancur



Minggu ini adik ipar dan kakak ipar buat kenduri tahlil. Balik kenduri, dibekalkan dengan nasi dan lauk-pauk. Jadi, banyak kali jugalah buat nasi goreng sebagai sarapan pagi. Ada nasi goreng campur isi ikan. Nasi goreng kencur dengan ikan masin, dan nasi goreng udang.

Nasi Goreng Ikan


Nasi Goreng Kencur & Ikan Masin



Nasi Goreng Udang


Sarapan pagi ini beli di warung.


Makan Pulut Kuning Kari Ayam Di Kala Hujan Petang

$
0
0

Hujan masih renyai-renyai. Seronok sungguh kalau dapat layan mata, lelap buat seketika. Tapi takut terlanjur sampai ke petang pula. Paksa diri untuk segarkan mata dengan minum air kosong dua gelas. Kemudian duduk berdua bersama Firdaus di ruang tamu. Ketika sedang membimbing Firdaus membuat ulangkaji untuk peperiksaan akhir tahun sekolah agamanya, tiba-tiba telefon berbunyi. Rupanya Dik Za Fauzan yang menelefon, dan katanya ada oleh-oleh untuk kami. Dan dia sudah berada di hadapan pintu pagar. Dik Za Fauzan hantar pulut kuning yang cantik dihiasi telur goreng warna-warni dan kari ayam. Kata Dik Za Fauzan, dia akan hantar pulut kuning dan kari ayam masakannya ke rumah kawan-kawan yang lain. Sedap sungguh pulut kuning cecah kari ayam, masakan Kelantan! Dik Za Fauzan memang pandai memasak. Sebelum PKPB dan PKP yang lepas, hari-hari lapangnya diisi dengan berniaga nasi kerabu, laksam, dan kuih-muih di pasar tani, dan pasar malam. Banyak tempahan makanan diterima sehingga tak menang tangan dibuatnya. Emak dan ayah Dik Za Fauzan  serta adik-beradiknya yang lain memang berniaga makanan di Kelantan, jadi ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi!

Pulut Kuning Kari Ayam

Kenangan November 2019 bersama Dik Za Fauzan dan Kak Pah (jalan-jalan ke LD dari Kelantan) di Restoran Aman Santai, Sri Perdana.

Kunjungan kami ke Bachok, Kelantan pada Disember 2019.

Bersama ayah dan ibu Dik Za Fauzan.


Kata Dik Za Fauzan, pulut kuning kari ayam ini sempena ulangtahunnya pada 4 Disember 2020 lepas. Happy belated birthday dik. Moga sentiasa sihat dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Aamiin.

Tanam Bunga Ati-Ati dalam Baldi

$
0
0

Tiga hari lepas Amie tunjukkan gambar-gambar pokok bunga ati-ati pada Encik Suami. Amie kata: Cantik betul warna daun ati-ati. Kalau kita tanam, berseri laman. Tak payah susah-susah tunggu pokok keluarkan bunga macam pokok bunga ros dan pokok bunga daisy di depan rumah tu.

Petang kelmarin, Encik Suami bawa pulang 10 jenis pokok bunga ati-ati.

Katanya lagi, dia sudah beli 2 karung tanah dan 15 buah baldi untuk tanam pokok ati-ati. Amie tanya, kenapa tanam pokok bunga dalam baldi? Jawab Encik Suami: Baldi lebih murah dari pasu. Nanti boleh lubangkan bawah baldi, jadilah macam pasu bunga juga.

Amie diam-diam saja. Dalam hati berkata: Kita baru berangan nak tanam pokok bunga ati-ati. Dia sudah siap bawa pulang pokok, tanah dan baldi untuk dijadikan pasu. Alhamdulillah. Baldi pun baldilah!

Pagi tadi, Amie tanya: Bila nak tanam pokok bunga ati-ati?

Jawab Encik Suami: Sudah ditanam petang kelmarin. Nak tengok? Marilah.

Ditunjukkan sebaris baldi warna biru tersusun di tepi longkang, tempat letak kereta. Memanglah kita tak nampak sebab terlindung oleh kereta.

 









Sebenarnya sudah tidak ada ruang lagi untuk bercucuk tanam. Bukannya ada tanah pun. Setakat sekangkang tikus buat tanam-tanam pokok bayam brazil dan pokok selasih tu bolehlah. Kawasan tepi longkang pun Encik Suami manfaatkan juga dengan meletak pasu-pasu orkid yang baru di'hidup'kan semula. 

Barisan longkang yang penuh dengan tanaman bunga.

Walaupun pokok ati-ati ditanam dalam baldi, tapi nampak cantik juga. Amie tidaklah beriya sangat nak tanam pokok bunga ati-ati, tapi biasanya kalau sekali cakap Encik Suami terus usahakan. Itu yang kadang-kadang kena hati-hati sebelum berkata-kata.... ahaks! 

Sekarang kami sudah ada 10 jenis pokok bunga ati-ati ditanam dalam baldi, diletak sepanjang tepi longkang bersebelahan dengan tempat letak kereta. Encik Suami kata, nanti dia akan tambah koleksi pokok bunga ati-ati. Oooo... ada 5 buah baldi lagikan? Terima kasih Encik Suami. Moga pokok bunga ati-ati terus tumbuh subur.

Berkenalan dengan Buah Labu Kayu @ Buah Maja @ Delima Batu @ Applewood

$
0
0

Hari ini Amie dapatkan kepastian daripada Pak Google tentang nama sejenis buah yang selalu kelihatan bergantungan di ranting seperti belon hijau atau buah limau bali. Pokok ini banyak tumbuh di kampung Encik Suami. Ramai yang menanamnya sekadar untuk hiasan sahaja. Buahnya bulat dan cantik, tetapi keras seperti kayu. Barangkali kalau dibaling kena kepala orang, boleh pecah berdarah  kepala orang itu. Begitulah kisahnya, buah yang tidak diketahui nama dan sebab tidak boleh dimakan mungkin kerana kerasnya yang kadang-kadang diumpamakan bukan lagi seperti kayu, tetapi seperti batu! 

Pagi tadi ikut jalan-jalan bersama Encik Suami, pergi ke ATM, masuk kedai roti dan beli barang dapur di coldstorage. Kemudian singgah makan tengahari di Hot Plate Sri Perdana. Terpandang buah seperti belon hijau di taman  berhampiran premis perniagaan, Amie pun ambil gambar. Ingin tahu lebih jelas tentang buah ini, Amie cuba buat rujukan dengan Pak Google. Akhirnya dapatlah nama sebenar buah belon hijau ini namanya buah labu kayu. Nama lainnya ialah buah maja. Ada yang panggil buah delima batu atau applewood.


Buah Labu Kayu @ Buah Maja @ Delima Batu @ Applewood


Apabila dilihat dari jauh, buahnya yang bergantungan, sudah tentulah menarik pandangan.

Di dalam rimbunan dedaunnya yang menghijau subur, buah labu kayu melekat di dahannya!

Buahnya bukan sebiji dua tetapi berderet-deret dengan susunan yang cantik!


Andaikan ini buah mangga, sudah tentu sudah menjadi mangsa burung atau kelawar. Namun disebabkan kerasnya buah ini, haiwan pun tidak mahu menghampirinya.



Ada yang mengatakan buah labu kayu memiliki 1001 khasiat perubatan dan manfaat untuk kecantikan. Melalui pembacaan Amie, labu kayu dijadikan ubat untuk merawat kanser, fibroid, cyst, darah tinggi dan seumpamanya.

Namun begitu, setakat ini belum ada kajian saintifik yang membuktikan buah labu kayu berpotensi untuk merawat kanser dan juga darah tinggi.

Syukur Alhamdulillah sekiranya ada kajian yang dapat membuktikan manfaat dan kebaikan buah labu kayu dalam bidang perubatan. Mudah-mudahan ada usaha R&D ke arah ini.





Sesungguhnya Allah tidak menjadikan benda dan makhluk dengan sia-sia. 

Firman Allah dalam Surah Ali Imran, Ayat 191 yang bermaksud:

(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.


              
Walaupun lebat berbuah dan hampir matang, tetapi di celah-celah daunnya bermunculan bunga dan putik buahnya yang baharu.



Titis-titis hujan mula berguguran ke bumi, namun setitik pun tidak menimpa Amie di bawah rimbunan pohon labu kayu disebabkan daunnya yang sangat rimbun! 

                    
Memandangkan hujan bertambah lebat, Amie pun segera meinggalkan pokok labu kayu dengan buah-buahnya yang bergantungan di ranting dan bertempelan di dahan.

Roti Bawang Putih & Sup Cendawan (Garlic Bread with Mushroom Soup)

$
0
0

Selamat pagi. Mulakan hari dengan Bismillah.  Moga baik-baik sahaja hari ini. Jom alas perut dahulu sebelum meneruskan tugas yang dipertanggungjawabkan. 

Amie sempat sediakan roti bawang putih (garlic bread) dengan sup cendawan. Hari ini Amie berada di tempat kerja pada sebelah pagi, dan sambung BDR sebelah petang. Harapnya urusan kerja sentiasa dipermudahkan dan berjalan lancar. In shaa Allah.


Garlic Bread & Mushroom Soup & Fruits


Garlic Bread

Mushroom Soup



Mari lupakan perkara yang tidak dapat kita capai pada hari semalam. Kita fikirkan perkara indah yang bakal kita hadapi pada hari ini.

Cerita Nasi Ambeng

$
0
0

Sejak minggu lepas teringin nak makan sambal goreng bubuh kacang tolo. Sambal goreng campur kacang tolo ini Amie selalu jumpa di majlis kenduri kahwin, atau kenduri - kendara yang lain. Kalau di majlis kahwin, biasanya kacang tolo bercampur di dalam sambal goreng babat. Seronok melihat kaum lelaki tumis sambal goreng babat kacang tolo dalam kawah besar. Di kampung kami, secara tradisinya kalau ada kenduri besar seperti majlis perkahwinan, memang kaum lelakilah yang akan bergotong-royong memasak. Kaum perempuan pula menyiapkan bahan masakan seperti memotong bawang, membuat acar dan menggiling rempah.
Sebenarnya kacang tolo sudah lama Amie beli, tetapi untuk mengolahnya itu yang agak berat timbangan rasa malasnya... ahaks! Tengahari tadi, sebaik sampai ke rumah dari tempat kerja Amie terus ke dapur untuk kemas-kemas banyak bekas makanan yang agak bersepah. Tiba-tiba terjumpa serunding kelapa dalam tupperware. Entah bagaimana, sepantas kilat terlintas dalam kepala untuk buat nasi ambeng! Kebetulan pula ayam sedang dinyahbeku. Apalagi.... bersilatlah di dapur seorang diri untuk menyiapkan lauk-pauk nasi ambeng. Sudah semestinya kacang tolo tidak dilupakan!

Nasi Ambeng

Kacang Tolo

Ada nama lain bagi kacang tolo ini. Amie sebut kacang tolo sebab kacang tolo itulah nama pertama yang Amie dengar. Kacang tolo juga dikenali sebagai kacang tunggak atau kacang ketupat. Macamana boleh dapat nama kacang ketupat eeerrkk? Barangkali kacang ini dimasukkan bersama beras atau pulut di dalam kelongsong ketupat! Keluarga sebelah arwah Ayahanda suka masak ketupat pulut (jenis panjang, tapi tak ingat apa namanya), dan di dalamnya ada kacang tolo. Nama lainnya termasuklah kacang mata hitam atau black eyed peas. 
Sewaktu arwah Ayahanda berkebun di pinggir bukit menghala jalan masuk ke Puncak Alam dari arah Bukit Hijau, ada beberapa jenis tanaman kacang yang ditanam termasuk kacang hijau dan kacang tolo ini. Masih teringat, kami memetik kacang hijau yang sudah matang. Ketika Bonda masak bubur kacang hijau hasil tanaman kebun kami, memang aromanya tak sama dengan aroma kacang hijau yang Amie masak sekarang. Maklumlah, kacang hijau yang Bonda masak baru dituai segar dari kebun!
Pokok kacang tolo pula, buahnya sangat lebat! Setiap kali arwah Ayahanda suruh Amie jaga tanaman jagung dari dikekah monyet, Amie ambil kesempatan kutip kacang tolo! Biasanya Amie sembunyikan isi kacang tolo dapat saku baju,dan kemudian rebus dengan sedikit garam apabila pulang ke gubuk.
Kita kembali cerita Nasi Ambeng pula.
Sambal goreng (orang sebut sambal goreng Jawa) yang Amie hasilkan ini ringkas sahaja, tetapi setelah tambah itu dan ini, menjadi banyaklah pula. Bahan yang Amie gunakan termasuklah tempe, tauhu basah, lobak merah, kentang, suhun dan petai. Sebenarnya sambal goreng ini tidaklah terhad kepada bahan tertentu sahaja. Terpulanglah nak bubuh apa. Banyak versi sambal goreng di setiap majlis kenduri. Lain daerah, ada versinya yang tersendiri. Cuma, bahan asas yang digunakan untuk mengekalkan kejawaannya, sudah tentu ada tempe, tauhu, suhun serta kentang. Ada sambal goreng versi kering dan ada sambal goreng versi basah. 

Sambal Goreng (Jawa)

Alhamdulillah. Hasrat untuk menyediakan nasi ambeng buat hidangan seisi keluarga dipermudahkan dengan penemuan serunding kelapa dalam tupperware yang telah dilupakan! Aduhai....serunding kelapa! Sebenarnya serunding kelapa ini tersimpan sejak bulan April 2020! Amie simpan di dalam beberapa buah tupperware, dan nampaknya ini adalah tupperware terakhir berisi serunding kelapa! Keadaan dan rasanya masih elok sempurna. Terima kasih Bonda tersayang kerana telah mengajar anakanda membuat serunding kelapa yang tahan hingga berbulan lamanya! Kalau ikutkan tarikh Amie buat serunding kelapa ini pada pertengahan April 2020, bermakna hampir 8 bulan lamanya hayat serunding kelapa tersebut! Resepinya di sini: Resipi Serunding Kelapa Warisan Embah Buyutku
Walaupun serunding kelapa ini masih sempurna keadaan dan rasanya, tetapi Amie panaskan semula dengan menambah sedikit sambal (perencah sambal goreng) untuk menaikkan seri warnanya.

Ayamnya pula, separuh Amie goreng dan separuh lagi masak kicap. Ayam masak kicap ini Amie goreng terlebih dahulu. Lengkaplah sudah nasi ambeng seadanya dengan lauk-pauk:
  • Ayam Goreng
  • Ayam Masak Kicap
  • Sambal Goreng
  • Mee Goreng
  • Serunding Kelapa
  • Rempeyek

Untuk resipi dan cerita-cerita Nasi Ambeng bolehlah klik di sini:


Sekian.
Sembang-sembang nasi ambeng!


Rose Chryshantemum Tea & Coconut Pineapple Biscuits

$
0
0

Entri sebelum tidur. 

Jom sembang-sembang di dapur sambil hirup teh bunga ros yang sangat harum aromanya! Rasa seperti berada di taman bunga pula. Lepas itu kita cari tin biskut. Sambil hirup teh, sambil kunyah biskut!


Jumpa biskut kelapa berinti jem nanas dalam tin.
Nampak cantik pula biskut ini. 

Coconut Pineapple Biscuits ( Biscuits with Pineapple Jam)

Sudahlah cantik, rasanya pun sangat sedap!  Macam makan tart nanas pula. Serasi betul digandingkan dengan teh bunga ros!

Rose Chryshantemum Tea

Malam ini langit gelap gelita, tanpa kerlipan bintang dan sinaran sang rembulan. Teringat lagu Broery Marantika : Biarlah Bulan Bicara:

Bulan sabit yang jatuh di pelataran
Bintang redup tanpa cahaya gemintang
Langkah tanpa arah, sesat di jalan yang terang
Aku yang terlena, dibuai pelukan dosa

Cukuplah serangkap lirik lagu sahaja. Nanti ada yang termenung, tak lena tidur sampai ke pagi... hiks!


Pagi Yang Indah

$
0
0

Pagi ini Firdaus mula menjawab kertas pentaksiran sekolah agama, dimulai dengan mata pelajaran Bahasa Arab, diikuti dengan Imlak. Bermula dari pukul 8: pagi, dan setiap satu mata pelajaran diberi tempoh masa untuk menjawab selama 1 jam. Tepat pukul 8:00 pagi, guru sekolah agama meminta ibu bapa menghantar gambar anak masing-masing sedang menjawab kertas soalan.

Firdaus sedang menjawab kertas Bahasa Arab.

Ketika sedang menjawab kertas soalan Imlak, Firdaus kata perutnya lapar! Pagi tadi Firdaus bangun agak lewat, terus mandi, dan bersiap untuk menjawab soalan. Amie kata, siapkan jawab soalan dulu, nanti Mommy sediakan sarapan.


Inilah sarapan pagi Firdaus. Katanya: Wah! Mommy buat sarapan yang special untuk Daus!
Ada kentang goreng, telur mata dan hirisan buah-buahan. Jambu air setangkai dua biji itu pemberian jiran sebelah rumah.


Pagi-pagi lagi jiran sebelah rumah beri salam.
Terkejut sungguh dapat sebesen kecil jambu air!

Kelmarin, jiran suruh suami petik jambu air di depan rumahnya. Encik Suami pun pergilah petik (gambar atas). Pagi ini ditambah lagi satu besen!  Alhamdulillah. Rezeki jangan ditolak. 

Nasi Ria Lahad Datu

$
0
0

Tengahari tadi Abang Farid tanya: Mommy masak nasi tak? Kalau tak masak, saya order nasi dari luar.  Amie kata, boleh jugalah kalau abang nak beli. Mommy nak makan nasi lauk apa? Tanya Abang Farid lagi. Amie jawab: Nanti kita bincang. Amie terus ke dapur mencari minuman dan terus kemas-kemas dapur. Tidak lama kemudian, Abang Farid masuk ke dapur. Katanya: Saya sudah order nasi dari Restoran Nasi Ria. Maknanya dia order makanan kegemarannyalah tu.

Tidak lama kemudian penghantar makanan Foodpanda pun sampai. Kebetulan Abang Farid sedang solat Zohor, dan Encik Suami yang baru pulang dari kerja berada di pintu pagar. Encik Suami sambut bungkusan makanan tersebut. Kata Encik Suami: Tiap-tiap hari kawan baik Abang Farid hantar makanan!

Hidangan tengahari dari Restoran Nasi Ria Lahad Datu.



Abang Farid order set nasi kosong, ayam masam manis, kangkung goreng telur, sup jagung dan ayam pelangi. Pertama kali kami makan kangkung goreng telur yang crispy.

Kangkung Goreng Telur

Ayam Masam Manis

Ayam Pelangi

Sup Jagung


Terima kasih Abang Farid, belanja makan tengahari dan mempermudahkan urusan harian Mommy!


Minuman Tongsui Sejukkan Badan

$
0
0

Jom cari minuman beraroma segar, menyejukkan dan menyihatkan tubuh badan. Boleh dinikmati dalam keadaan sejuk atau suam-suam. Amie pinjam resipi ini dari Dapur Citarasawan (Kak Wan). Kak Wan pula memperolehi resipi ini daripada Chef Hassan Hen. Terima kasih kedua-dua chef terbaik ini!

Minuman Tongsui


Bahan-bahan:

  • 1/2 cawan kurma merah
  • 1/4 cawan longan kering
  • 1/2 cawan halwa kundur
  • 2 keping white fungus
  • 1 paket kacang gingko
  • 2 ketul gula batu putih
  • 1 ketul gula batu perang
  • 1.5 liter air atau secukupnya
Cara:
  1. Rendam white fungus hingga kembang. Kemudian gunting kecil.
  2. Masukkan bersama bahan-bahan lain dan air ke dalam periuk.
  3. Masak hingga mendidih dan white fungsu lembut.
  4. Boleh diminum sejukatau suam.

Minuman Tongsui ini selain dapat menyejukkan badan, ia juga sesuai untuk ibu-ibu dalam pantang, menambah susu badan untuk ibu menyusu dan baik untuk peredaran darah bagi kaum wanita.

Nota: Amie gunakan gula batu perang saja dan lebihkan longan kering, serta tambahkan  daun pandan.

Organic Dried Mulberry

$
0
0
Entri sebelum tidur.
Kita cerita tentang buah mulberi kering pula. Mulberi Kering Organik yang Amie paparkan ini merupakan hasil keluaran dari Pakistan. Selain boleh dijadikan snack, kunyah dengan kekacang serta kismis, mulberi kering organik ini juga boleh ditambah dalam hidangan oat.

Organic Dried Mulberry

Berat mulberi kering organik dalam bekas ini ialah 140 gram.
Rasanya manis. Biasanya  Amie akan campurkan dengan beberapa jenis kekacang seperti kacang gajus dan kacang walnut serta kismis. Boleh dijadikan bekalan di tempat kerja, isikan di dalam bekas kecil dan selit dalam beg tangan. Dan nikmati sebagai snack di antara waktu sarapan dan makan tengahari.

Melihat kepada bentuk dan warna dan rasanya, tertanya-tanya di dalam hati adakah sama spesies mulberi dari tanah Pakistan dengan mulberi di tempat kita?

Setelah bersoal jawab dengan Pak Google, terdapat 10-16 spesies mulberi yang tumbuh di tanah Asia seperti India, China dan Jepun, Afrika dan Amerika Latin yang beriklim panas. Ada mulberi hitam, Ada mulberi putih dan ada mulberi merah. 

Barangkali Organic Dried Mulberry dari Pakistan ini jenis mulberi putih!
Tambah jugalah ilmu pengetahuan tentang jenis buah-buah beri ini. Zaman dahulu katanya, kain sutera Cina diperbuat daripada serat mulberi.  Ada beberapa jenis beri yang biasa Amie dengar seperti :
  • Cranberry
  • Bilberry
  • Blackberry
  • Blueberry
  • Raspberry 
  • Strawberry
Yang pastinya, mulberi, yang dikatakan mempunyai banyak khasiat dan nilai perubatan mudah ditanam di negara kita.  Dengarnya, pucuk mulberi pun boleh dibuat ulam!

Pucuk mulberi / daun muda.


Selamat Pagi Dunia

$
0
0

Orang kata, setiap pagi adalah hari yang baru. Setiap kali munculnya pagi, setiap kali itu juga adanya kesempatan untuk membina semula azam, berusaha bangkit dari kegagalan semalam.  Jadi, setiap kali bertemu suasana pagi, jangan lupa pandang langit cerah membiru, awan yang putih berarak perlahan, dan hangatnya snaran mentari yang muncul dari peraduannya!
Pagi ini, hari kedua Firdaus menjawab soalan pentaksiran sekolah agamanya. Ada tiga subjek yang perlu dijawab iaitu Tauhid, Khat dan Jawi. Entah di mana kaca matanya tersembunyi, terpaksalah jawab dengan mata rabunnya. Sekejap menulis jawapan di meja, sekejap berpindah menulis atas bantal, sekejap mencari bantal busuknya. Letakkan bantal busuk di bawah dadanya, dan dia menulis jawapan sambil meniarap.
Panjang dah rambut Firdaus. Sejak dikuarantin bulan September lalu, sampai ke hari ini belum potong rambut lagi.


Selepas mandi, Firdaus terus bersiap untuk menjawab soalan. Katanya, nak makan sarapan selepas selesai jawab semuanya. Di pertengahan jalan, tiba-tiba Firdaus kata: Daus penat menulis. Daus rasa lapar. Bolehkah Daus makan hashbrown lepas ini?
Alolooo.... sayang Mommy! Nanti Mommy sediakan sarapan untuk sayang ya.

Hashbrown, telur dadar, belimbing & anggur.



Sambil membimbing Firdaus menyiapkan tugasannya, sambil itu juga melayan tugas sendiri berBDR. Encik Suami belikan anak-anak roti canai. Jadi, Amie hanya sediakan sarapan permintaan Firdaus sahaja.  Selepas ini, nak bersiap untuk mengambil dan menghantar tugasan di tempat kerja pula. Seperti biasa, berBDR, lari ke tempat kerja sekejap, dan balik rumah sambung BDR semula.
Jumpa lagi. Moga ceria-ceria saja hari ini.

Gerai Jualan di Pinggir Jalan di Musim PKPB

$
0
0

Tengahari tadi, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah, singgah sebentar di gerai jualan ubi kayu di pinggir Jalan Segama LD. Amie beri gelaran gerai ubi kayu sebab sebelum PKP & PKPB, gerai ini hanya ada jualan ubi kayu sahaja. Sesekali ada pisang nipah, jantung pisang, pucuk ubi, terung, jagung dan cili padi. Penjualnya pula wanita separuh usia, dan kadang-kadang ditemani lelaki yang juga sebaya dengannya. Kelihatannya mereka berkebun, melihat kepada cara berpakaian, parang serta cangkul yang ada di gerai tersebut.

Segalanya berubah sedikit demi sedikit ketika dilaksanakan PKP bulan Mac lalu. Lama-kelamaan, gerai tersebut bertambah luas sehingga menyeberang parit kecil. Jualannya pun pelbagai! Peniaganya pun bukan lagi wanita dan lelaki separuh umur, sebaliknya lebih muda dan terdapat lebih daripada dua orang yang berada di situ. Walaupun mungkin sudah bertukar pemilik namun Amie tetap juga selalu singgah di sini.

Gerai kecil ini kelihatan semakin tersusun dengan gantungan jagung segar dan pelbagai jenis pisang serta hasil tanaman yang lain. Kalau dahulu Amie beli selonggok ubi kayu dengan harga RM2.00 sahaja, tetapi sekarang dijual dengan cara timbangan.

Melihat keadaan gerai ini, memang nampak kesungguhan pemiliknya untuk menarik perhatian pembeli.  Tidak terlihat sebarang sampah sarap baik di dalam longkang atau pun di bawah para-para tempat letak bahan yang dijual.


Dari jauh nampak sedap mata memandang. Kaki pun terus menekan brek kereta untuk berhenti di hadapannya. Buah-buahan yang dijual nampak segar belaka!

Inilah yang Ame katakan perubahan yang berlaku! Masuk ke bahagian dalam terdapat banyak jualan untuk keperluan dapur termasuk bawang dan juga telur masin, belacan, ikan bilis dan sebagainya.

Amie kagum dengan kesungguhan para peniaga di gerai pinggir jalan. Kalau sebelum PKP hanya wujud dua buah gerai ubi kayu sahaja, tetapi semenjak PKPB dilaksanakan lebih 5 buah gerai wujud di kawasan yang berhampiran. Sewaktu Amie singgah, panas terik matahari memanah kawasan gerai jualan. Terasa bahangnya. 

Amie tinggalkan gerai tadi, dan memandu belok ke Jalan Asam sebelum tiba di simpang jalan menuju ke taman perumahan. Di sebelah kiri pinggir jalan juga dipenuhi dengan deretan gerai jualan hasil kampung. Alhamdulillah! Rezeki Allah ada di mana-mana. Jika rajin berusaha, akan datanglah hasilnya.  Gerai ini juga wujud sebaik sahaja PKPB dilaksanakan. Dulu hanya ada 2 buah gerai sahaja, tetapi kini sudah bertambah lebih dari 10 buah!

Di kawasan gerai jualan ini, sekali lagi Amie tertarik dengan kebersihannya. Harapnya para peniaga di sini terus mengekalkan tahap kebersihan persekitaran sepanjang masa. 
Sesungguhnya kebersihan itu sebahagian daripada iman.
Mudah-mudahan rezeki berniaga sentiasa menyebelahi mereka.

Miang Pla Pao

$
0
0

Sebelum ini Amie pernah kongsikan paparan Miang Pla Pao versi Ikan Bakar Garam. Kali ini Amie cuba pula ikan talapia goreng. Firdaus pun ikut makan, cara bungkus isi ikan, mee hoon dan sos dalam daun salad! Katanya, sedap isi ikan talapia goreng. Bila dia kata sedap, disusuli pula dengan pesanan: Nanti Mommy buat lagi ya.

Miang Pla Pao

Ulam-ulamannya pula Amie bubuh mini lettuce, green coral salad dan daun selasih.

Bihunnya pula, Amie gunakan bihun beras keluaran Thailand.


Selain ikan talapia goreng sebagai watak utama, jangan lupa 3 jenis sos yang menghidupkan kemeriahan dan kelazatan ketika menikmati Miang Pla Pao! Sos merah, sos hitam dan sos hijau. Selain itu, kewujudan daun selasih turut menyumbang kepada suasana ala-ala Thai. Banyak adik-beradik selasih. Pilihlah mana yang berkenan. Selasih Thai warna ungu yang kami tanam sudah mati, jadi Amie petik pucuk selasih yang tak berwarna tapi beraroma sama seperti selasih yang lain.  Kalau tak ada selasih, boleh cari aroma dari ulaman lain seperti ketumbar Jawa!


Buah Apa Ni?

$
0
0

 Entri sebelum tidur.

Pernah nampak buah seperti dalam gambar di bawah ini? Buah apa agaknya ye?






Selamat malam dan jumpa lagi!
Assalamualaikum.

Firdaus dengan Sarapan Berkhasiat Yang Kreatif

$
0
0

Hari ini tunaikan janji untuk bantu Firdaus siapkan tugasan sekolah rendah: Sediakan satu contoh sarapan berkhasiat. Hiaskan secara kreatif. Hasil tugasan perlu dihantar kepada guru mata pelajaran Pendidikan Kesihatan. Tempoh masa yang diberi selama satu minggu.

Ikut citarasa Firdaus, dia inginkan sarapan dalam bentuk lebah. Inilah hasil kreativiti murid Tahun Satu. Amie bantu sediakan bahan dan pandangan, serta mencari idea berdasarkan gambar-gambar dari internet.

Sarapan Berkhasiat Yang Kreatif


Sebelum itu Firdaus perlu menyiapkan tugasnya menjawab pentaksiran dua mata pelajaran sekolah agamanya iaitu Fekah dan Akhlak. Hari ini merupakan hari terakhir Firdaus menjawab pentaksiran akhir tahun 2020. Bermula dari hari Selasa dengan mata pelajaran Bahasa Arab dan Imlak. Diikuti hari Rabu dengan menjawab pentaksiran Tauhid, Jawi dan Khat. Selesailah tugas Firdaus menyelesaikan tanggungjawabnya menjawab 7 mata pelajaran  dalam tempoh 3 hari

Firdaus sedang menjawab soalan Feqah.

Selesai menyiapkan kerjanya, Firdaus tidak sabar-sabar untuk menyiapkan tugas menyediakan sarapan berkhasiat yang kreatif untuk sekolah rendahnya pula. Gambar di atas diberikan oleh guru mata pelajaran Pendidikan Kesihatan sebagai contoh dan panduan.

Tersenyum saja Firdaus pagi ini. Gembira sangat dengan hasil sarapannya itu. 

Sarapan bentuk lebahnya terdiri daripada roti wholemeal, telur dadar, dihias dengan hirisan lobak dan kepalanya daripada limau sunkist. Matanya pula dihias dengan hirisan pisang dan mata hitamnya daripada lada hitam. Sesungutnya pula daripada hirisan lobak merah dan anggur. Mulutnya pula tampal hirisan epal merah, sementara ekornya daripada hirisan lobak merah.

Rasanya sesuailah dengan tahap pemikiran dan kreativitinya. Tidaklah terlalu berlebihan dalam hiasan, dan tidaklah pula terlalu ringkas. Itu pun ambil masa juga untuk menyusunnya, maklumlah bukan biasa hasilkan bentuk sarapan yang kreatif begini. 

Setelah ambil gambar, tak sabar-sabar Firdaus nak makan hasilnya.
Dia baca doa sebelum makan.


Secawan Teh Hijau & Kek Lapis Legit

$
0
0

Setelah selesai menghantar laporan berBDR, kononnya masuk dapur nak hirup secawan teh hijau panas. Seronok pula kalau selepas minum teh hijau panas, berpeluh-peluh kalau buat kerja dapur. Badan pun terasa ringan.  Terpandang bungkusan kek lapis di atas meja. Encik Suami menyindir kita ke... sebab dah lama sangat tak buat kek lapis.... ahaks! Amie pun tak sempat melihat barang-barang yang dibelinya, cuma dengar katanya beli beras pulut, beli baldi lagi nak tanam pokok ati-ati. 

Tujuan nak minum secawan teh hijau bertukar kepada memotong kek lapis pulak! Rasanya macam kek lapis legit. Keluar dari dapur, bertembung dengan Encik Suami di pintu. Katanya: Dah tanam pokok ati-ati. Termasuk ati-ati yang ditanam 10 pasu hari tu, semuanya ada 23 jenis.

Haaa.... 23 jenis?

Ya, setakat ni sudah ada 23 jenis. Semuanya ada 25 pasu. Dua pasu lagi tanam jenis ati-ati yang sama. Pergilah tengok.

Kita pun meluru keluar, dan tersusun 10 pasu warna merah, 15 pasu warna biru! Ada 25 pasu kesemuanya. Minggu lepas tanam 10 pasu, hari ini tambah 15 pasu. Eh.... salah! Bukan pasu! Baldi! Tanam dalam baldi merah dan baldi biru.... hahahahahahaaa! Nanti kalau  dah tumbuh subur, Amie kongsikan gambar 23 jenis ati-ati itu ya. Mana tahu esok lusa dapat kumpul versi ati-ati yang lain pula.

Jom minum petang dengan secawan teh hijau dan kek lapis legit. 



Secawan teh hijau panas.

Kek Lapis Legit

Peminat green tea, mari jemput minum!

Tortilla 3 Rasa & Haiwan 3 Bentuk

$
0
0

Alhamdulillah. Rehat seketika dari berBDR. Dapat lagi bertemu di alam maya. Awal pagi tadi layan selera seisi keluarga dengan 3 rasa isi tortilla yang berbeza. Fuad, Fairuz dan Encik Suami tak kisah makan tortilla dengan inti apa. sahaja. Amie sediakan tortilla inti dada itik salai.


Tortilla Inti Dada Itik Salai



Firdaus tak mahu makan itik. Jadi Amie buatkan tortilla gulung-gulung dengan telur dadar bubuh capsicum hijau, merah dan kuning. Abang Farid pula mahu tortilla dengan telur dadar kosong sahaja. 

Tortilla gulung telur dadar & capsicum 3 warna.




Tortilla gulung telur dadar.






Seperti biasa, melaksanakan tanggungjawab hakiki yang digalas. Sambil membuat kerja sendiri, sambil memantau kerja sekolah Firdaus. Pagi ini kena hantar laporan bergambar kepada guru Pendidikan Jasmani. Tugasan diberi pada minggu lepas dan perlu dihantar pada hari ini. Tajuknya: Saya Kreatif. Murid dikehendaki membina objek haiwan mengikut kreativiti masing-masing. Objektifnya supaya murid berkebolehan mengaplikasi kemahiran motor kasar untuk membina objek haiwan menggunakan blok mainan atau platisin. Encik Suami belikan plastisin 4 warna. Jadi, Firdaus perlu kreatif untuk menghasilkan objek haiwannya.

Inilah hasil objek ciptaan Firdaus setelah beberapa hari menggentel tanah liat!


Tak tahu apa nama haiwan apa yang dihasilkan ini. Ulat beluncas atau ulat bulu. Firdaus manfaatkan sepenuhnya 4 warna tanah liatnya itu. Hasilnya, ulat warna-warni dengan ekor merah.

Ini siput. Ada rupa cengkerang gulung-gulung itu kira namanya siputlah. Asal ada rupa siput, siaplah objeknya. Entahlah jenis siput apa, dengan warna hijau birunya itu... ahaks! 

Hari pertama dapat tugasan, Firdaus memang terus cakap nak buat kumbang kura-kura!
Hari-harilah dia menggentel tanah liat hitam dengan merah. Inilah hasilnya.

Lega rasanya apabila sudah menyiapkan tugas yang diberi. Firdaus rasa seronok, kita pun rasa lega. Walaupun anak yang buat kerja, tapi yang tak senang duduk selagi belum hantar kepada gurunya.

Sepiring Keladi Cina Goreng & Secawan Kopi Panas

$
0
0

Apabila terpandang keladi di pasar Sri Perdana, teragak-agak nak beli disebabkan harganya yang agak mahal iaitu RM18 sekilogram. Amie rasa harganya mahal sebab dulu kalau nak makan ubi keladi, cabut sahaja di kebun. Bila difikir semula, siapalah yang nak jual dengan harga murah. Sekarang semuanya dinilai dengan mata wang! Memikirkan tenaga dan masa untuk menuai hasil, memang logiklah kalau semua hasil tanaman mempunyai nilai komersial. Kalau harga masih serendah zaman dahulu,  bagaimana petani nak tampung hidupnya dan juga tanggungannya? 
Baru-baru ini Bonda beritahu, semua tanaman ubi dan keladi di kampung tak dapat diselamatkan disebabkan banjir, dan air bertakung selama 4 Jumaat. Sebulanlah lamanya itu. Kita tidak dapat menjangkakan musibah yang akan berlaku. Mungkin kali ini tidak ada rezeki ubi kayu dan ubi keladi.

Sepiring Keladi Cina Goreng & Secawan Kopi Panas

Dua hari lepas, Amie beli dua ketul ubi keladi saiz kecil. Petang tadi Amie kupas, seketul elok dan seketul buruk. Amie goreng ubi keladi, gunakan minyak bekas gorengan ayam. Waktu kecil dulu, kalau Bonda goreng ubi atau keladi, memang Bonda suka gunakan minyak bekas gorengan ikan atau ayam. Lain sikit aroma keladi atau ubi kayu goreng berbanding dgoreng dengan minyak baru.


Ketika sedang menggoreng, api dapur terpadamlah pula! Habis gas rupanya. Amie beritahu Encik Suami yang sedang bersihkan halaman rumah. Amie sangka Encik Suami akan beli gas di kedai. Lamalah pula menunggu gas sampai. Amie pun pindahkan keladi goreng yang setengah masak tadi ke dalam air fryer. Tidak lama kemudian Encik Suami masuk ke dapur. Dia tolak pintu dapur, dan tak perasan pula ada tong gas lagi satu di situ. Encik Suami hanya tukarkan tong gas yang kosong dengan tong gas yang penuh berisi gas. 
Tak apalah!
Keladi goreng setengah masak sudah masuk air fryer. Tunggu sahajalah hasilnya beberapa minit nanti.
Alhamdulillah. Masak juga akhirnya keladi goreng air fryer. Garing dan sedap. Sebelum digoreng Amie sudah perap seketika dengan bahan perasa. 


Jom minum petang dengan sepiring keladi Cina goreng dengan secawan kopi panas.
Tidak ada yang sentuh keladi goreng ini. 
Hanya Amie seorang yang menikmatinya sambil mengenang nostalgia lalu.
Seakan-akan terdengar lirik lagu Ke Mana Di Mana alunan suara Ahmad Jais:

Masa yang lepas
tak akan kembali
kisah yang berlalu
tak kunjung lagi
Viewing all 4759 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>