Quantcast
Channel: Amie's Little Kitchen
Viewing all 4759 articles
Browse latest View live

Jalan-Jalan Cari Sate dengan Gang XPDC

$
0
0

Selamat berhujung minggu. Rasa kurang bersemangat pula untuk update dapur maya setelah berehat tak menulis sehari dua ini. Ikutkan hati memang tak bersapulah sawangnya nanti.... ahaks! Kalau sehari, dua hari akan membawa kepada hari ketiga, seterusnya seminggu dan boleh berbulan juga malas nak menulis. Tulislah apa sahaja buat kenangan untuk diri serta keluarga  yang boleh dijadikan bacaan atau rujukan akan datang.

Petang Jumaat, dua hari lepas kami sempat bertemu Gang XPDC di Pondok Sate, tempat makan sate yang letaknya di Kampung Khamis. Pondok Sate ini letaknya bersebelahan dengan Masjid Kampung Khamis, dekat dengan Sekolah Agama Kampung Khamis, tempat Firdaus bersekolah agama di sebelah pagi sebelum PKP & PKPB.

Sebelum ini Amie pernah paparkan Pondok Sate ini di sini: Jalan-Jalan Cari Sate di Musim PKPB

Sebahagian daripada Gang XPDC Daki Gunung Kinabalu 2015.


Kami berkumpul di sini selepas pukul 2 petang.

Orang yang pertama sampai di sini, Amie dan Kam.
Sementara menunggu yang lain tiba, kami order minuman dulu.
Kemudian Kemi & Jus pula sampai dari Palm Height. Diikuti dengan Nano dari PGA.

Tidak lama kemudian sampai pula Dar dengan Mimie. Dar dari Taman Warisan, Mimie pula dari Sandakan.  Kata Mimie, dia bermalam di rumah Dar. Terharu sungguh dengan semangat setiakawan ini. Walaupun jauh, sanggup datang untuk bertemu.

Selamat bertemu kembali! Moga selepas ini dapat pulihkan semangat untuk kembali bertugas dengan penuh dedikasi. Marilah saling meluah perasaan dan tekanan selama berBDR sepanjang PKPB.

Ambil kesempatan meraikan ulang tahun kelahiran Dik Za Fauzan.

Moga sihat selalu dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat Dik Za Fauzan.

Jom kita makan. Bismillah.

Tidak perlu dipertikaikan lagi rasa sate ayam dan daging yang sememangnya sedap! Tak payah cecah kuah kacang pun dah cukup rasa satenya! Mudah-mudahan Pondok Sate ini terus maju. 



Sate ayam dengan nasi himpit.

Sayap ayam panggang.

Tidak lengkap kalau hanya makan sate saja, jadi ambil peluang makan sayap ayam panggang juga. Sayap ayam panggang pun sudah cukup rasa, dan makan begitu saja pun memang sedap!


Sayap ayam panggang dengan kicap lada.

Selain sate dan sayap ayam panggang, ada beberapa hidangan lain yang boleh dipesan.
Kami makan sate dengan sayap ayam panggang, Kemi order mee basah.

Alhamdulillah. Suasana kampung yang damai. Makanan sedap! Hati pun riang!  Terima kasih teman-teman terbaik di dunia. Jumpa lagi.


Kuih Janda (Beppa Janda)

$
0
0

Oleh kerana sudah merasa kuih janda @ beppa janda @ kuih bandang yang sangat sedap pemberian jiran, jadi teringinlah pula mengolahnya di dapur sendiri. Kalau beli di gerai, rasanya sudah tidak seenak pemberia jiran sebab sudah tidak panas lagi. Baiklah buat sendiri, boleh makan dalam keadaan suam-suam panas, dan berulangkali menikmatinya! Lagi pun dua hari lepas, kawan Encik Suami berikan sebesen kecil ubi kayu. Banyak kali juga Encik Suani tanya: Kenapa tak masak ubi kayu?

Alhamdulillah. Hasil rujukan dengan teman-teman sekerja keturunan Bugis, dan kebetulan biras pun orang Bugis, ditambah lagi anak buah pun beristeri orang Bugis, maka beranikan dirilah untuk teruskan misi membuat kuih janda ini.

Setelah melihat kuih janda @ beppa janda terhidang di depan mata, seolah-olah tidak percaya sudah berjaya menghasilkannya di dapur sendiri! Selama ini Amie melihat kuih janda yang cantik, sudah tentulah cara membuatnya pun rumit. Tidak sama sekali!

Untuk percubaan kali pertama, Amie gunakan 4 biji ubi kayu saiz  kecil dan menghasilkan 2 cawan parutan ubi kayu. Amie parut ubi kayu dengan cara mengisar dengan menambahkan segelas air. Kemudian Amie tapis ubi kisar tadi sehingga kering. Air ubi kayu tadi Amie tidak buang sebaliknya biarkan beberapa minit sehingga terkumpul pati ubi kayu di bawahnya, kemudian barulah dibuang air tadi. Ambil pati ubi kayu dan campurkan ke dalam ubi parut.  Mungkin kalau parut ubi kayu gunakan pemarut khas, tak perlulah tapis airnya. Untuk rasanya pula, terpulang nak manis atau kurang manis. Amie hanya tambahkan secubit garam dan satu sudu besar gula pasir serta setitis pewarna hijau. Kalau suka rasanya yang manis, bolehlah tambahkan gula lagi. 

Kuih Janda @ Beppa Janda @ Kuih Bandang



Bahan-bahan:
  • 2 cawan ubi kayu kisar - tapis airnya - ambil patinya dan campurkan ke dalam ubi kayu kisar
  • 1 sudu besar gula (jika suka manis boleh tambah)
  • 1/2 sudu kecil garam
  • setitis pewarna hijau (pewarna lain yang disukai)
  • 4 biji pisang raja masak ranum - potong 4 setiap sebiji
  • sekeping daun pisang untuk alas sewaktu mengukus
  • 1 cawan kelapa muda parut + secubit garam dan kukus 7 minit
Cara:
  1. Campurkan adunan ubi kayu, garam, gula dan pewarna hijau.
  2. Ambil adunan dan leperkan di tangan. Masukkan sepotong pisang raja. Kemudian bentuk atau kepalkan menjadi lonjong.
  3. Letakkan daun pisang di dalam periuk pengukus.
  4. Susun kuih tadi di atas daun pisang.
  5. Kukus hingga masak. 
  6. Angkat dan golek-golekkan di atas parutan kelapa.


 Selamat mencuba!

Jemputan Majlis Makan-Makan

$
0
0

Entri sebelum tidur. Minggu ini dapur hanya berasap sekali-sekala sahaja. Abang Farid banyak kali order makanan dari luar. Encik Suami pun rajin bawa anak-anak makan di luar.  Kami seisi keluarga sempat dua kali menghadiri majlis makan-makan di rumah ipar.

Firdaus pandai bawa diri di tempat orang. Duduk menyandar di tepi dinding dengan sepinggan nasi. Majlis makan-makan ini diadakan selepas bacaan Yasin beramai-ramai pada hari Khamis malam Jumaat lepas.

Kuih-muih nampak sedap dan cantik! Kalau tak ingat gusi dan gigi yang sensitif, memang nak terkam semua!

Kalau dahulu, kami tukang masak & tukang cuci pinggan mangkuk selepas tetamu pulang. Sekarang, kami sudah tua (ipar & biras), banyak pula anak-anak buah yang muda remaja dan bertenaga. jadi, sekarang kami jadi tetamu istimewa pula ... ahaks!

Seronok dapat berkumpul dalam sebuah keluarga besar berlainan keturunan. Ada Bugis. Bajau. Cocos. Cina. Jawa. Melayu. Timur. Banjar. Dusun dan Iban. Tidak ada masalah untuk menikmati apa juga masakan yang dihidangkan.

Anak buah Amie, arwah ayahnya keturunan Cina. Katanya: Cuba Auntie rasa masakan kegemaran arwah bapa kami. Labu manis masak dengan taucu campur udang kering! Boleh Amie cuba masak nanti. Oleh kerana malam itu banyak pilihan lauk-pauk, Amie tidak sempat mencicipi labu manis masak taucu itu. Ada sebiji labu manis saiz besar di dapur belum terusik!



Sesungguhnya masing-masing sibuk meratah udang goreng salut tepung yang sangat sedap itu!

Ini semua hasil masakan anak-anak Cina & Cocos ... ahaks!

Sup jagung satu periuk besar!



Kenyang dah dik?

Ini pula jemputan ke majlis sambutan ulang tahun anak kepada anak buah kami. Cucu kami ler yang menyambutnya... heheheee!

Yang paling seronok sudah tentulah anak-anak!


Ini sajalah gambar yang elok untuk dipaparkan. Yang lain bersimpang-siur dengan pergerakan anak-anak kecil yang beraksi ikut gerakan masing-masing.

Tuan rumah pula menyediakan nasi ayam pelbagai lauk. Kalau sudah dihidangkan sayap ayam goreng, memang itulah yang akan jadi rebutan tua muda dan kanak-kanak.


Memang sedap sungguh nasi ayam makan dengan ayam kukus yang memang menjadi kegemaran keluarga sebelah Encik Suami!


Esok, dan hari-hari seterusnya harap-harap periuk yang sudah digantung dapat diturunkan semula... ahaks!

Nasi Goreng KFC Viral

$
0
0

Seboleh-bolehnya hari ini nak masak seringkas mungkin sebab nak gunakan sebahagian hari untuk selesaikan tugas hakiki. Pagi tadi memang tak masuk dapur. Alas perut seadanya sahaja. Ketika sedang berBDR, teringat nasi goreng KFC yang sudah lama viral di Jepun, dan kemudian merebak ke negara-negara sekitar Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Malaysia. Pernah nampak resipi ini di dapur Dana: NORHIDANA dan baru-baru ini jumpa ladi di dapur Azhafizah: SI HATI MERAH JAMBU'S DIARIES. Nasi Goreng KFC Viral ini sebenarnya agak lama juga Amie nampak, barangkali sekitar tahun 2019 begitu. 

Apabila satu-satu resipi itu sudah masuk ke mana-mana dapur, sudah tentunya akan keluar hidangan dengan pelbagai versi. Masuk dapur Dana, caranya begitu, masuk dapur Azhafizah cara begini. Masuk dapur Amie pula, caranya begitu dan begini pula.... ahaks! Asal resipinya sangat mudah sebagaimana bermulanya di dapur Jepun, hanya tambahkan kicap dan stok ayam serta KFC sahaja. Kemudian ditokok tambah bahan oleh peminat resipi ini untuk memenuhi selera dan citarasa masing-masing.

Cara penyediaannya juga sangat mudah. Ikutlah nak gunakan beras apa, dan masak di dalam rice cooker seperti memasak nasi yang kita makan sehari-hari. Amie gunakan beras basmathi, dengan tokok tambah lobak merah serta jagung. Amie juga masukkan bawang besar dan bawang putih cincang. Untuk rasanya pula, Amie masukkan 3 sudu besar stok ayam pekat. Manakala untuk mendapatkan warna yang Amie inginkan, Amie bubuh 1 sudu besar tomato puri. Penggunaan tomato puri ini tidaklah menjejaskan kelazatan nasi goreng KFC ini. Tidak ada rasa masam tomato! Jom kita lihat langkah demi langkah semudah ABC untuk menghasilkan Nasi Goreng KFV Viral ini.


Nasi Goreng KFC Amie's Little Kitchen

Amie gunakan Spicy KFC sebanyak 5 ketul. Minta tolong Abang Farid beli online.
Memang nak buat nasi goreng lebih, kalau boleh anak-anak makan sampai ke petang. Jadi petang nanti tak perlu angkat periuk lagi.

Bahan-bahan:
  • 3 cawan beras basmathi - rendam selama 20 minit - bilas bersih - toskan
  • 4.5 cawan air
  • 1 sudu kecil serbuk lada sulah
  • 1 sudu besar puri toato
  • 3 sudu besar stok ayam pekat
  • 1 cawan isi jagung
  • 1 cawan lobak merah potong dadu
  • 3 ulas bawang putih cincang
  • 1 labu bawang besar cincang
  • 5 ketul ayam goreng (KFC) - spicy


Masukkan beras basmathi, bawang putih, bawang besar, jagung, lobak merah, stok ayam pekat dan puri tomato ke dalam rice cooker. Tuangkan air dan kacau rata. Kemudian susun ayam goreng KFC di atasnya. Tutup rice cooker dan tekan butang on. Biarkan masak sehingga nasi tanak.
Amie tinggalkan dapur untuk sambung kerja online. Beberapa minit kemudian Amie suruh Firdaus ke dapur dan hidu kalau ada apa-apa bau dari dapur. Firdaus kata, ada bau sedap dari dapur! Alhamdulillah. Nasi sedang dalam proses masak. Tidaklah nanti kalau ke dapur setengah jam kemudian, peristiwa lama berulang kembali: Suiz on tidak ditekan! Uwaaaaaa.....
Kita pun teruskan kerja dengan rasa senang hati. Tambah teruja apabila terbau semerbak aroma nasi goreng KFC dibawa oleh angin ke ruang tamu. Enak banget baunya! Tidak lama kemudian, Encik Suami pun sampai, pulang dari kerja. Anak-anak yang lain pun teruja sama nak tahu apa benda yang kita masak hari ini.
Firdaus tak sabar-sabar beritahu Encik Suami: Baba! Baba! Mommy masak nasi sedap! Cepat Baba ke dapur!



Taaraaa....
Ini dia rupa nasi goreng KFC dalam rice cooker! Tiba-tiba ada dua biji telur pulak di situ. Heheheee... Amie sengaja masukkan di situ untuk dijadikan hiasan. Nasi sudah tanak dan masak sempurna. Kita keluarkan ketulan ayam goreng KFC terlebih dahulu.


Setelah ayam goreng KFC dan telur rebus dikeluarkan, beginilah keadaan nasi yang ditanak tadi.

Sekarang kita gembur nasi tadi, dan jadilah seperti gambar di atas. Taburan jagung dan lobak merah nampak sekata.



Ayam goreng KFC yang dikeluarkan tadi, kita carik-carik gunakan garfu. Terpulanglah nak carik tebal atau tipis. Tulangnya tu keluarkan saja.



Selepas itu, masukkan semula ayam carik tadi ke dalam rice cooker.


Proses terakhir, gaul ayam carik KFC tadi dengan nasi.
Kemudian bolehlah nikmati bersama seisi keluarga!


Nasi Goreng KFC Viral dah siap!



Rempeyek Oh Rempeyek!

$
0
0

Entri sebelum tidur. Kita cerita tentang rempeyek, kudapan tradisi masyarakat Jawa yang selalu ditemui ketika hari raya. Di sesetengah daerah, rempeyek juga dibubuh dalam nasi ambeng. Amie sudah berpuluh tahun tidak mengikuti perkembangan majlis kenduri kahwin orang kampung, tetapi seingat Amie dulu ada hidangan kuih-muih tradisi selepas makan hidangan utama, iaitu nasi minyak dan lauk-pauk. Tidak ketinggalan, hidangan rempeyek, kerepek dan keropok, lengkong (agar-agar), wajik dan sebagainya.

Ada pelbagai jenis rempeyek tetapi yang Amie selalu temui hanya 3 sahaja iaitu rempeyek kacang tanah, kacang dal dan kacang hijau. Rempeyek kacang hijau biasanya disebut sebagai tumpi. Rempeyek kacang hijau dan tumpi itu sebenarnya adik-beradik.

Waktu kecil dulu, selalu berebut rempeyek dengan Kak Aton (kakak Amie). Kak Aton suka makan kacang tanah pada rempeyek, Amie pula suka makan bahagian tepungnya yang rasa berempah dan rangup itu! Selalulah Kak Aton kutip kacang tanah yang Amie tak makan ..... ahaks! Ada rempeyek kacang tanah yang penuh dengan kacang! Ada yang hanya sebiji dua sahaja menempel pada rempeyek. 

Arwah MIL pernah buat rempeyek, dikirim buat Bonda  sewaktu kami balik bercuti di Malaya dulu. MIL tumbuk kacang tanah sekadar pecah, dan kemudian campurkan ikan bilis untuk dibuat rempeyek. MIL tidak gunakan acuan, sebaliknya tuang adunan di tepi kuali. Samalah caranya dengan Bonda buat rempeyek. Amie sangka hanya MIL sahaja yang buat rempeyek gaya begitu. Rupa-rupanya, di kebanyakan tempat di LD, Kunak, Tawau dan lain-lain, Amie temui rempeyek yang sama seperti MIL hasilkan. Secara tidak langsung, Amie sudah temui rempeyek kesukaan Amie, yang tak banyak kacang tanah!

Rempeyek kacang tanah, kacang dal dan kacang hijau.
Rempeyek Kacang Dal

Ada yang membuat adunan rempeyek tanpa menggunakan santan, hanya air sahaja. Ada yang tambahkan hirisan daun limau purut. Ada yang tambahkan isi kencur. Kalau berkesempatan berkunjung ke Indonesia, barangkali agak berbezalah rasa rempeyek di sana dengan di tempat kita. Di tempat kita jarang gunakan daun limau purut dan isi kencur.

Rempeyek Kacang Tanah  & Ikan Bilis

Rempeyek Kacang Hijau @ Tumpi



Tak kisahlah, adunan yang berbeza dengan bahan yang berbeza sebab masing-masing ada versi dan resipi yang tersendiri. Yang penting, rasa rempeyek mesti rangup dan sedikit berempah! Amie suka 'tergigit' rempah jintan manis dan biji ketumbar yang agak kasar ketika makan rempeyek. Sedap!
Antara ketiga-tiga jenis rempeyek di atas, Amie akan capai rempeyek kacang dal dahulu... hehehehee!


Menu Sarapan Pagi DSSS 19 - 37

$
0
0

Agak lama juga tidak kongsi Menu Sarapan Pagi DSSS. Gambar dalam folder pun halus-halus. Mata tak berapa terang untuk memilih. Dapatlah 18 menu untuk paparan. Nanti kalau rajin boleh kongsikan menu yang masih duduk menunggu di dalam folder.

Seperti sebelumnya, masih lagi amalkan DSSS dengan rasa gembira kerana tidak terkongkong dengan hanya mengambil hidangan yang sama setiap hari. Yang penting suku karbohidrat, suku protein dan separuh fiber. Sesekali memang layan makan di luar bersama Encik Suami dan anak-anak, tetapi apabila berada di rumah kembali kepada rutin DSSS pula.


Karbohidrat  & protein - Idli
Protein - sambar & telur rebus
Fiber - hirisan timun, mini lettuce & tomato ceri


Karbohidrat : roti panggang
Protein - telur
Fiber - strawberry apple, kiwi & anggur

Karbohidrat & protein - roti panggang dengan pisang & telur
Fiber - limau sunkist, strawberry apple & blueberry



Karbohidrat - french loaf panggang garlic butter
Protein - telur mata
Fiber - salad butterhead lettuce, red coral, tomato ceri & anggur dan limau

Karbohidrat - lempeng tepung gandum
Protein - telur dadar dengan cendawan butang
Fiber - kiwi, red coral, epal & ceri


Karbohidrat & protein - roti telur & kari dal & kentang
Fiber - belimbing & ceri

Karbohidrat - bubur nasi
Protein - dada ayam rebus & egg century
Fiber - belimbing & persimmon 


Karbohidrat - roti panggang & peanut butter
Protein - telur
Fiber - jambu batu, limau sunkist, kiwi & delima

Karbohidrat - roti wholemeal
Protein - telur 1/2 masak
Fiber - avocado, strawberry apple, kiwi & mini lettuce

Karbohidrat & protein - pizza roti telur 
Fiber -  belimbing & strawberry apple (capsicum, cendawan, carrot - topping pizza)



Karbohidrat - roti wholemeal panggang 
Protein - telur hancur & capsicum & carrot
Fiber - pear, strawberry apple & persimmon

Karbohidrat & protein - pizza telur crepe daun bawang 
Fiber - green & red coral, apple, blueberry & kiwi


Karbohidrat - roti wholemeal panggang
Protein - telur dadar & capsicum merah, kuning, hijau & lobak merah
Fiber - pear, limau sunkist & strawberry apple

Karbohidrat - ulunthu vadai
Protein - sambar
Fiber - chitney kelapa, limau, butterhead lettuce & anggur


Karbohidrat & protein - rori wholemeal panggang dengan pisang & telur
Fiber - timato ceri, buah naga & limau sunkist


Karbohidrat - garlic bread
Protein - sosej telur homemade
Fiber - limau, anggur, daun dill & capsicum merah panggang

Karbohidrat - tosei
Protein - sambar
Fiber - chutney kelapa, pear & limau sunkist

Karbohidrat  & Protein - tortilla dada itik salai
Fiber - kiwi, tomato ceri & butterhead lettuce

Berehat Seketika

$
0
0

Tahun 2020 walaupun penuh cerita Covid-19, namun dalam tempoh itu jugalah rancak menyiapkan entri sehingga mencecah angka 500! Dalam rancak-rancak menulis tiba-tiba diduga dengan keadaan kurang sihat. Rasa rindu ingin menulis walaupun baru beberapa hari tinggalkan dunia maya. Rasa kurang sihat itu hadir ketika sedang membantu menyiapkan tugasan Firdaus untuk menyiapkan dokoh pada hari Rabu lepas. Seminggu sebelumnya guru mata pelajaran Pendidikan Seni memberikan tempoh untuk mengenali dokoh dan mengumpulkan bahan yang diperlukan untuk membuat dokoh. Kemudian hasilnya perlu dihantar dalam bentuk gambar.

Sepatutnya lekatkan manik sebagai hiasan dokoh, tetapi tak jumpa di mana Amie simpan manik-manik lebihan sewaktu membuat bunga telur. Oleh kerana kena hantar pada hari Rabu juga, jadi Amie suruh Firdaus gunakan sahaja bahan yang ada untuk dijadikan hiasan. 

Maka siaplah dokoh dengan hiasan tanah liat!

Setelah Amie hantar gambar kepada gurunya melalui WhatsAap, Amie pun mesej kawan yang mempunyai anak yang sama bersekolah dengan Firdaus dan ceritakan tentang:

  • terlupa beli manik 
  • banyak kerja sendiri yang perlu disiapkan
  • cikgu dah beri tempoh satu minggu
  • suruh Firdaus gentel tanah liat buat hiasan
  • hamik ko.... yang penting siap
Allahu Akbar!
Rupanya Amie tersalah hantar mesej!
Mesej terhantar ke WhatsAap cikgu Firdaus....huhuhuuuuuu!
Amie cepat-cepat delete, tapi rupanya cikgu Firdaus sempat baca. 
1:32 petang : Assalamualaikum Cikgu XXXXX
1:32 petang : Ini dokoh Firdaus.
1:34 petang : Waalaikumussalam. Bagus A+ (3 tanda ibu jari)Terima kasih.

Pada pukul 1:35 petang itu pula Amie mesej kawan tapi tersalah hantar kepada cikgu Firdaus....huhuhuuuuuuu! Dia sempat baca, dan Amie pula cepat-cepat delete! Amie nampak dia sedang menaip, tapi kemudian dia padam pula mesejnya. Mungkin ternampak Amie sudah delete mesej Amie itu.

Amie beritahu Encik Suami, malulah pula sebab macam tak ikut arahan guru, lepas tu tersalah hantar mesej pulak! 
Dapat pula A+.
Kreatiflah tu. Gunakan bahan yang ada. Tanah liat pun oleh buat hiasan juga, kata Encik Suami.
Hurrrmmm... lain kali cakap siap pandang-pandang, nak tulis mesej pulak pastikan nak hantar tak salah orang!


Terima kasih rakan-rakan blogger yang sudi datang bertandang. Mohon maaf sebab tak dapat blogwalking beberapa hari ini. Migraine yang sudah sekian lama tidak bertandang, tiba-tiba datang menyerang. Terpaksa minta kelonggaran masa daripada boss untuk menyiapkan segala tugasan dan laporan yang sepatutnya dihantar pada hari ini. Nampaknya Amie terpaksa 'menutup pintu dapur' ini buat seketika. Apabila sudah selesai semua tugas hakiki, sudah sihat seperti sediakala, in shaa Allah kita akan bertemul lagi di dunia maya.

Menjenguk ke Luar Jendela : Apa Khabar Semua?

$
0
0

Assalamualaikum. Alhamdulillah, dengan izin-Nya petang ini Amie dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan maya yang disayangi. Terlebih dahulu Amie ingin ucapkan jutaan terima kasih dan rasa terharu di atas kehadiran rakan-rakan blogger ke dapur Amie yang agak lama juga tidak berasap. Terima kasih atas doa sepanjang ketiadaan Amie. Terima kasih mendoakan Amie cepat sembuh, terima kasih yang tak terhingga! Hanya Allah yang mampu membalas doa kalian dengan segala rahmat dan kebaikan daripada-Nya.

Tak sabar rasanya untuk berkunjung ke rumah rakan-rakan semua. In shaa Allah, selepas ini harap dapat kembali menulis seperti biasa. Rindu nak baca coretan kalian!

Petang kelmarin Amie gagahkan diri melangkah keluar dari pintu, melihat-lihat keliling rumah. Amie sangat terkejut melihat pokok keledek yang tumbuh rimbun. Rasanya hanya beberapa hari Amie tidak menjenguk ke luar rumah!
Bila dihitung, rupanya banyak hari Amie terlantar di pembaringan.
Tidak disedari, Amie telah melalui malam-malam yang menyeksakan. Malam yang dilalui dengan pelbagai mimpi disebabkan suhu badan yang tinggi. Bonda kata, sebab perut kosong jadi mimpi yang bukan-bukan! Pernah satu malam hingga ke pagi, muntah tidak berhenti sehingga lesu tak bermaya! Seperti biasa, kalau nikmat sihat Allah tarik maka segala yang ada di depan mata tidak bermakna lagi. Biar pun perut lapar, mulut terasa pahit. Makanan yang dihidangkan pun hanya mampu dicicipi sesudu dua sahaja!
Alangkah besarnya harga yang bernama sihat.

Jom..... teruskan melihat hijau-hijau.

Amie lihat daun pokok selasih semakin subur di dalam pasu.
Saiznya semakin lebar, tidak kecil seperti sebelumnya.

Selama ini Amie tanam pokok kesum tapi tak pernah panjang umur.
Sebelum jatuh sakit, Encik Suami beritahu pokok kesum tumbuh subur tapi Amie tak sempat tengok.  Kata Encik Suami, kaedah penanaman yang biras Amie cadangkan rupanya beul-betul menjadi!
Alhamdulillah!
Selepas ini kalau nak masak asam pedas, tak perlu beli daun kesum lagi.

Banyak petua atau cara nak tanam pokok kesum rupanya. 
In shaa Allah, selepas ini Amie nak kongsikan cara tanam pokok kesum untuk anda yang selalu tanam tapi tak hidup! Kami sendiri, sudah tidak terkira berapa puluh kali tanaman pokok kesum tapi baru kali pertama ini pokok kesum hidup!

Pada masa yang sama, pokok pudina juga baru keluarkan sehelai dua daun. Kelmarin, pokok pudina  kelihatan subur merimbun!

Pokok bayam Brazil sudah dipindahkan oleh Encik Suami ke kawasan yang agak lapang memandangkan sebelum ini hanya ditanam di dalam pasu.


Masih ada lagi saki baki buah mangga udang yang belum masak di pokok.



Di dapur, ada dua bekas berisi mangga udang.
Setiap pagi Encik Suami akan petik mangga yang matang. 
Kalau masak atas pokok, mangga akan jatuh dan pecah.


Alhamdulillah.
Buah mangga udang dapat dibahagi-bahagikan kepada jiran dan ahli keluarga. 

Seperti biasa tukang buat air (Fairuz) akan kupas mangga udang yang masak. Musim kali ini Amie tidak dapat ikuti sepenuhnya perkembangan aktiviti Fairuz di dapur dengan mangga udangnya.  Tengahari tadi sempat melihat Fairuz kupas sebiji mangga,



Tengahari tadi, tiba-tiba terasa ingin masak di dapur. Encik Suami terkejut bila Amie kata nak masak. Hampir dua minggu Amie tak masuk dapur. Melihat daun keledek yang tumbuh subur, itulah yang membuatkan Amie ingin memasaknya!

Ketika Amie sedang memasak, satu persatu anak-anak datang  ke dapur. 
Agaknya rasa hairan tiba-tiba ada bau masakan. Sebelum ini Fairuz dan Fuad asyik bertanya, bila Mommy boleh masak? Agaknya bosan setiap hari asyik makan makanan bungkus bermula dari sarapan pagi sehinggalah makan malam.

Inilah hidangan makan tengaharai kami. Nampak macam pucat saja, sama pucat dengan tukang masaknya yang baru masuk dapur! Ada ikan talapia goreng. Sotong masak kicap dengan kentang. Pucuk keledek & bayam Brazil masak lemak putih dengan udang. Sambal belacan, ulam timun dan telur masin


Nasi beras Bario.




Pucuk Keledek & Bayam Brazil Masak Lemak Putih dengan Udang.



Alhamdulillah. Hari ini dapat berkumpul sekeluarga menikmati hidangan tengahari bersama.


Kerabu Bayam , Pucuk Paku & Taugeh

$
0
0

Assalamualaikum buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Belum terlambat rasanya Amie ucapkan Selamat Menempuh Tahun 2021. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa mempermudahkan urusan seharian kita. Selamat berPKP dan berPKPB untuk rakan-rakan dari negeri -negeri yang terlibat. 

Hari pertama PKP ini, Amie luangkan sedikit masa di dapur dan sempat sediakan juadah untuk hidangan makan tengahari sekeluarga. Amie buat Kerabu Bayam, Pucuk Paku & Taugeh. Resipi kerabu ini ada di sini: Sedapnya Kerabu Bayam Dengan Taugeh! Amie sudah ubahsuai sedikit, dan akan Amie kongsikan di bawah nanti.

Kerabu Bayam, Pucuk Paku & Taugeh

Seronok sungguhlah Abang Farid dengan Fuad sebab dapat makan masakan Mommynya yang sudah seminggu tidak masak di dapur. Setiap hari anak-anak bujang kami ini hanya memesan makanan dari luar. Amie, Encik Suami, Fairuz dan Firdaus jalan-jalan ke luar daerah. Abang Farid dan Fuad setiap hari ada kelas online, jadi tak dapatlah ikut serta.

Ikan Belais Panggang 

Sambal Belacan

Air Asam

Ikan Belais Panggang & Sambal Belacan & Air Asam

Udang Goreng Bawang

Sup Ayam & The Gang


Sup Ayam & The Gang yang Amie masak ini memang anak-anak suka hirup. Kombinasi bahan yang Amie gunakan menghasilkan aroma yang sedap dihidu dan rasa supnya pula agak manis disebabkan adanya betik mengkal dan juga lobak merah. Tak makan isinya pun tak apa, yang penting dapat hirup sup panas!

Di sini Amie kongsikan Kerabu Bayam, Pucuk Paku & Taugeh kesukaan Encik Suami. Sedap ratah begitu saja.

Bahan-bahan:
10 batang bayam hijau - bersihkan dan potong - pisahkan batang dan daun - celur
10 batang paku pakis - bersihkan - ambil pucuknya - celur
2 cawan taugeh - bersihkan - bilas dan toskan airnya - celur
1/2 cawan hirisan lobak merah - Amie tak celur
3 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris halus
2 cawan kelapa parut
3 sudu besar udang kering
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk:
7 biji cili padi - boleh kurangkan jika tidak suka pedas
2 ulas bawang putih - digoreng
3 biji bawang merah - digoreng

Cara:
1.Sangan kelapa parut bersama udang kering sehingga kelapa parut kelihatan kekuningan. Angkat dan ketepikan.
2. Gaul bahan tumbuk bersama kelapa sangan hingga sebati.
3. Dalam sebuah bekas, masukkan sayur bayam, pucuk paku, taugeh, lobak merah dan hirisan serai.
4. Kemudian masukkan kelapa sangan.
5. Gaul rata bersama garam / gula / perasa pilihan serta jus limau kasturi. 
7. Hidangkan.

Kiriman Istimewa Daripada Blogger Monolog KakMim

$
0
0

Allahu Akbar! Rasanya baru saja berkenalan dengan blogger KakMim dari blog MONOLOG KAKMIM. Tiba-tiba tersenarai sebagai salah seorang daripada Top Comentators di tempat yang kellima. Kiranya, rezeki sangatlah ni.

Terima kasih yang tak terhingga buat Mira Faizura @ KakMim atas kiriman istimewa dari Sarawak Bumi Kenyalang. Memang terkejut sungguhlah dapat tote beg atau beg jinjing limited edition siap dengan nama dan alamat website. Kak Amie akan simpan dengan baik buat kenang-kenangan tanda persahabatan di alam maya.

Tote Beg 


Kiriman ini sampai pada 5 Januari 2021. Pagi itu itu Amie bersama Encik Suami, Fairuz dan Firdaus baru sahaja meninggalkan LD untuk bercuti. Alhamdulillah ada Abang Farid dan Fuad di rumah. Jadi, Abang Faridlah yang menerima bungkusan itu daripada posmen.

Jom selalu singgah untuk memeriahkan BLOG MONOLOG KAKMIM
Semoga Blog Monolog KakMim terus diserikan dengan pelbagai perkongsian untuk pembaca. Kak Amie doakan Mim terus rajin menulis dan sentiasa mendapat idea yang mencurah-curah. Selamat berblogging!

Kari Ayam Berkerisek

$
0
0

Masih lagi melayan selera anak-anak. Hari ini Amie masak Kari Ayam Berkerisek. Agak lama juga tak makan masakan berkuah kari. Ada sedikit lebihan kuah kari yang sangat sedap tu, tak sabar nak cecah dengan lempeng!

Kari Ayam Berkerisek


Kari Ayam Berkerisek


Biasanya Amie hanya masak lauk pada waktu tengahari sahaja, dalam jumlah yang agak banyak dan boleh makan pada sebelah petang atau malam. Tidaklah banyak menghabiskan waktu untuk masak di dapur. Tapi kalau masak lauk seperti kari ayam ini memang tak panjanglah umurnya hingga ke petang sebab ada yang mengulang makan.... ahaks!


Acar Timun & Nanas

Kalau sudah ada lauk kari ayam, sudah semestinya kena sediakan acar pula. Encik Suami memang suka gandingan masakan kari dengan acar. Betul jugakan! Masakan kari berlemak, acar pula rasa masam-masam manja. Bila kedua - dua lauk ini bertemu dalam pinggan nasi, memang tak toleh kiri kanan dah! Bismillah.... terus ngap! Kombinasi keduanya menimbulkan aroma yang sungguh lazat!
Nak rasa yang lebih mantap, jangan lupa sediakan juga sambal belacan.

Sambal Belacan

Gandingan mantap Kari Ayam Berkerisek, Acar Timun & Nanas dan juga Sambal Belacan.

Sayur Remayung Masak Sos Tiram dengan Sotong

Ada yang tak makan acar, jadi Amie masakkan sayur remayung tumis sos tiram dengan sotong. Nanti ada yang bertanya ikan pula. Jadi, Amie gorengkan seekor ikan kutambak. Nama lain ikan kutambak ini ialah ikan temparing. 

Ikan Kutambak Goreng

Hirisan Betik

Tambah sepinggan hirisan betik sebagai pembuka mulut, bukannya pencuci mulut... ahaks! Wokey... jom makan!


Oleh kerana Kari Ayam Berkerisek ini sangat sedap dan anak-anak pun suka, jadi Amie akan kongsikan resipinya di bawah ini. Mungkin ada sedikit perbezaan cara mengolah masakan ini, tapi Amie anggap itu kreativiti dan cara masing-masing. Amie tidak campurkan serbuk rempah kari bersama bahan perencah lain untuk dijadikan pes, sebaliknya Amie terus masukkan rempah kari ke dalam kuali. Satu lagi, Amie tak tambah cili kisar sebab di kepala sudah ada 'sambal belacan' untuk diganding bersama dalam hidangan. Dan sebagai sentuhan terakhir, Amie tuangkan jus limau nipis sebagaimana yang MIL dan orang kampung Encik Suami selalu buat. Jom kita lihat resepinya.



Bahan-bahan:
1 kg ayam - potong 12
5 biji ubi kentang saiz kecil - kupas kulit - belah 2
1 cawan santan pekat
4 cawan santan cair
4 sudu besar serbuk rempah kari 
2 sudu besar kerisek
1 sudu besar gula Melaka parut
2 sudu besar jus limau nipis
1/2 cawan minyak
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia
3 cm kunyit hidup
2 cm lengkuas

Bahan penumis:
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 tangkai daun kari - lurutkan daunnya

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Masukkan bahan penumis dan goreng hingga bawang besar layu.
2. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis dan kacau sebati sehingga terbit aroma.
3. Perlahankan api dapur, dan masukkan serbuk rempah kari. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit santan cair dan kacau sehingga mendidih.
4. Masukkan ayam dan ubi kentang. Balik-balikkan sehingga ayam menjadi layu.
5. Tuangkan santan cair dan masukkan gula Melaka.
6. Setelah yam dan kentang agak empuk, masukkan kerisek diikuti dengan santan pekat.
7. Taburkan garam / perasa pilihan dan biarkan masak seketika lagi.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis, dan kacau sekali dua.
9. Padamkan api dapur.

Lempeng Tepung Gandum VS Lempeng Kelapa

$
0
0


Kusangka nanas atas permatang,
Rupanya durian tajam berduri,
Kusangka panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengahari.

Bagaimana cuaca di tempat rakan-rakan blogger? Di LD, cuaca mendung dari pagi hinggalah sepanjang petang. Sekejap-sekejap hujan gerimis. Rasa macam nak tarik selimut jew, tidur sepanjang hari... ahaks! Walaupun suasana agak gelap dan kelam, tapi gagahkan diri juga masuk dapur sebab teringat lebihan kuah kari ayam kerisek yang Amie makan tengahari tadi. Seperti yang diduga, memanglah isinya habis, dan yang tinggal hanyalah kuah dengan beberapa ketul ubi kentang. 

Abang Farid mahu makan lempeng tepung gandum cecah kuah kari ayam kerisek. Oleh kerana ayam sudah yillek, Amie gantikan dengan udang. Untuk Amie dan Encik Suami, kami berdua makan lempeng kelapa cecah kuah kari kerisek sahaja. Itu pun dah rasa sedap sangat!

Lempeng Tepung Gandum, Lempeng Kelapa & Kuah Kari Kerisek

Lempeng Tepung gandum versi hijau.

Lempeng Kelapa

Lempeng Kelapa & Kuah Kari Kerisek & Teh Lemon Panas.


Hasil DSSS Tidak Mengecewakan

$
0
0

Baru berkesempatan membelek gambar-gambar yang diambil sewaktu bercuti baru-baru ini. Di kesempatan ini Amie ingin kongsikan hasil DSSS yang Amie amalkan lebih kurang dua bulan yang lalu. Alhamdulillah, memang ada penurunan berat badan walaupun tidak begitu banyak. Amie sangat seronok sebab Amie berDSSS tanpa menyeksa diri dan tiada rasa penderitaan sedikit pun... ahaks!
Selepas Amie jatuh sakit hujung tahun lepas, berat badan terus menurun dan ketika Amie lihat wajah di cermin, nampak buruk betul dengan muka cengkung dan tulang pipi nampak menonjol. Bentuk wajah pun jadi panjang! Ketika itu Amie tidak fikirkan DSSS lagi sebab yang penting badan kembali sihat bertenaga. Setiap hari Encik Suami belikan makanan, dan Amie makan sahaja tanpa sebarang pantang. Alhamdulillah. Berat badan naik sedikit, dan dari sehari ke sehari terus sihat.

Gambar diambil pada 6 Januari 2021

Gambar diambil pada 31 Ogos 2020

Ada nampak perbezaan tak?

Baju yang sama, tarikh yang berbeza. 



Gambar atas dan bawah ini pun nampak agak ketara juga bezanya.


Setelah melihat hasilnya, Amie rasa telah memilih diet yang betul. Hanya kurangkan kuantiti sahaja iaitu suku suku separuh.  Amie tidak begitu berpantang segala jenis masakan. Setiap hari Amie makan nasi, dan hanya sebelah malam sahaja jarang ambil sebab Amie tukarkan nasi dengan kentang atau roti. Amie juga membuat senaman ringan 3 kali seminggu. Itu sahaja. Tidak ada rahsia lain.
Cuma jangan tanya dulu berapa kilogram Amie turun, sebab Amie tak mahu selalu timbang berat badan...hiks!


Di hati sentiasa rasa bersyukur dan hanya inginkan penurunan berat badan sekitar 1-2 kg sahaja dalam setiap sebulan. Sekurang-kurangnya tahun 2021 dapat pakai baju-baju baru yang belum sempat dipakai sepanjang tahun 2020 kerana PKP, PKPB dan PKPP.... ahaks!

Mee Hoon Goreng dengan Bayam Brazil

$
0
0

Selamat pagi dunia. Semoga warganya sihat-sihat sahaja. Seperti hari-hari sebelumnya, cuaca di pagi ini mendung. Matahari masih berselimut, belum memancarkan sinarnya. Terasa dinginnya suhu ketika ini. Sesekali kedengaran deru enjin kenderaan di jalan raya. Suasana PKP, segalanya terasa sepi.

Awal pagi tadi kutip pucuk bayam Brazil di tepi rumah. Bolehlah menjadi pengganti sayur sawi untuk masak mee hoon goreng. Sudah siap hidangan sarapan pagi di atas meja, riuhlah Encik Suami memanggil anak-anak untuk makan bersama.

Mee Hoon Goreng dengan Bayam Brazil

Mee Hoon Goreng dengan Bayam Brazil, samosa inti kentang, hirisan limau dan teh lemon panas.

Mee Hoon Goreng dengan Bayam Brazil ini agak pedas. Mungkin cili kisar yang Amie gunakan jenis yang pedas. Walaupun pedas tapi habis licin.... ahaks!

Bahan-bahan:

  • 1 bungkus mee hoon - rendam dengan air biasa sehingga kembang - toskan
  • pucuk bayam Brazil secukupnya
  • 10 ekor udang 
  • 1 batang fish cake - hiris 
  • 10 biji cuttlefish ball - hiris
  • 1 biji cili merah - hiris
  • garam / perasa pilihan
  • 3 sudu besar minyak
Bahan kisar:
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 7 tangkai cili kering
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga terbit aroma.
  2. Masukkan udang, hirisan fish cake dan cuttlefish ball. Kacau beberapa kali sehingga udang berubah warna.
  3. Kemudian masukkan mee hoon diikuti dengan bayam Brazil. Gaul rata.
  4. Setelah bayam Brazil layu, taburkan garam / perasa pilihan secukupnya.
  5. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.

Kiriman Pouch Comel daripada Blogger Nur, Kisah Seorang Slow Runner

$
0
0

Alhamdulillah. Persahabatan di alam maya membawa rezeki hingga ke rumah walaupun tak pernah bersua dan bertentang mata. Sekali lagi Abang Farid menghantar mesej mengatakan ada bungkusan tiba di rumah pada 6 Januari 2021. Tak sabar nak tahu datangnya daripada siapa. Rupanya, kiriman Nur blogger KISAH SEORANG SLOW RUNNER  nun dari Perak sana.
Tak sangka sama sekali, nama Amie tersenarai di tempat kelima antara Top Comentators dalam blog tersebut.

Masha Allah! Nur kirimkan sebuah pouch atau kantung yang sangat comel dengan warnanya yang sungguh menarik. Rasa sangat terharu kerana pouch ini dikait sendiri oleh Nur! Tak dapat Amie bayangkan betapa tekunnya Nur menyiapkan pouch comel ini! Terima kasih tidak terhingga buat Nur atas kiriman yang sungguh istimewa ini. Nur juga kirimkan sebuah fridge magnet.

Nur rajin menulis rutin hariannya di dalam blog. Amie suka ikuti perkembangan aktivitinya dalam usaha mengamalkan gaya hidup sihat. Dari situ, Amie pun ikut termotivasi dan menjadikan tulisan Nur sebagai sumber inspirasi. Amie kagum dengan stamina tubuh badan Nur sehingga berjaya berlari berkilometer setiap hari, mendaki bukit dan juga pelbagai aktiviti lain yang berkaitan kesihatan termasuk amalan yoga dan diet IF.

Nur, fridge magnet kiriman Nur sudah Amie lekatkan di dinding peti sejuk. Nanti, setiap kali Amie ke dapur dan buka peti sejuk pasti Amie akan terpandang fridge magnet Teluk Batik kiriman Nur itu. Moga Nur sentiasa sihat dalam menjalani rutin harian bersama keluarga tersayang. Mudah-mudahan juga jalinan persahabatan maya di antara kita akan terus berkekalan. Aamiin.
Jom selalu singgah di blog Kisah Seorang Slow Runner untuk turut serta memeriahkannya!

Asam Pedas Ikan Kembung

$
0
0

Hujan yang turun bagaikan mutiara, berkilau bersinar berkerdipan. Subur menghijau bumi terbentang, dan bayu berpuput lembut. Teringat alunan lagu Allahyarham penyanyi Sudirman Haji Arshad. Maklumlah sekarang pun sedang hujan. Dari pagi sehingga petang, dingin dan kelam tanpa pancaran cahaya matahari.

Hari ini Amie masak Asam Pedas Ikan Kembung. Buat pertama kalinya Amie gunakan daun kesum hasil tanaman sendiri. Maklumlah, sebelum ini kalau tanam pokok kesum memang tak pernah menjadi! jadi, memang terujalah dapat petik tangkai pokok kesum. Bila rasa seronok, asam pedas pun jadi lebih sedap...kah!

Asam Pedas Ikan Kembung
Daun kesum dari belakang rumah.

Inilah dia pokok kesum yang kami tanam sebulan yang lalu. Nampak subur betulkan? Padahal sebelum ini tak pernahlah hidup. Setiap0 kali tanam, setiap kali itu jugalah tak hidup. Hasil jalan-jalan ke rumah abang ipar, kami bawa pulang beberapa batang pokok kesum. Biras Amie pesan, tanam pokok kesum dalam besen atau bekas yang tak berlupang. Bubuh tanah, dan biarkan air bergenang dalam bekas tersebut.

Encik Suami tanam dalam baldi, dan tak sangka memang pokok kesum terus hidup subur! Alhamdulillah!

Air sentiasa bergenang di bawah pokok kesum.
Inilah perkongsian cara tanam pokok kesum dari kami. Bagi sesiapa yang tanam pokok kesum tapi tak juga hidup, cubalah cara begini. Maklumlah, tidak ada tanah lembab, jadi tanam sajalah cara begini. Terima kasih biras Amie yang kongsi petua tanam pokok kesum.

Wokey, kita sambung cerita main masak-masak pula. Selain Asam Pedas Ikan Kembung, Amie panggangkan bahagian dada itik atas permintaan Fuad. Mendengar Amie akan panggang dada itik, mulalah Abang Farid sibuk nak beli makanan di luar. Abang Farid tak suka makan itik! Jadi Amie pun gorengkan  sayap ayam.


Asam Pedas Ikan Kembung


Dada Itik Panggang Sos Plum


Sayam Ayam Goreng Garam Kunyit


Ulam Daun Dill, Kacang Botol & Jantung Pisang

Sambal Belacan


Hirisan Nanas


Masakan asam pedas memang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Walaupun selalu memasaknya tetapi tak pernah rasa jemu untuk menikmatinya. Lebihan kuahnya pula kalau dipanaskan kembali, terasa lebih enak. Boleh cecah dengan lempeng atau jemput-jemput buat minum petang atau sarapan pagi.

Amie kongsikan masakan asam pedas ikan kembung di bawah ini. Amie bubuh separuh daripada tomato di awal masakan, dan renih sehingga tomato hancur. Kena ambil masa jugalah untuk menyiapkan masakan ini. Gunakan api perlahan sahaja sehingga kuah betul-betul masak sekata dan pecah minyak.

Bahan-bahan:
3 ekor ikan kembung saiz besar - bersihkan dan potong 2
3 biji tomato - belah 4
10 biji kacang bendi - cuci dan toskan hingga kering - buang tampuk dan ekor
7 tangkai pokok kesum
1 kuntum bunga kantan - belah 2
2 batang serai - diketuk
1 sudu kecil pati asam jawa
4 cawan air
4 sudu besar minyak
1 sudu kecil gula Melaka
garam  / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
10  tangkai cili kering
1/2 sudu kecil belacan
1/2 sudu kecil lada hitam
2 cm kunyit hidup
1 cm halia

Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar serta serai hingga terbit minyak. Gunakan api sederhana.
  2. Masukkan separuh daripada tomato yang dihiris, diikuti dengan pati asam jawa, gula Melaka dan air.
  3. Biarkan masak mendidih sehingga tomato hancur.
  4. Masukkan ikan dan kacang bendi. 
  5. Setelah ikan masak, masukkan lebihan hirisan tomato serta perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
  6. Kacau sekali dua, biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.

Minuman Herba Spica Prunellae

$
0
0

Petang tadi temankan Encik Suami minum petang di dapur. Amie renih sebentar herba spica prunellae bersama sedikit gula batu. Encik Suami nak minum. Katanya, herba ini elok untuk buang panas badan. Amie tak berapa mahir tentang herba-herba yang biasa digunakan oleh orang Cina. Oleh kerana kakak Encik Suami bersuamikan orang Cina, jadi banyaklah perkongsian budaya masyarakat Cina yang Encik Suami tahu. 

Minuman herba spica prunellae yang sudah ditapis.

Herba spina prunellae yang direnih bersama gula batu.

Dried Chinese Spica Prunellae


Sekian, sedikit perkongsian tentang herba dalam perubatan tradisi Cina bernama spica prunellae. Moga hari ini membahagiakan semua.


Lahad Datu - Pitas : Singgah Makan di Kundasang

$
0
0

Perjalanan dari Lahad Datu ke Pitas memakan masa yang agak panjang. Sepanjang perjalanan, cuaca mendung dan hujan renyai. Kami bertolak dari Lahad Datu sekitar pukul 6 pagi. Encik Suami ajak singgah makan di Ranau, tapi Amie sarankan makan di Restoran Nabalu sahaja. Kami sampai di Kundasang pada pukul 11:30 pagi. Restoran Nabalu tutup. Jadi kami terus belok naik bukit menuju ke Restoran Selera Kebun. Ini merupakan kali kedua kami makan di sini. Kali pertama kami singgah sini pada bulan Ogos 2020 : Makan Tengahari di Restoran Selera Kebun Kundasang

Alhamdulillah, kami tidak menunggu lama untuk menikmati hidangan tengahari.


Amie memesan nasi lauk ikan masin.


Hidangan Encik Suami, nasi berlauk ayam meraung.
Entah apa yang meraung.... ahaks! Agaknya rasa pedas masakan ayam tu yang buat orang meraung kot.


Fairuz dengan nasi dan ayam goreng penyet.
Semua set hidangan nasi disertakan dengan keropok, acar dan sambal.


Firdaus dengan minuman MILO sejuk.


Panjang rambut Firdaus. Maklumlah sejak PKPB dari bulan September, tak pernah potong rambut lagi. Budak kecik ni pesan mee goreng ayam.

Mee Goreng Ayam

Bismillah.


Habis satu pinggan mee goreng masuk perut Firdaus!


Ini rupa lauk ikan masin dalam pinggan nasi Amie. Ketulan ikan masin tidaklah banyak, tapi cukuplah dengan rasa masinnya itu. Ikan masin ini dimasak bersama hirisan bawang besar dan menimbulkan rasa manis yang enak. Ada hirisan tomato dan daun bawang. Istimewanya sebab ada cili putih. 
Sewaktu menikmatinya, dalam hati berkata: Balik LD nanti nak masak ikan masin begini. Bubuh sikit saja ikan masin, dan hiris banyak bawang besar. Nanti nak beli cili putih di Kundasang.
Pukul 12:15 tengahari, kami sambung perjalanan keluar dari Kundasang, menyusuri jalan besar melepasi Jambatan Tamparuli dan seterusnya membelok dari simpang Tuaran menuju ke Kota Marudu. Dalam hujan renyai, sekitar pukul 4:15 petang kami tiba di tempat penginapan kami iaitu Indah Chalet  Dataran Bengkoka, Pitas.

Nasi Goreng Ikan Bilis

$
0
0

Selamat pagi semua. Bagaimana cuaca di tempat anda? Di LD, matahari muncul agak lewat tetapi suasana kembali suram disebabkan cuaca mendung. Semoga hari ini segala urusan dalam diselesaikan dengan baik. In shaa Allah. Tentang perkembangan Covid-19, rasa agak takut untuk mengikutinya. Jumlah kes positif yang naik turun, dan tiba-tiba mencanak naik sungguh mengerikan! Ditambah pula dengan keadaan banjir, yang sekarang ini telah beralih ke negeri Sabah turut membimbangkan hati. Sesungguhnya Allah sedang menguji kita melalui musibah yang silih berganti. Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar dan sentiasa muhasabah diri.

Sudah ambil sarapan pagi? Jangan lupa alas perut terlebih dahulu sebelum beraktiviti. Amie goreng nasi lebihan semalam. Kali ini Amie buat Nasi Goreng Ikan Bilis. Sambil menggoreng nasi, sambil merenih serbuk teh Ceylon 888, bubuh beberapa ketul gula batu dan sehelai daun pandan. Di tengah-tengah cuaca sejuk begini memang nikmat betul dapat hirup teh panas manis-manis manja beraroma pandan!

Nasi Goreng Ikan Bilis

Nasi Goreng Ikan Bilis & The Gang

Teh Ceylon 888 aroma pandan.



Nasi Goreng Ikan Bilis ini resipinya biasa-biasa saja. Bahan-bahan yang digunakan ikut selera anak-anak. Amie suka bubuh kacang panjang, tapi mengenangkan betapa seksanya melihat anak-anak akan kuis-kuis kacang panjang sewaktu akan dan letak tepi pinggan, jadi Amie hanya bubuh jagung dan lobak merah sahaja.

Bahan-bahan:
  • 3 cawan nasi putih
  • 1 cawan isi jagung
  • 1/2 batang lobak merah - hiris halus
  • 1 labu bawang besar - cincang kasar
  • serbuk pati ikan bilis Maggi secukupnya
  • 1/2 cawan ikan bilis goreng
  • 3 sudu besar minyak
Bahan tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 1 biji cili merah - buang biji
  • 1/2 sudu kecil belacan
  • 1/2 cawan ikan bilis 
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Goreng bawang besar cincang hingga layu kekuningan. 
  2. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga terbit aroma.
  3. Tuangkan isi jagung bersama hirisan lobak merah. Kacau-kacau.
  4. Masukkan nasi putih. 
  5. Taburkan serbuk pati ikan bilis Maggi secukupnya.
  6. Gaul rata dan padamkan api dapur.
  7. Hidangkan bersama taburan ikan bilis goreng.

Kiriman Alphabets Stamps Daripada Blogger Azhafizah.com Sihatimerahjambu's diaries

$
0
0

Alhamdulillah. Rezeki datang tak salah alamat. Pada tarikh 5, 6 dan 7 Januari 2021 selama tiga hari Amie dapat kiriman berturut-turut dari rakan-rakan bloggers. Pada tarikh-tarikh tersebut Amie tidak berada di rumah, dan hanya dapat buka semua kiriman sebaik sahaja kembali ke LD pada 12 Januari, sehari sebelum PKP 2.0 dilaksanakan.

Kiriman ketiga ini datangnya dari Negeri Sembilan. Jauh terbangnya melintas Laut China Selatan di musim tengkujuh! Siapa tak kenal empunya diri : Azhafizah.com Sihatimerahjambu's diaries. Rumahnya sentiasa meriah dengan pelbagai hasil tulisan untuk dikongsi bersama. Orangnya sangat peramah. Setiap kali kunjungan, mesti meninggalkan komen yang manis-manis belaka. Itulah dia, dik Fiza yang kaya dan mewah dengan kemeriahan hasil coretan pelbagai info dan cerita-cerita menarik! Ada sahaja idea yang dikongsi. Tak pernah jemu berkunjung ke blog si manis ini, malah tertunggu-tunggu apa entri seterusnya.

Teruja sungguhlah Kak Amie dapat hadiah berupa alphabets stamps dari Fiza ini. Kak Amie tak pernah memiliki kotak ajaib ini tau Fiza. Nanti bolehlah buat pelbagai projek kraf kertas dan ajak Firdaus sekali. Mesti budak kecik tu ikut rasa seronok. Boleh gotong-royong menghias kad hadiah, hias planner, buat buku nota dan buku skrap, buat penanda buku  dan sebagainya. Banyak kegunaan alphabets stamps ini. Elok sangatlah dimanfaatkan ketika berkurung sempena PKP 2.0 ini. Dapat juga mengasah bakat dan kreativiti.

Terima kasih Fiza kerana sudi jadi rakan baik di alam maya. Semoga ukhuwah di antara kita berpanjangan. Walaupun hanya bertemu dalam kebisuan, namun jejak komen yang ditinggalkan sentiasa menjadi ingatan. Mudah-mudahan idea sentiasa mengalir bagai air terjun untuk Fiza terus menulis.

Jom sama-sama singgah untuk terus memeriahkan blog comel milik Blog Sihatimerahjambu's diaries. Terima kasih Fiza atas kiriman tanda kenangan sebagai pengomen tempat keempat. Semoga Fiza sentiasa dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang berpanjangan oleh-Nya.

Viewing all 4759 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>