Quantcast
Channel: Amie's Little Kitchen
Viewing all 4761 articles
Browse latest View live

My First Giveaway by Blog Sal

$
0
0

Selamat berhujung minggu buat semua. Hujan-hujan begini rasa nak tarik selimut saja, tidur sampai ke petang... ahaks! Tapi tiba-tiba teringat blogger Sal dari Blog Sal yang sedang menganjurkan My First Giveaway.

Oleh kerana syarat penyertaannya sangat mudah, jadi Amie pun berminat dan rasa seronok untuk turut serta memeriahkan segmen yang Sal anjurkan buat pertama kalinya ini. Yang belum jadi follower Sal, kenalah follow dulu ye. Kemudian buatlah entri My First Giveaway by Blog Sal. Lepas itu copy and paste banner seperti di bawah ini disertakan dengan backlink ke entri berkenaan. Akhir sekali kena letakkan link entri giveaway kita di ruangan komen di Blog Sal. Begitulah lebih kurangnya kan Sal.

Selain hadiah fridge magnet, kata Sal ada hadiah misteri turut disediakan. Menarik bunyinya tu. Apa pun adat bergiveaway, yang dapat dikira rezekilah kan. Untuk seronok-soronok meraikan rakan dunia maya, tak gitu?

Segmen ini akan berakhir pada 8 Februari 2021. Masih banyak kesempatan untuk menyertainya. Jom sama-sama meriah-meriahkan Blog Sal. Amie selalu terjah ke sana sebab suka baca hasil tulisan Sal tentang pengalaman kembaranya serta paparan gambar-gambar yang menarik. Sudi-sudilah selalu singgah di: BLOG NI SAL PUNYA.


Ayam Masak Cencalok Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah

$
0
0

Menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah. Patik pacal yang hina merafak sembah memohon izin berkongsi resipi Ayam Masak Cencalok hasil air tangan Tuanku. Semoga rakyat jelata dapat menikmati keenakan masakan resipi dari istana ini.

Agak lama juga Amie simpan resipi Ayam Masak Cencalok hasil beberapa kali menonton video yang dimuatnaik oleh Datuk Rizalman dari dapur istana. Sebenarnya tidaklah diberikan resipi lengkap, tapi pandai-pandailah kita mengolahnya berdasarkan bahan-bahan yang digunakan. Sebelum ini Amie pernah beberapa kali masak ayam cencalok tetapi resipi baginda Raja Permaisur Agung Tuanku Azizah berbeza dari masakan ayam cencalok yang pernah Amie olah.

Sekali pandang seperti ayam masak kicap disebabkan warna dan penggunaan kicap, tetapi rasa masakan tidak seperti itu! Tambah menarik sudah tentulah langkah demi langkah ketika memasak. Tuanku Azizah tidak tumis bahan perencah terlebih dahulu, sebaliknya memasukkannya setelah ayam separuh masak. Memang meriah sungguh dunia masakan! Banyak cara yang berbeza ketika proses memasak tetapi hasilnya tetap lazat!

Ayam Masak Cencalok Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah


Anak-anak tidak ada yang tahu ada cencalok dalam hidangan ayam! Semuanya makan dengan penuh selera. Amie tanya Fairuz: Sedap tak dik ayam tu? Jawabnya: Sedap! Abang Farid dan Fuad langsung tidak bertanya, sebaliknya menuang kuah dari mangkuk ke dalam pinggan nasi. Agaknya mereka semua menyangka Amie masak ayam kicap! Seperti dijangkakan, Ayam Masak Cencalok habis licin disantap seisi keluarga sebagai lauk makan tengahari.
Selain Ayam Masak Cencalok, Amie masak sup ayam campur dengan labu air, goreng ikan lumahan, dadar telur, dan buat sambal belacan mangga. Tidak ketinggalan, hidangkan hirisan buah nanas dan betik.
Lauk pauk hari ini memenuhi citarasa anak-anak. Abang Farid dapat makan ayam, Fuad dapat makan ikan goreng dan Firdaus dapat menjamah telur dadar. Ada tiga raja rupanya di rumah kami :
  • raja ayam
  • raja ikan
  • raja telur
Hanya Fairuz sahaja yang tidak memilih makanan. Apa yang dihidangkan itulah yang dimakan, tidak lagi bertanya kenapa tidak masak itu dan kenapa tidak masak ini. 

Sup Ayam & Labu Air



Ikan Lumahan Goreng

Telur Dadar


Sambal Belacan Mangga

Hirisan Nanas & Betik


Ayam Masak Cencalok sudah habis, jadi untuk makan malam masih ada lagi ikan goreng dan telur dadar serta sambal belacan mangga. Sup ayam dengan labu air pun masih berbaki. Jadi hanya perlu panaskan sahaja.

Amie akan kongsikan resipi Ayam Masak Cencalok Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah mengikut timbang sukat sendiri. Tidak perlu bubuh garam dalam masakan ini kerana sudah ada rasa masin cencalok. Tuanku Permaisuri pesan, gunakan kicap manis sahaja. Jadi kombinasi rasa cencalok dengan kicap manis dengan serai dan halia cukup membangkitkan rasa dan aromanya yang tersendiri. Satu lagi, Tuanku Permaisuri gunakan minyak zaitun. Tak ada minyak zaitun, gunakan minyak masak biasa pun boleh. Baginda gunakan cili padi saiz besar, rasanya cili padi minyak. Cili padi dalam simpanan Amie saiz kecil, jadi Amie gantikan dengan cili padi putih yang Amie beli di Kundasang. Cili padi itu Amie biarkan sahaja, tak potong. Kalau inginkan rasa pedas, bolehlah potong.
Cubalah masakan ini.
Dijamin sedap!
Sewaktu goreng ayam perapan cencalok, aromanya sungguh menggoda selera! Ditambah pula sebelumnya serai ketuk sudah masuk kuali terlebih dahulu.


Bahan-bahan:
  • 1 kg ayam - potong ikut saiz yang digemari
  • 5 sudu besar cencalok
  • 5 batang serai - diketuk
  • 3 ulas bawang putih - dihiris
  • 5 biji bawang merah - dihiris
  • 3 cm halia - hiris halus memanjang
  • 15 biji cili padi
  • 1 labu bawang besar Holland - belah 6
  • 5 sudu besar kicap manis
  • 10 biji tomato ceri
  • hirisan daun sup
  • 2 cawan air 
  • 1/2 cawan minyak zaitun
Cara memasak:
  1. Perap ayam bersama cencalok selama 20 minit.
  2. Panaskan minyak dan masukkan serai. Goreng hingga terbit aroma.
  3. Kemudian masukkan ayam. Air perapan ayam jangan dibuang.
  4. Biarkan ayam hingga separuh masak sambil kacau sekali-sekala.
  5. Masukkan halia, diikuti dengan hirisan bawang putih dan bawang merah serta cili padi. Kacau rata.
  6. Seterusnya masukkan kicap manis, lebihan air perapan ayam, dan juga air. Jika suka masakan berkuah bolehlah tuangkan lebih banyak air.
  7. Biarkan ayam masak. Setelah ayam empuk, dan kuah hampir pekat, masukkan pula tomato ceri dan bawang besar Holland. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
  8. Hidangkan dengan hiasan daun sup.

Daulat Tuanku. Air tangan Tuanku memang terbaik! Terima kasih patik ucapkan. Semoga rakyat jelata dapat mencuba resipi istimewa dari istana! Terima kasih juga buat Datuk Rizalman kerana sudi berkongsi video masakan ini.

Cerita Dari Dapur & Kuih Borasa

$
0
0

Petang tadi hujan terus-menerus tak berhenti. Perut rasa lapar. Masuk dapur. Jam menunjukkan pukul 5 petang tapi terasa seperti sudah masuk waktu Maghrib. Gelap!

Terpandang satu bekas rotan. Tiba-tiba gatal tangan buka penutupnya. Apa ada di dalamnya? Jom kita buka.

Bekas rotan.

Oh! Di dalamnya penuh berisi uncang-uncang kecil! Ada creamer, gula, kopi, teh, dan nescafe. Aduh! Rupanya Encik Suami punya kerja. Rajinnya angkut bawa pulang shacet minuman yang disediakan di hotel. Amie memang tak pernah minum panas sewaktu menginap di hotel, kecuali minum air mineral sahaja. Biasanya kami check in menjelang petang, jadi kalau minum kopi sebelum tidur memang tak boleh lelap mata sepanjang malam. Awal paginya pula tergesa-gesa nak tinggalkan hotel. 
Encik Suami kata, itu hak kita sebagai pelanggan. Sayanglah kalau tidak diminum. Baiklah bawa pulang. Betul juga kata Encik Suami.
Dah ada minuman panas, kenalah cari gangnya pula. Selongkar kabinet, terjumpalah saki baki biskut seperti di bawah ini.

Tiba-tiba mata terpandang sebuah bekas berisi sesuatu. Rupanya sewaktu ketiadaan kami, jiran sebelah hulurkan kuih. Ada Abang Farid beritahu kami, jiran sebelah bagi dua bungkusan berisi keledek. Amie tanya, kuih keledek atau ubi keledek? Abang Farid kata ubi keledek. 
Balik LD, bila Amie buka bungkusan tersebut isinya ialah ubi kayu, dan sebungkus lagi lengkuas! Aduhai... Abang Farid tak boleh bezakan mana satu keledek dengan ubi kayu dan lengkuas! 
Kuih yang kami tak tahu namanya ini, Amie cuba mesej kawan-kawan keturunan Bugis dan kongsikan gambarnya sekali. Mula-mula Kam jawab : Kuih burasakcina. Dar pula kata, menurut ibunya nama kuih itu burasak. Kemudian Amie tanya Pak Google, yang Amie jumpa kuih burasak atau borasa. Amie tanya semula kawan-kawan tadi, kenapa ada perkataan cina di hujungnya? Jus jawab, memang kuih itu namanya borasacina. Orang dulu-dulu yang bagi nama. Kam mencelah, katanya dulu nama borasacina. Sekarang dipanggil borasa saja. Keputusannya, nama kuih pemberian jiran kami ini ialah kuih borasa. Biasanya bila disebut semacam ada bunyi hamzah di hujungnya. Itu sebabnya borasa kadang-kadang dieja burasak atau borasak!

Kuih Borasa

Meriah betul dunia masakan! Betullah dapur tiada sempadan. Ada sahaja makanan yang baru dikenali! Barulah Amie teringat, selalu nampak kuih ini dijual di Pasar Tanjung di Tawau tapi tak pernah terlintas untuk membelinya. Kuih borasa ini rasanya manis.

Sarapan Cucur Udang & Lempeng Ubi Kayu Sambal Cili Padi

$
0
0

Hujan terus mencurah-curah. Hingga saat ini belum nampak sinar matahari pagi. Nampaknya pakaian yang dijemur akan ambil masa untuk kering. Sambil mendengar rentak titisan air hujan menimpa bumbung dapur, marilah kita alas perut untuk dapatkan tenaga agar aktiviti seterusnya dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Atas permintaan Abang Farid, Amie buatkan cucur udang campur jagung kegemarannya dan kesukaan semua adiknya. Kami dapat banyak rezeki pemberian ubi kayu dari jiran dan juga rakan sekerja Encik Suami. Jadi Amie pun olah jadikan lempeng ubi kayu campur dengan kelapa parut. Kali ini agak istimewa kerana Amie hidangkan dengan sambal cili padi dengan ikan bilis. Lama sangat tak makan sambal tumis cili padi! Sambal ini sambal nostalgia, sebab waktu kecil dahulu, inilah salah satu sambal kegemaran keluarga Amie di kampung.

Cucur Udang, Lempeng Ubi Kayu, Sambal Tumis Cili Padi & Kopi Padang.

 
Cucur Udang dengan Jagung

Cucur udang yang Amie olah ini memang sentiasa menjadi rebutan anak-anak. Abang Farid sudah cukup faham bahan yang digunakan dalam adunan. Untuk satu-satu adunan, biasanya Amie akan gunakan 2 cawan isi jagung, 2 cawan isi udang, 1 labu bawang besar cincang dan sebiji telur serta sedikit serbuk perencah cukup rasa. Tepung gandum yang Amie gunakan hanyalah satu cawan, dan airnya setakat cukup untuk salut bahan dengan tepung sahaja. Hasilnya, cucur udang sangat lembut untuk dinikmati.
Pantang sekali kalau Amie tambahkan bahan lain seperti daun kucai atau daun bawang, memang bisinglah anak-anak sewaktu makan. Syukurlah bawang besar cincang tak nampak sangat setelah cucur digoreng. Kalau nampak bawang, memang dari Abang Farid sehingga ke Firdaus, masing-masing akan buang bawang tersebut.
Cucur ini sedap dimakan begitu saja. Tak ada sos pencecah pun masih sedap!

Ini pula sambal cili padi ikan bilis. Sedap makan dengan lempeng ubi kayu. Amie kongsikan resipinya di sini supaya senang buat rujukan akan datang. Gunakan cili padi kampung yang berwarna hijau. Cili padi kisar sekali dengan batangnya. Entah apa rasionalnya Amie pun tak pasti. Waktu kecil dahulu, dengarnya kalau tumbuk cili padi kena sekali dengan batangnya, nanti tak sakit perut kalau makan sambalnya. 
Suka betul Abang Farid makan sambal ini, tapi dia cecah dengan cucur udang. 

Bahan-bahan:
  • 3/4 cawan cili padi kampung warna hijau  bersama tangkainya
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 3/4 cawan ikan bilis
  • 1/2 sudu kecil belacan
  • 1/2 sudu kecil pati asam jawa
  • gula / garam / perasa pilihan secukupnya
  • 3 sudu besar minyak
Cara memasak:
  1. Kisar cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan hingga hancur.
  2. Masukkan ikan bilis dan tekan butang pengisar sesaat sebanyak dua kali. Ikan bilis tidak perlu hancur.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar.
  4. Masukkan pati asam jawa dan gula secukupnya.
  5. Tumis sehingga pecah minyak, dan kemudian masukkan garam / perasa pilihan.
  6. Biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.
Lempeng Ubi Kayu Kelapa & Sambal Tumis Cili Padi


Ketika merenih kopi Padang, aromanya sangat menggoda dibawa angin sejuk ke seluruh ruang dapur. Terima kasih Pak Hermann Hollande. Kiriman serbuk kopi dari Padang, Sumatera Barat masih lagi berbaki. Asyik menikmati lempeng ubi kayu cecah sambal tumis cili padi, tak tersedar 2 cawan kopi diteguk!
Anak-anak makan cucur udang. Amie bersama Encik Suami makan lempeng ubi kayu!

Bermalam di Indah Chalet Dataran Bengkoka Pitas

$
0
0

Encik Suami selalu kata, kalau ada kesempatan ingin berkunjung ke tanduk negeri Sabah iaitu Kudat. Itulah antara daerah negeri Sabah yang belum pernah dijejakinya sebagai anak Sabah. Amie kata, alang-alang menempuh perjalanan jauh dari Lahad Datu hingga ke utara Borneo, baiklah singgah ke Pitas sekali, sebuah pekan kecil di Bahagian Kudat yang bersempadan dengan daerah Kota Marudu di sebelah barat, daerah Beluran dan Paitan di sebelah timurnya. Perjalanan kami mengambil masa sekitar 10 jam, termasuk singgah makan tengahari di Kundasang. Hujan renyai seawal pagi kami mula bergerak dari Lahad Datu sehinggalah kami tiba di tempat penginapan kami di Indah Chalet Dataran Bengkoka Pitas. Kalau memandu laju, mungkin boleh sampai lebih awal. 

Peta di bawah ini menunjukkan kedudukan daerah Pitas. Ada dua tanduk, dan tanduk berwarna merah itulah daerah pertama kami tuju. Hitung panjang jarak dari Lahad Datu, tempat kami ke Pitas, lebih kurang 505 km. Selasa, 5 Januari 2021 tepat 4:15 petang kami tiba di Pitas buat pertama kalinya.

Sumber: Google

Daerah Pitas, dalam bulatan merah.

Jalan masuk ke Indah Chalet Dataran Bengkoka Pitas

Daftar masuk di sini.

Bilik penginapan kami pada malam tersebut. 

Sebelum tiba di sini, kami mengharapkan tempat penginapan kami seindah namanya. 



Bilik kami menghadap laut.
Walaupun ketika ini jam baru menujukkan angka 4:30 petang tetapi suasana agak gelap tanpa sinaran cahaya matahari. Langit kelihatan mendung, dan awan warna kelabu di setiap penjuru.

Kedudukan bilik kami. Inilah antara pemandangan Indah Chalet yang boleh dilihat dari Dataran Bengkoka.

Air laut tidak pernah surut di kawasan ini. Sepanjang waktu kami mendengar ombak memukul tepian berbatu.

Petang itu kami tidak ke mana-mana kerana hujan. Encik Suami ajak makan di restoran di Indah Chalet, dan kemudian kami hanya berehat di bilik. TentuEncik Suami ingin berehat setelah 10 jam memandu.


Firdaus pula rasa sangat seronok kerana dapat pengalaman baru di sini.
Pengalaman apa tu?

Tentulah suka sangat dia sebab boleh pegang joran!
Dengan sewa sebanyak Rm15, dan umpan sotong Firdaus boleh memancing sehingga puas dari beranda. 

Sepanjang petang Firdaus memancing tapi tak seekor ikan pun berjaya diperoleh! Marah sungguh Firdaus bila melihat umpannya habis dimakan ikan!

Mandi dulu sayang.
Malam nanti boleh memancing lagi.

Malam itu, entah sehingga pukul berapa Firdaus terus memancing ditemani Fairuz. Namun tak seekor ikan pun berjaya dipancing. Bisinglah Firdaus sampai keesokan pagi! Memang hampa sungguhlah hatinya, apalagi bila asyik terpandang beberapa orang yang memancing di kiri kanan kami asyik mengangkat ikan di hujung joran masing-masing!

Petola Masak Lemak Putih

$
0
0

Hari ini hujan dari pagi membawa ke petang. Ramalan cuaca menjangkakan hujan turun di negeri Sabah sehingga esok. Sepanjang hari ini emang tak disapa langsung oleh sang mentari. Duduklah berkurung dalam rumah. Ke sana ke mari, ke dapur ke ruang tamu, jenguk keluar sebentar dan masuk semula ke dalam rumah.

Untuk hidangan tengahari tadi, Amie hidangkan sayur Petola Masak Lemak Putih dengan Ikan Kembung Panggang. Amie sediakan air asam tambah kerisek sebagai pencecah. Raja ayam tidak jadi beli makanan di luar apabila ternampak Amie rendam ayam di sinki dapur. Raja ikan tidak kisah sangat, sebab kalau tak ada ikan boleh makan ayam juga. Begitu juga raja telur. Kalau ada ayam, lupalah telurnya. Raja ayam saja yang susah sikit sebab memilih sangat lauk.

Petola Masak Lemak Putih
Ayam Goreng Salut Tepung

Ikan Kembung Panggang
Ikut pusingan jam: Petola Masak Lemak Putih, Air Asam Kerisek, Sambal Tumis Cili Padi, Ikan Kembung Panggang, hirisan betik dan Ayam Goreng Salut Tepung


Petola Masak Lemak Putih memang laku keras. Barangkali cuaca sejuk, ditambah pula dengan hidangan masakan lemak putih yang semerbak dengan aroma serai dan udang kering. Rasanya pun sudah tentulah sangat sedap sebab penggunaan santan segar yang menimbulkan rasa lemak manis!
Selain petola sebagai watak utama dalam masakan lemak putih ini, Amie tambahkan cendawan telinga tikus, hirisan lobak merah dan juga udang basah. 

Bahan-bahan:
  • 1 biji petola - buang kulit - hiris ikut saiz yang disukai
  • 5 kuntum cendawan telinga tikus - rendam hingga kembang - hiris ikut saiz yang disukai
  • 1/2 batang lobak merah - kupas- potong ikut saiz yang disukai
  • 12 ekor udang kertas - buang kulit dan tarik urat hitam dibelakang
  • 1 cawan suhun yang sudah ditos dari rendaman
  • 3 cawan santan cair
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 biji cili merah - hiris
  • 2 batang serai - diketuk
  • garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - toskan
Cara memasak:
  1. Tuangkan santan cair ke dalam periuk.
  2. Masukkan bahan tumbuk, serai, cendawan telinga tikus dan lobak merak.
  3. Masak sehingga kuah mendidih.
  4. Kemudian masukkan udang, diikuti dengan petola.
  5. Tuangkan santan pekat. Kacau selalu dan masak sehingga kuah mendidih.
  6. Masukkan garam / perasa pilihan secukupnya.
  7. Akhir sekali masukkan suhun dan hirisan cili merah.
  8. Kacau sekali dua, dan terus padamkan api dapur.

Restoran Makanan Laut Ala Kampung di Indah Chalet Dataran Bengkoka Pitas

$
0
0

Encik Suami ajak makan malam lebih awal. Katanya, nak segera rehatkan badan. Petang itu kami makan di Indah Chalet saja sebab di situ sudah tersedia sebuah restoran menghadap laut.  

Firdaus membaca doa makan.

Lauk pauk yang dipilih ikut selera Fairuz. Salah satunya, udang butter basah. Sedap sangat walaupun masakannya nampak simple.

Fairuz pilih lagi ketam telur masin. Tak kurang sedapnya daripada udang butter basah!

Layan selera Fairuz lagi. Dipilihnya seekor ikan kerapu.
Amie cadangkan goreng salut tepung saja. Sedap betul ratah ikan kerapu ini cecah dengan sambal!



Ini lauk pilihan Amie dan Encik Suami. Ikan belanak masak sup, tapi agak berminyak pula.

Fairuz suka sangat makan sayur pucuk manis. 
Waktu itu kita pun tengah berselera makan, maklumlah baru baik dari sakit. Separuh ikan kerapu goreng itu kita ratah!


Walaupun sup agak berminyak, tapi sedap pula bila dimakan bersama nasi! Kiranya samalah seperti masakan singgang tumis ikan. Mungkin kedudukan chalet ini di tepi laut, dan agak mudah mendapatkan bekalan makanan laut. Kesemua lauk yang dihidangkan terasa segar-segar belaka, terasa manisnya udang dan juga ketam!

Giant Lobster di Dataran Bengkoka Pitas

$
0
0

Hari kedua di Pitas, sebelum bersarapan pagi kami sempat melawat ke Dataran Bengkoka yang terletak berhampiran dengan Indah Chalet. Encik Suami ingin bersarapan di restoran yang terletak bersebelahan dengan Indah Chalet. Apabila kami tiba, pekerja restoran memberitahu kami restoran beroperasi pada pukul 10 pagi. Jadi kami habiskan masa dahulu menuju ke Dataran Bengkoka.  Kalau berjalan kaki dari tempat penginapan, hanya mengambil masa 2-3 minit sahaja. 

Benda pertama yang kami hampiri sudah tentulah replika giant lobster yang melekap di batu besar di tepi laut. Pada hari Rabu, akan ada pasar atau Tamu Mingguan Dataran Bengkoka. Malangnya, pada hari tersebut walaupun hari Rabu, pasar atau tamu tidak dibuka. Maklumat yang kami terima, sejak PKP 1.0 memang semua aktiviti di kawasan ini dihentikan. Memang kelihatan suasananya yang tidak terjaga, dengan sampah sarap dan banyak longgokan najis lembu.

Giant Lobster di Dataran Bengkoka



Sempat meninggalkan jejak di Jeti Dataran Bengkoka.

Menikmati pemandangan Laut Sulu.

Dapat juga tangkap sekeping gambar dengan Fairuz. Rambutnya panjang betul! Maklumlah cuti sekolah yang berpanjangan dan terpaksa berkurung lama! Tak sedar rambut sudah berjurai panjang!


Jom ambil gambar dari sisi depan giant lobster pula. 

Penduduk sekitar daerah Pitas terdiri daripada etnik Kadazandusun dari suku kaum Rungus dan Orang Sungai termasuk sub-suku Tambanuo. Di dataran ini juga terdapat rumah-rumah tradisional suku kaum yang terdapat di sini. Bagaimana pun ketika ini keadaannya kelihatan uzur dan terbiar. 
Jika ada kesempatan untuk datang sekali lagi ke sini, harapnya Dataran Bengkoka kembali meriah seperti dahulu.

Hujan gerimis mula turun membasahi Dataran Bengkoka. Kami tidak boleh berlama-lama di sini. Hanya tinggal 3 minit ke pukul 10, dan memang masa yang sesuai untuk kami kembali ke restoran untuk bersarapan.

Siapa tahu nama buah ini?

Beppa Janda @ Kue Mata Roda

$
0
0

Selamat pagi semua. Cuaca di LD mendung dari awal pagi. Mendung-mendung manja gitu sebab sesekali muncul juga cahaya matahari tetapi tak lama kemudian terlindung pula dibalik awal kelabu.

Pagi tadi, selepas solat Subuh, Encik Suami keluar dengan Fuad membeli sarapan. Terkejut juga Amie sebab belum sempat ke dapur untuk buat sarapan, Encik Suami bersama Fuad pulang dengan menjinjing lima bungkusan makanan. Untuk Amie dibelikannya sebungkus nasi kuning lauk ikan pari dan sambal ayam. Untuk yang lain masing-masing dibelikan mee hoon dan juga mee goreng dengan tambahan ayam goreng setiap seorang.

Rupanya Encik Suami sudah ada udang di sebalik batu! Selesai sarapan pagi, ditanya pula bolehkah Amie buatkan kuih ubi kayu dengan pisang. Katanya, ada urusan di kampung, dan akan singgah sebentar di rumah adiknya. Bolehlah bawa oleh-oleh sekali. Tiga hari lepas Encik Suami beli dua sikat pisang raja. Amie minta beli satu sikat saja, tapi berganda pula yang dbawa pulang. Memandangkan banyak ubi kayu, Encik Suami cadangkan Amie buat kuih janda atau beppa janda. Amie dapat nama baru tentang kuih ini. Seorang rakan blogger, MAYUF dari Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia memberikan komen dalam entri Amie yang lepas: Kuih Janda (Beppa Janda) dan katanya kalau di Jawa kuih ini disebut kue mata roda! Terima kasih dik Mayuf atas perkongsian nama kuih ini.

Beppa Janda @ Kuih Janda @ Kue Mata Roda
Resipi kuih ini Amie pernah kongsikan di sini: KUIH JANDA @ BEPPA JANDA.

Apabila dibelah dua barulah terbongkar rahsia! Kuih warna hijau Amie bubuh pisang secara menegah, yang warna merah pula Amie bubuh secara mendatar, pisang terbaring! Yang penting sedap dimakan semasa masih hangat. Entah berapa biji masuk perut Encik Suami! Walaupun sudah bersarapan pagi, nampaknya tak dapat menahan selera untuk menjamah kuih ini.

Kuih Janda yang Encik Suami bawa ke kampung.

Amie kongsikan sekali lagi resipi Kuih Janda @ Kue Mata Roda ini di sini mengikut sukatan yang Amie gunakan pagi tadi.

Bahan-bahan:

6 cawan ubi kayu kisar - tapis airnya - ambil patinya dan campurkan ke dalam ubi kayu kisar
3 sudu besar gula (jika suka manis boleh tambah)
1 sudu kecil garam
setitis pewarna hijau 
setitis pewarna merah
6 biji pisang raja masak ranum - potong 6 setiap sebiji
sekeping daun pisang untuk alas sewaktu mengukus
2 cawan kelapa muda parut + secubit garam dan kukus 7 minit


Cara:

1.
Campurkan adunan ubi kayu, garam dan gula. Gaul sebati.
2. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian warnakan hijau, dan satu bahagian lagi warnakan merah.
3. Ambil adunan dan leperkan di tangan. Masukkan sepotong pisang raja. Kemudian bentuk atau kepalkan menjadi lonjong.
4. Letakkan daun pisang di dalam periuk pengukus.
5. Susun kuih tadi di atas daun pisang.
6. Kukus hingga masak.
7. Angkat dan golek-golekkan di atas parutan kelapa.

Abang Farid Terima Ijazah Sarjana Sains

$
0
0

Umum telah mengetahui, sebarang majlis tidak dapat diadakan susulan penularan Covid-19 yang dilaporkan dari semasa ke semasa oleh MKN dan KKM. Begitulah takdirnya. Abang Farid tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen untuk menerima skrol Ijazah Sarjananya di UTP. Sejak 13 September 2020, Abang Farid 'terperangkap' di LD sehingga ke hari ini.

Hari ini, di tengah-tengah cuaca mendung dan awan berarak kelabu, datanglah van pos laju ke rumah menghantar kiriman untuk Abang Farid. Hasil usahanya selama dua tahun membuat penyelidikan, akhirnya Abang Farid berjaya menerima skrol Master of Science (MSc) di rumah sendiri.Tahniah Abang Farid. 



Memang menjadi kenangan sungguhlah menerima Ijazah Sarjana dalam suasana wabak melanda dunia. Apa pun, Abang Farid sudah pernah ada pengalaman manis menerima Ijazah Sarjana Muda Kimia di UKM 2017. 





In shaa Allah, ada peluang dan rezeki mudah-mudahan pada masa akan datang dapat meraikan Abang Farid di majlis konvokesyen untuk menerima skrol PHDnya pula. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan pembelajaran Abang Farid untuk mencapai cita-citanya.

Sedapnya Ikan Masin Goreng Bawang Cili!

$
0
0

Jumpa lagi. Masih lagi berkesempatan menyiapkan hidangan keluarga. Hari ini dapat memenuhi selera sendiri dengan masakan Ikan Kering Goreng Bawang Cili. Abang Farid sudah kekenyangan, sarapan pagi mee goreng dengan ayam goreng, kemudian tengaharinya pula Encik Suami  membawa pulang roti kegemarannya. Selepas makan roti, Abang Farid makan french fries pula. Jadi, Amie tak perlu fikirkan selera raja ayam itu lagi. Hari ini, tak ada ayam dari dapur. Lauk yang Amie masak selain ikan masin ialah panggang dalam kuali ajaib ikan cencaru sumbat sambal belacan, sayur bening sayur kobis Cina campur baby kailan, telur dadar dan kacang bendi celur. Lebihan sambal belacan untuk ikan cencaru sumbat Amie gandingkan dengan kacang bendi celur. 

Ikan Masin Goreng Bawang Cili

Ikan Cencaru Panggang Sumbat Sambal Belacan

Telur Dadar Lobak Merah & Leek

Sayur Bening Kobis Cina & Baby Kailan


Sayur bening kobis Cina dengan baby kailan ini Amie oleh ikut kegemaran Encik Suami. Amie tumbuk bawang putih, bawang merah, halia dan lada putih serta ikan bilis sebagai perencah. Bayangkan apabila makan ikan panggang cencaru sumbat sambal belacan, kemudian hirup kuah sayur bening yang ditambah dengan lada putih! Berpeluh-peluh jadinya walaupun di luar hujan tak berhenti turun .... ahaks! 

Hirisan limau sunkist dan limau manis dari Kundasang.

Hidangan bebas ayam...hiks!


Amie, cukuplah makan nasi dengan Ikan Masin Goreng Bawang Cili dan kacang bendi celur cecah sambal belacan saja. Sesekali hirup kuah sayur bening lada putih tu. Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Boleh gunakan apa sahaja ikan masin. Amie gunakan ikan batu saiz kecil, sebesar tapak tangan setiap seekor.

Bahan-bahan:
  • 2 ekor ikan masin batu - bersihkan - potong ikut saiz yang disukai - goreng hingga masak - angkat 
  • 20 biji cili padi putih - 10 biji biarkan bertangkai - 10 biji belah 2
  • 3 ulas bawang putih - hiris
  • 5 biji bawang merah - hiris
  • 1 labu bawang besar - hiris
  • 3 cm halia muda - hiris halus
  • beberapa biji tomato ceri merah dan kuning - belah 2
  • minyak 
  • 1 sudu kecil serbuk cukup rasa Maggi
Cara memsak:
  1. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas gorengan ikan masin di dalam kuali.
  2. Gorengkan hirisan halia, bawang putih, bawang merah, bawang besar dan cili hingga layu.
  3. Kemudian masukkan tomato ceri merah dan kuning.
  4. Taburkan serbuk cukup rasa Maggi. Gaul rata.
  5. Akhir sekali masukkan ikan masin batu goreng. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.

Sarapan Pagi di R&R Dataran Bengkoka Pitas

$
0
0

Sambungan entri Dataran Bengkoka Pitas. Kami pelanggan paling awal tiba di R&R Dataran Bengkoka Pitas. Sebaik pintu pagar dibuka, kami terus meluru masuk. Perut sudah berkeroncong minta diisi, ditambah pula dengan suhu dingin hujan renyai-renyai di pagi hari.


Nampak kemas dan bersih.

Sementara menanti sarapan yang dipesan tiba di meja, sempat rakan suasana di sekitar restoran.


Banyak ruangan makan boleh kita pilih untuk duduk.




Kami duduk di bahagian hujung restoran sambil menikmati pemandangan luar dan merasai tiupan dingin angin laut. Oleh kerana belum ada pelanggan lain selain kami berempat, hidangan yang dipesan pun sampai di meja tanpa menunggu lama.




Firdaus terus menikmati minuman kegemarannya, milo panas sebaik sahaja minuman yang dipesan sampai ke meja.


Sarapan pilihan Firdaus, mee goreng ayam.

Bismillah.

Menu sarapan Amie, kuey teow daging  goreng basah.

Encik Suami dengan mee hoon goreng seafood.

Nasi goreng pilihan Fairuz, ada ayam goreng dan sambal.

Dan menu tambahan pesanan Fairuz, keropok lekor.

Punten & Sambal Cili Padi Ikan Bilis : Menu Tradisi Jawa yang Enak!

$
0
0

Sesekali sarapan Punten & Sambal Ikan Bilis alangkah nikmatnya! Rasa pedas sambal cili padi ikan bilis diselang seli dengan seteguk dua kopi panas menjadikan selera semakin bertambah untuk mengunyah satu demi satu punten!

Waktu kecil dulu, Bonda selalu jadikan punten sebagai sarapan pagi seisi keluarga. Oleh kerana jumlah adik-beradik yang ramai, tak sempatlah Bonda nak gentel satu persatu untukdijadikan bentuk punten seperti yang Amie paparkan ini. Bonda hanya tumbuk sahaja nasi punten yang telah tanak dan kemudian masukkan ke dalam loyang. Kemudian Bonda akan ratakan permukaan punten, dan biarkan sehingga sejuk sebelum dipotong. Makan begitu saja pun sedap tanpa sambal ikan bilis. Rasa sambal ikan bilis sangat pedas sebab Bonda gunakan cili padi sepenuhnya, jadi lidah kanak-kanak kami tak dapat menerimanya!

Bila berjauhan, terasalah rindunya air tangan Bonda! Maka di pagi yang dingin ini, Amie pun kembalikan nostalgia masa lampau. Amie masak sedikit saja, sekadar untuk memenuhi keinginan. Encik Suami pula beli roti canai untuk sarapan anak-anak.

Ketika Amie sedang menyiapkan punten, Firdaus datang ke dapur, pelbagai pertanyaan diajukan.

Mommy masak nasi lemakkah? Sedapnya bau. Mommy masak sambal ikan biliskah?

Tidak sayang. Mommy masak punten. Mommy masak sambal cili padi ikan bilis.

Punten itu apa Mommy?

Punten itu makanan tradisi orang Jawa. Masa Mommy kecik-kecik dulu, nenek selalu buat punten untuk sarapan pagi.

Kenapa orang Jawa? Bukankah nenek orang Malaysia?

Oh! Nenek keturunan Jawa.

Apa itu keturunan?

Bla bla bla.......

Siaplah Punten & Sambal Ikan Bilis

Punten & Sambal Cili Padi Ikan Bilis

Pagi ini ada dua jenis sarapan pagi. Masakan Jawa dan masakan India. Punten & Sambal Cili Padi Ikan Bilis dan juga roti canai cecah kuah dal dan sambal tumis.

Amie akan kongsikan resipi punten mengikut cara Bonda. Selain bubuh santan, Bonda akan tambahkan kelapa parut dalam punten. Rasanya sudah tentulah lemak-lemak. Itu sebabnya sewaktu kecil dulu kami hanya makan punten saja sebab tak berani nak cecah sambal cili padi ikan bilis yang pedas itu! Amie hanya masak satu cawan beras sahaja untuk menghasilkan punten yang Amie kongsikan ini. Nisbah beras dengan santan ialah sebanyak 1:3. Amie gunakan 1 cawan santan pekat ditambah dengan 2 cawan santan cair. Kelapa parutnya pula Amie gunakan 1/2 cawan.

Bahan-bahan:
  • 1 cawan beras
  • 2 cawan santan cair
  • 1 cawan santan pekat
  • secubit garam
  • sehelai daun pandan - tak bubuh pun tak apa
Cara memasak:
  1. Cuci beras dan masukkan ke dalam periuk. Amie gunakan periuk biasa, masak atas dapur gas.
  2. Tuangkan santan cair dan santan pekat, kelapa parut,  masukkan secubit garam dan daun pandan.
  3. Gunakan api sederhana, dan selalu kacau supaya tidak hangus di bahagian bawah.
  4. Apabila nasi mula mengering, tutup periuk dan biarkan hingga tanak.
  5. Selepas itu padamkan api dapur dan tumbuk nasi punten ketika masih panas.
  6. Biarkan seketika dan kemudian bolehlah dibentuk menjadi kepalan yang lonjong.
Sesetengah orang kepalannya lonjong runjing di kedua-dua hujungnya. Ada punten kurung meruncing, dan ada yang bulat -bulat gemuk. Punten yang Amie hasilkan ini bentuknya lonjong bulat macam bentuk orangnya juga... ahaks! Tak kisahlah, yang penting punten sedap...kah! Suka sangat Encik Suami dan Firdaus makan punten. Entah berapa ketul masuk perutnya.


Ini resipi Sambal Cili Padi Ikan Bilis untuk dinikmati bersama punten. Dulu tak berani makan sebab pedas, tapi sekarang rasa sedap pula!

Bahan-bahan:

3/4 cawan cili padi kampung warna hijau bersama tangkainya
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3/4 cawan ikan bilis
1/2 sudu kecil belacan
1/2 sudu kecil pati asam jawa
gula / garam / perasa pilihan secukupnya
3 sudu besar minyak

Cara memasak:

1. Kisar cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan hingga hancur.
2. Masukkan ikan bilis dan tekan butang pengisar sesaat sebanyak dua kali. Ikan bilis tidak perlu hancur.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar.
4. Masukkan pati asam jawa dan gula secukupnya.
5. Tumis sehingga pecah minyak, dan kemudian masukkan garam / perasa pilihan.
6. Biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.

Ayam Masak Semur @ Kicap Paling Sedap!

$
0
0

Hari ini Amie olah Ayam Masak Semur @ Kicap. Ayam Masak Semur @ Kicap sangat popular dalam kalangan masyarakat Jawa di Malaya. Hidangan ini sering disajikan sewaktu kenduri-kendara terutamanya dalam hidangan nasi ambeng. Menjelang hari raya pula, ia turut dihidangkan untuk dinikmati bersama ketupat. 

Ayam masak semur pada hari ini sudah berbeza berbanding dahulu. Itu antara tutur bicara Bonda beberapa tahun lalu ketika kami bercuti di Malaya.

Orang sekarang, bubuh macam-macam dalam masakan semur. Tambah sos tiram. Tambah sos itu, sos ini.

Mana mak tahu?

Mak nampak orang masak waktu rewang kenduri di kampung. Lain dah rasanya, tak sama dengan masakan orang dulu.

Yang bubuh itu ini, tambah sos itu ini namanya masak kicap mak. Yang masak semur masih sama bahannya. Amie cuba sedapkan hati Bonda. 

Jangan sedih Bonda. Olahan-olahan baru dalam masakan itulah namanya kreativiti mengikut rentak zaman. In shaa Allah Ayam Masak Semur masih ada peminatnya yang tersendiri dan diolah mengikut cara masakan yang asli. Untuk itu, Amie abadikan untuk kesekian kalinya Ayam Masak Semur di sini supaya boleh menjadi rujukan kepada pencinta resipi masakan tradisional khususnya masakan citarasa masyarakat Jawa.

Ayam Masak Semur @ Kicap

Senang hati Abang Farid sebab ada lauk ayam. Anak-anak tercari-cari kuah, tetapi Amie masak agak kering. Untuk Encik Suami pula Amie panggangkan setengah ekor ikan bulan. Ikan bulan ini rupa bentuknya ala-ala ikan terubuk tapi ukurannya lebih panjang. Banyak tulang tetapi isinya berlemak. Ada latuk @ rumpai laut cecah sambal (tak tahu nak bagi nama apa sambal itu), dan juga kerabu taugeh campur kerang.

Ikan Bulan Panggang

Latuk

Sambal : Cili merah & cili padi kisar bersama bawang merah dan tomato. Tambahkan perasa dan jus limau kasturi.

Kerabu Taugeh & Kerang


Hirisan Limau Sunkist

Hujan sepanjang hari. Diluar gelap, di dalam rumah lagi gelap. Gambar pun tak berapa jelas. Jom Amie kongsikan resipi Ayam Masak Semur masakan orang kampung kami sejak dahulu. Amie tambahkan suhun di akhir masakan. Sekarang, jarang orang jumpa suhun dalam masakan begini. Tiada penambahan bancuhan air tepung jagung untuk pekatkan kuah dalam masakan ini. Barangkali, rasional orang dulu-dulu memasukkan suhun bertujuan untuk menyerap kuah sehingga kuah semur menjadi pekat. 
Ayam hendaklah terlebih dahulu diperap dengan garam kunyit dan digoreng hingga masak. Kentang pun digoreng juga. Penggunaan rempah wajib termasuklah lada putih atau lada hitam, buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang. Rempah-rempahan lain  seperti ketumbar, jintan putih dan jintan manis hendaklah ditumbuk halus atau dikisar. Bonda pesan, jangan gunakan banyak sangat rempah-rempahan ini. Bila Amie tanya, berapa sukatannya. Ambil sejemput saja kata Bonda. Sejemput itu Amie fahami sekadar 1 sudu kecil sahaja. 
Kicapnya pula, kena gunakan kicap manis. Oleh kerana ayam sudah diperap dengan garam kunyit, jadi tak perlu tambah garam lagi dalam masakan. Untuk 1 kg ayam, Amie hanya perap dengan 1 sudu kecil garam halus dan satu sudu kecil serbuk kunyit.



Bahan-bahan:
  • 1 kg daging ayam - potong menjadi 12 bahagian
  • 4 biji kentang - kupas kulit dan belah 4
  • 1 cawan kicap manis
  • 1 labu bawang besar - belah 6
  • 1 sudu kecil pati asam jawa
  • 1 cawan air
  • 1 sudu besar lada putih / lada hitam - tumbuk
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 1 cawan suhun yang sudah direndam dan ditoskan
  • garam / gula / perasa pilihan - jika perlu
Bahan tumbuk :
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 cm halia
  • 1 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 1 sudu kecil jintan manis
Cara memasak:
  1. Gaul ayam dengan satu sudu kecil  garam dan serbuk kunyit. Perap seketika dan kemudian hingga masak dan ketepikan.
  2. Goreng kentang hingga kuning keemasan atau sehingga masak dan ketepikan.
  3. Panaskan 4 sudu besar minyak bekas gorengan ayam. Tumis semua bahan tumbuk bersama kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang sehingga wangi.
  4. Masukkan asam jawa, air dan kicap. Biarkan sehingga kuah mendidih.
  5. Masukkan ayam dan masak sehingga kuah pekat.
  6. Masukkan lada putih / lada hitam dan gaul sebati.
  7. Perasakan dengan sedikit garam dan gula, tetapi sekiranya anda menggunakan kicap manis seperti Kicap Cap Kipas Udang (Habhals), tidak perlu masukkan garam dan gula kerana kicap ini sudah cukup rasa.
  8. Setelah kuah kelihatan pekat seperti yang dikehendaki, barulah masukkan kentang goreng, hirisan  bawang besar dan cili merah serta suhun. 
  9. Gaul beberapa kali dan segera padamkan api.

Pitas Bay View

$
0
0

Sebaik sahaja kami meninggalkan R&R Dataran Bengkoka, kami kembali ke Indah Chalet untuk daftar keluar. Hujan terus turun renyai-renyai. Kami menghala beberapa kilometer lagi menuju ke Pitas Bay View. 

Setelah beberapa ketika menunggu huja reda dari dalam kereta, akhirnya kami putuskan untuk keluar meredah gerimis. Sempat rakam beberapa keping gambar sebelum masuk semula ke dalam kereta.


Ketika ini jam sudah menunjukkan angka 11:30 pagi. Awan kelabu di sana sini. Matahari langsung tidak kelihatan.

Pitas Bay View. 
Tak dapatlah melihat pemandangan sekitar dari menara tinjau.
Laut Sulu kelihatan berkabus.

Replika todak gergasi di tepi laut.


Terpaksalah menerima kenyataan tidak boleh turun ke bahagian bawah untuk melihat pemandangan seterusnya.


Kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Kudat sahaja memandangkan hujan tidak berhenti dari awal pagi seperti kelmarin. Dan kami akur, jadual lawatan yang kami rangka terpaksa dibatalkan terutamanya untuk berkunjung ke Paniapat Hill.
Amie belanja sajalah gambar-gambar pemandangan di Paniapat Hill yang dikongsikan oleh Pak Google.

Sumber : Google

Sumber : Google

Sumber : Google

Sumber : Google

Hasrat untuk menelusuri jambatan warna-warni di Pitas Mangrove  @ Rosob juga terpaksa dibatalkan.

Google : Pitas Mangrove @ Rosob

Google : Pitas Mangrove @ Rosob


Hirup Secangkir Minuman Panas Di Kala Hujan Petang

$
0
0

Hujan. Rasa dingin. Terlena seketika. Terjaga. Rasa lapar. Ke dapur. Bancuh secawan  air panas dengan Horlick 3 In 1. 

Temankan minuman panas dengan kepingan Nature's Gold Phoenix Egg Roll With Seaweed & Chicken Floss (HALAL). 

Sebenarnya jarang minum Horlicks 3 in 1. Sewaktu sakit hujung tahun lepas, mulut yang pahit tak mahu terima makanan akhirnya dapat dipujuk dengan minuman Horlicks. Apabila mulut menyebut Horlicks, Encik Suami terus belikan Horlicks 3 In 1 (Cereal Drink)  dan juga Horlicks Orginal.  Sebelum itu hanya boleh telan Winter Melon Drink sahaja. 

Cerita tentang Horlicks, teringat setiap kali bersalin dari anak pertama hingga anak keempat, kakak ipar datang melawat ke hospital dan membawakan satu bekas minuman hangat Horlicks. Selepas minum Horlicks hangat, rasa seperti banyak tenaga terkumpul kembali! Pandai betul kakak ipar Amie memilih minuman pemberi tenaga! Bukan satu kali, tapi setiap kali Amie bersalin. Dialah antara orang pertama yang datang melawat. Terima kasih kakak ipar.

Dah minum petang, dah makan biskut tapi hujan masih turun. Mari ambil payung.  Jom ikut Amie blogwalking ke rumah kawan-kawan.

Singgang Ikan Tudung Periuk @ Telinga Gajah

$
0
0

Suhu dingin hingga ke petang, alangkah enaknya dapat hirup kuah singgang ikan! Teringat Bonda suka masak singgang bubuh daun kunyit untuk tambah aroma masakan. Waktu makan, Bonda hirup kuah singgang dari pinggan nasi. Orang dulu-dulu, begitulah gaya makannya. Hirup kuah dari pinggan makan. Hirup minuman panas dari alas cawan... eh! Masih adakah lagi orang sekarang minum begitu.... ahaks!

Menjelang petang, siapkan hidangan ringkas untuk makan engahari merangkap makan malam keluarga. Kelmarin Encik Suami beli dua ekor ikan buna, siap dibersihkan dan dipotong-potong oleh penjual ikan. Hari ini Amie masak seekor. bahagian kepala dan ekor Amie masak singgang. Isi ikan Amie goreng garam kunyit. Goreng ikan pun tidak garing, sebab nak jaga keenakan isinya yang lembut itu. Kalau ikan begini Abang Farid pun ikut makan. Jadi tak perlulah masak ayam. Ikan buna, nama tempatan. Nama lain bagi ikan ini ialah ikan tudung periuk dan  ikan ikan telinga gajah. 
Amie selalu kongsikan gambar ikan ini. Bagi yang belum pernah melihatnya, ikan buna @ ikan tudung periuk @ ikan telinga gajah rupa parasnya seperti di bawah ini.

Ada saiz kecil dan ada saiz besar. Kalau beli saiz besar biasanya kami minta penjual ikan bersihkan dan potong-potong. Beratnya pula, ada yang pernah kami beli mencecah 4 kg seekor. Ikan ini sedap digoreng begitu saja, dimasak sambal, masak singgal, masak lemak cili padi san sebagainya. Isinya lembut dan bahagian siripnya berlemak. Lebih besar saiz ikan ini, lebih banyak lemaknya di bahagian tersebut.

Bukan selalu dapat beli ikan ini sebab jarang ada di pasar. Kalau kami jumpa, memang tak fikir dua kali untuk membelinya.
Selain masak singgang ikan tudung periuk dan goreng ikan sebahagian ikan tadi, Amie dadar telur campur kacang panjang. Kalau dihidangkan telur dadar kacang panjang, anak-anak akan makan. Tapi kalau goreng nasi campur kacang panjang, dikuis-kuisnya pula bubuh tepi pinggan! Entah apa-apalah budak-budak ni. Sambal belacan tak tinggal, tapi terlebih tomato pula. Hilanglah rupa belacannya. Itulah hidangan makan kami petang tadi.

Ikan Tudung Periuk @ Telinga Gajah Goreng

Telur Dadar Kacang Panjang

Sambal Belacan 

Hirisan Limau Sunkist & Kiwi

Puaslah dapat hirup kuah singgang ikan. Kalau Bonda suka bubuh tambahan daun kunyit untuk aroma yang menyegarkan, Amie tambahkan beberapa helai daun limau purut. Masukkan di akhir masakan, sekadar untuk dapatkan aromanya sahaja. Kali ini Amie tidak bubuh tomato selepas ikan masak, sebaliknya tomato dimasukkan sekali bersama bahan perencah, dan dapatlah rasa sedikit masam manisnya dalam kuah.


Bahan-bahan:
4 kepingan ikan buna @ tudung periuk @ telinga gajah
1 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
2 biji tomato - belah dua
7 biji kacang bendi
3 helai daun limau purut - buang ura belakang - ramas sedikit daun
1 labu bawang besar - mayang kasar
3 ulas bawang putih - diketuk
1 keping asam gelugur
4 cawan air
garam / perasa pilihan

Cara memasak:
1. Dalam sebuah periuk, masukkan semua bahan di atas kecuali ikan, kacang bendi, daun limau purut dan garam / perasa pilihan.
2. Jerang sehingga mendidih.
3. Masukkan ikan dan kacang bendi. Masak lagi selama 5 minit.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Kemudian masukkan daun limau purut. Biarkan seketika sehingga daun limau purut berubah warna. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Dari Pitas ke Kudat : Bermalam di Kudat Golf & Marina Resort

$
0
0

Hujan sekejap turun sekejap berhenti. Sekejap lebat sekejap renyai-renyai. Kami teruskan juga perjalanan menuju ke Kudat. Encik Suami tidak memandu laju kerana pada hari tersebut kami tidak lagi memikirkan untuk singgah di mana-mana. Tujuan kami hanya untuk berehat-rehat saja dan tidak perlu terburu-buru untuk sampai ke tempat yang dituju. Jarak di antara Pitas dengan Kudat ialah sejauh 123km. 

Kedudukan Kudat seperti dalam peta di bawah ini, letaknya di hujung tanduk yang berwarna merah itu. 

Sumber : Google


Sumber : Google

Beginilah suasana sepanjang jalan menuju ke Kudat. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang di sini. Suasananya tenang sahaja. Awan kelabu terus mengiringi perjalanan kami. Di kiri kanan jalan banyak gerai jualan buah-buahan dan ikan kering serta ikan bilis.Teringin singgah di gerai jagung bakar, tetapi disebabkan hujan hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Setelah meninggalkan Pitas dan Kota Marudu, kami tiba di Bandar Kudat setelah hampir 2 jam Encik Suami memandu. 

Replika udang gergasi ini menunjukkan Kudat memang terkenal dengan makanan laut!

Akhirnya kami sampai ke destinasi penginapan kami iaitu Kudat Golf & Marina Resort. Kami akan menginap selama 2 malam di sini.

Pemandangan dari beranda lobby hotel. Nampaknya sepanjang hari hingga ke petang kami tidak bertemu dengan cahaya matahari!

Kami disambut dengan cuaca mendung.

Melihat kolam renang ini, Firdaus sudah tidak senang hati!
Jom kita masuk bilik dulu. Bersihkan diri, solat dan berehat seketika.



Air mineral di dalam botol kaca.



Sempat jalan-jalan ke Jetty Marina.

Sesiapa yang ingin bermain golf, sudah tersedia padang golf yang luas dan cantik dengan 18 lubang. Kami berangan hendak ke situ, tetapi disebabkan hujan yang tak pandai berhenti, kami lupakan saja padang golf tersebut.

Petang itu kami turun ke bahagian bawah, dan minum petang di restoran. 

Pemandangan di kiri kanan restoran yang berhadapan dengan swimming pool.




Walaupun hujan gerimis tetapi Firdaus tetap juga mahu masuk swimming pool.

Fairuz rajin melayan Firdaus mandi.

Kalau tidak hujan mungkin ramai pengunjung hotel yang mandi-manda di sini.


Sudah dik!
Habis kejut badan tu!

Keesokan paginya kami bersarapan terlebih dahulu di hotel sebelum meneruskan perjalanan melawat beberapa tempat di sekitar Kudat.



Harapnya, hari ini tidak turun hujan seperti sepanjang dua hari sebelumnya. Nampaknya matahari sudah bersinar di pagi hari. Firdaus pun sudah tidak sabar untuk berjalan.

Teman Berteman Sambil Menikmati Secawan Teh Halia & Sekeping Kuih Bunga Tausa

$
0
0

Jumpa lagi di kala senja hampir menjelma. Awal pagi tadi, sebaik sahaja terjaga dari tidur, sudah kedengaran  bunyi hujan. Ketika membuka pagar, hujan masih turun tetapi renyai-renyai. Kelihatan takungan air di bawah pokok epal bidara di penjuru laman. Pukul 5:45 pagi, memandu ke tempat kerja, dan di pertengahan jalan jadi agak takut kerana tiba-tiba hujan sangat lebat sehingga tidak dapat melihat jalan raya dengan jelas walaupun buka lampu kereta. Dan sepanjang hari sehingga pulang dari kerja, hujan masih turun! Di sana-sini sudah banyak takungan air!

Seorang rakan sekerja terpaksa pulang ke rumah kerana sang buaya sudah berada di belakang rumahnya! Air sungai sudah melimpah ke daratan! Nampaknya bukan sahaja bujang senang Sarawak bersiar-siar di musim hujan, tetapi di Sabah pun tidak kurang juga bujang-bujangannya! LD banjir! Banyak kawasan yang ditenggelami air. Kalau dengar berita, banjir di sana sini di beberapa daerah di Sabah termasuk Pitas, Kudat, Putatan, Penampang, Tuaran, Paitan, Beaufort dan hari ini setelah beberapa hari hujan, Lahad Datu pun mula ditenggelami air!

Mudah-mudahan segala bencana alam dan mala petaka wabak Covid-19 segera diangkat dari bumi ini. Allahu Akbar!

Itulah antara sembang kami ketika teman berteman bersama Encik Suami sambil menghirup minuman panas teh halia di dapur.

Minum Teh Halia & Kuih Bunga Tausa


Teh Tarik Halia ini sepatutnya dibancuh dengan 200ml air panas, tetapi Amie tambahkan menjadi 280 ml dan bahagi dua dengan Encik Suami. Rasa halianya agak kuat dan itulah yang Amie suka. Cuma, apabila rasa manisnya juga kuat, itu yang membuatkan Amie tambah air panas lagi dan bahagi dua dengan Encik Suami. Amie sukakan rasa halianya yang kuat, tetapi Encik Suami sebaliknya pula. 

Kuih Bunga Tausa


Zaman kanak-kanak dulu, Amie suka sangat makan kuih bunga tausa. Sekarang bentuk kuih bunga tausa sudah dpelbagaikan. Sudah tentulah intinya yang terdiri daripada  pasta kacang yang lemak manis (sama ada kacang hitam atau kacang merah) itulah  yang Amie cari!

Sekarang hujan sudah berhenti. Dan hari ini tidak sudi menyapa kami!

Ikan Kukus Taucu

$
0
0

Ketika menemani Firdaus menyiapkan kerja sekolah, rasa hendak tertutup kelopak mata menahan rasa mengantuk! Terasa ingin lelapkan mata seketika tetapi waktu Isya' belum tiba pula. Jadi sambil menunggu Firdaus menulis latihan, baiklah masuk dapur maya sebentar. Sambil mengetuk butang keyboard sambil memantau kerja-kerja Firdaus. Hari in banyak pula mata pelajarannya berbanding kelmarin. Apabila guru kelasnya kongsi jadual waktu,  hari Isnin hingga Jumaat ada 5 mata pelajaran, manakala hari Rabu dan Khamis  hanya 4 mata pelajaran pula. 

Kelmarin Amie kongsikan  kerja-kerja sekolah Firdaus melalui WhatsAap keluarga. Amie minta tolong Abang Farid bantu Firdaus. Empat latihan mata pelajaran yang diberi, hanya satu yang Abang Farid bantu Firdaus siapkan iaitu Bahasa Inggeris. Abang Farid pun sibuk dengan kelas onlinenya. Petang itu juga Amie suruh Firdaus siapkan latihan Matematik kerana guru subjek tersebut minta hantar hasil latihan. Encik Suami pula menerima maklumat PDPR dari sekolah agama Firdaus pula. Kalau dua-dua PDPR sekolah kebangsaan dan sekolah agama bercampur dalam HP Amie, tak tahulah apa nak jadi. HP Amie pun sudah penuh dengan PDPR sendiri. Tahun lepas HP Amie rosak gara-gara PDPR sehingga terpaksa beli baru.... ahaks!

Petang tadi Amie masak Ikan Kukus Taucu. Kali ini Amie masak ikan kambing...  emmbeeekkkkk! Tak tahu kenapa namanya ikan kambing! Warna sisiknya hitam. Bentuk badannya seakan-akan sama dengan ikan merah. MIL suka kukus ikan ini. Isi ikan kambing sangat lembut. Apabila Abang Farid ternampak Amie kukus ikan kambing, dia pun teruja untuk makan! Jadi, tak perlulah masak ayam untuknya. Sebelah paginya Encik Suaminya sudah belikan sarapan untuknya, mee hoon goreng dengan ayam goreng. Menjelang senja, Amie gorengkan lagi untuknya mee hoon goreng, dengan ayam juga. Katanya tak puas makan ikan kambing kukus!

Selain Ikan Kukus Taucu, Amie tumis sayur kobis tambah sayur sawi dan lobak serta udang basah. Amie juga buat acar telur hitam atau egg century. 

Ikan Kambing Kukus Taucu
Tumis Sayur Kobis Campur Sawi & Lobak Merah

Acar Telur Hitam @ Egg Century

Limau Sunkist & Kiwi

Masing-masing tentu ada cara masak kukus ikan yang tersendiri. Untuk masakan kukus ikan kambing ini, Amie renjis bubuh hirisan halia, bawang putih dan bawang merah dan kemudian Amie renjiskan sedikit sos ikan. Amie gunakan taucu manis yang dimasak terlebih dahulu bersama sos tiram dan bancuhan tepung jagung. Setelah ikan kukus hampir masak, Amie tuangkan bahan taucu manis ke atasnya dan tutup semula periuk pengukus sehinggalah ikan masak. Nak tahu ikan kukus mula masak, lihat matanya yang tersembul keluar. Amie gunakan periuk yang berpenutup lut sinar. Jadi boleh nampak kalau mata ikan mula tersembul, tandanya isi ikan mulai masak.... ahaks! Biasanya Amie didihkan air kukusan terlebih dahulu sebelum masukkan dulang berisi ikan. Jadi, kalau ikut masa, sekitar 7-10 minit ikan sudah masak. 

Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan kambing seberat 1kg
  • 2 cm halia - hiris halus
  • 2 ulas bawang putih - hiris
  • 3 biji bawang merah  - hiris
  • 1 sudu besar sos ikan
  • tomato ceri merah & kuning untuk hiasan
Bahan sos:
  • 2 sudu besar taucu manis
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar tepung jagung bancuh dengan 3/4 cawan air
Cara memasak:
  1. Didihkan air di dalam periuk pengukus.
  2. Sementara itu sediakan dulang tahan panas dan letakkan ikan di atasnya.
  3. Susun halia, bawang putih dan bawang merah di atas ikan. 
  4. Kemudian renjiskan sos ikan secara merata.
  5. Ketika ikan sedang dikukus, campur kesemua bahan sos di dalam periuk kecil, dan masak dengan menggunakan api sederhana. Kacau sehingga sos mendidih dan pekat. Padamkan api dapur.
  6. Setelah 5-7 minit ikan dikukus, buka penutup periuk pengukus, dan tuangkan sos taucu. Masukkan juga tomato ceri merah & kuning.
  7. Tutup semula periuk pengukus dan biarkan masak sehingga 3-5 minit lagi.
Viewing all 4761 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>