Assalamualaikum.
Minggu pertama dan kedua cuti sekolah ini Amie ambil kesempatan untuk paparkan resepi-resepi yang tertunggak, yang tidak sempat dikongsi disebabkan kesibukan tugas. Walaupun cuti sekolah, tapi masih ada tugas yang perlu digalas atas nama menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda. Jadi, kesempatan yang ada ini Amie cuba 'korek' kembali folder yang tak sempat diusik sebelum ini.
Kali ini Amie ingin kongsikan resepi Timun Laut Masak Sos Tiram.
Di Malaya, timun laut juga dikenali dengan nama balat dan juga gamat.
Kalau di pantai timur Sabah, ia lebih dikenali dengan nama teripang. Teripang atau timun laut ini yang juga dikenali dengan nama 'sea cucumber' sangat terkenal dalam masyarakat Cina, kerana dipercayai mempunyai khasiat kesihatan yang sangat tinggi.
Pelbagai resepi boleh dihasilkan dengan menggunakan teripang atau timun laut.
Teripang atau timun laut ini juga terdiri daripada gred-gerd tertentu yang dikatakan menunjukkan kualitinya. Ada yang bersaiz kecil dan ada yang besar, serta warnanya juga turut mempengaruhi harganya. Biasanya teripang yang berwarna putih dan bersaiz lebih besar itulah yang dikatakan jenis yang berkualiti. Harganya juga boleh menceceah RM1,000 sekilogram! Kalau difikir memang tak mampu untuk membelinya. Namun begitu, kita masih ada peluang untuk menikmatinya. Amie, beli gred yang lebih rendah dengan saiz yang lebih kecil dan warna yang bukan putih! Teripang yang Amie beli ini sudah siap dibersihkan, dan hanya menunggu masa untuk di masak sahaja. Harganya pun mampu beli iaitu RM20.00 sahaja. Sebenarnya Amie lebih suka masakan jenis berkuah atau sup, tetapi kali ini Amie kongsikan masakan yang lebih mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Gambar di atas, Amie masak separuh sahaja. Lebih kurang 10 ekor teripang.
Ini antara bahan yang Amie perlukan untuk masak teripang.
Jom kita liohat bahan-bahannya di bawah ini.
10 ekor teripang @ timun laut - bersihkan dan potong ikut saiz yang digemari
7 kuntum cendawan kering shiitake saiz kecil - rendam hingga lembut - potong 2
5 ulas bawang putih - pecahkan dan cincang
3 cm halia - hiris nipis
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar Kicap Manis ABC
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan setengah cawan air
1labu bawang besar - mayang kasar
3 biji cili hijau - potong 3
3 sudu besar minyak
600 ml air ( untuk membancuh sos tiram, sos ikan, kicap manis dan kicap pekat)
Bawang putih cincang dan hirisan halia.
Cendawan shiitake kering yang sudah direndam hingga lembut dan dipotong 2
Bawang besar dan cili hijau.
Bancuhan sos tiram, sos ikan, kicap manis dan kicap pekat.
Wokey!
Mari kita mulakan masak-memasak.
2. Kemudian masukkan timun laut dan juga cendawan shiitake.
3. Gaul rata dan biarkan masak selama 3 minit.
4. Tuangkan bancuhan sos tiram, sos ikan, kicap manis, dan kicap pekat. Kacau beberapa kali.
5. Tutup kuali dan biarkan masak antara 15-20 minit.
6. Buka penutup kuali. Masukkan bawang besar dan cili hijau. Gaul rata sehingga bawang besar menjadi layu. Padamkan api dapur.
Amie tidak tambahkan sebarang perasa lain seperti garam dan gula sebab rasanya sudah mencukupi.
Timun Laut Masak Sos Tiram sudah siap!